Rabu, 20 Jun 2018

Umno Kelantan sepakat tolak Ku Li, kata sumber

 
Sumber berkata keputusan dibuat dalam pertemuan pemimpin Umno Kelantan baru-baru ini, yang turut disertai seorang calon timbalan presiden. 





PETALING JAYA: Seorang sumber berkata Ummo Kelantan membuat keputusan sepakat untuk tidak menyokong Tengku Razaleigh Hamzah yang menawarkan dirinya sebagai presiden pada pemilihan Umno 30 Jun ini.

Menurut sumber boleh dipercayai itu, keputusan itu dibuat dalam satu pertemuan pemimpin-pemimpin Umno Kelantan baru-baru ini, yang turut disertai seorang calon timbalan presiden.

Sumber berkata mereka kebanyakannya akan cenderung menyokong Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang akan bersaing dengan 6 calon lain, termasuk Tengku Razaleigh dan Khairy Jamaluddin.

Seorang pemimpin tempatan pula merasakan Khairy pilihan terbaik.
“Kita nasihat kepada ahli dan ketua-ketua bahagian supaya memilih calon sedia ada yang menyandang jawatan majlis tertinggi ketika ini,” kata sumber itu.

Sumber menambah mereka memberitahu ahli dan ketua-ketua bahagian supaya memilih calon yang “sesuai” memimpin parti.

“Umno Kelantan lebih mirip menyokong Zahid sebagai presiden dan Tan Sri Annuar Musa sebagai timbalan,” kata sumber itu.

Annuar Musa, seorang lagi pemimpin besar Umno Kelantan pula akan bersaing dengan bekas menteri besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Nohamad Hasan dan seorang individu lagi.

Senarai calon bertanding yang muktamad akan diumum esok.

Ini merupakan cubaan kedua Tengku Razaleigh untuk jawatan presiden selepas tewas di tangan Tun Dr Mahathir Mohamad pada pemilihan 1987 yang mencetuskan kontroversi.

Kerabat diraja ini tidak pernah tumpas di Parlimen Gua Musang sejak 1986, namun keputusan oleh pimpinan Umno Kelantan hari ini mungkin satu tamparan baginya, yang juga merupakan ketua Umno Gua Musang.

Meskipun begitu, sumber memberitahu FMT keputusan oleh pimpinan Umno negeri itu bukan satu kewajipan ke atas ketua-ketua bahagian semasa membuang undi nanti.

“Kita tidak menghalang sesiapa menyokong mana-mana individu yang bertanding dan tak ada paksaan untuk mana-mana pihak menyokong sesiapa yang bertanding,” katanya.

Sementara itu, sekurang-kurangnya seorang pemimpin Umno Gua Musang secara peribadi berkata dia tidak cenderung ke arah Tengku Razaleigh dan Zahid.

Timbalan Ketua Bahagian, Datuk Norzula Mat Diah mengakui kelebihan Tengku Razaleigh dan Zahid namun Umno perlukan pemimpin muda untuk menjadi nakhoda di zaman orang muda sekarang.

“Tengku Razaleigh ada rekod bersih dan tidak terpalit kontroversi, dan Zahid pun ada kebaikannya tapi kalau pilih orang lama, rakyat akan lihat Umno tidak berubah.”

Beliau mengingatkan orang muda penentu kepimpinan hari ini dan sepatutnya mereka lebih terlibat dengan cara tersendiri.

“Calon lain semua layak tapi nak menampakkan Umno kembali ‘segar’, lebih baik angkat Khairy,” katanya, dan menambah dia menyokong Annuar sebagai timbalan presiden.

Tiada ulasan: