Ahad, 10 Jun 2018

Umno mesti berlawan sama macam HARAPAN, kata Bung Mokhtar

 
   

Anggota majlis tertinggi Umno, Bung Moktar Radin berkongsi tips dengan rakan-rakan di semenanjung bagaimana untuk menjadi pembangkang yang berkesan susulan kekalahan parti itu pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Bercakap kepada Malaysiakini, beliau berkata Umno harus mengamalkan pemikiran dan modus operandi sama seperti Pakatan Harapan ketika menjadi pembangkang.

Ini menurut Bung termasuk membuat sesuatu tuduhan tanpa rasa takut terhadap tindakan undang-undang.

"Semua orang kehilangan harapan. Umno, rakan-rakan seperjuangan saya di semenanjung, tidak pernah berada di pihak pembangkang. Seperti saya di Sabah, saya telah menjadi pembangkang selama 15 tahun, ini bukan sesuatu yang baru kepada saya," katanya.

Anggota Parlimen Kinabatangan selama lima penggal itu merujuk kepada kejayaan BN mengambil alih Sabah pada tahun 1994 selepas tiga anggota DUN Parti Bersatu Sabah (PBS) melompat parti.

Sebelum itu, PBS memerintah negeri ini selama sembilan tahun, menggantikan Barisan Bersatu Rakyat Sabah (Berjaya).

"Sebab itulah mereka perlu belajar bagaimana untuk menjadi pembangkang.

"Kita perlu mengukuhkan parti kita, kita berjuang seperti pembangkang (sebelum) membentuk kerajaan," katanya.

"Mereka bertarung dengan kerajaan (BN) tanpa henti. Mereka terus membuat spekulasi dan akibatnya, banyak daripada mereka dituduh di mahkamah. Mereka hanya tahu menghentam Umno dan BN, mereka tidak peduli.

"Jadi, kita mahu bekerja seperti itu, atau lebih baik daripada pembangkang sebelum ini," kata Bung.


Tiada ulasan: