Memaparkan catatan dengan label JENAYAH. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label JENAYAH. Papar semua catatan

Khamis, 3 September 2020

Bekas banduan Al-Ma’unah kekok dengan dunia luar

azrulhakimie

 

Selepas selama 20 tahun terkurung, meringkuk di dalam penjara

KUALA LUMPUR – Tersesat ke kampung lain, tidak pandai menggunakan telefon pintar, itu pengalaman baharu dilalui bekas banduan kumpulan Al-Ma’unah tatkala melangkah keluar dari tirai besi pada 17 Ogos lepas, setelah mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong sempena Hari Kebangsaan ke-63.

Terkurung di sebalik tembok tinggi selama 20 tahun yang memisahkannya dengan dunia luar, bekas banduan itu yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 49, mengakui kekok dan terkejut dengan keadaan semasa, terutama di kampungnya yang disifatkan jauh berbeza berbanding 20 tahun lepas.

Cahaya terang matahari juga mengganggu penglihatannya lantaran sudah terbiasa dengan suasana suram di penjara.

“Bayangkan daripada kawasan hutan pada 20 tahun lepas, kini dipenuhi rumah. Saya nak bawa motosikal pun rasa takut sebab banyak betul kereta dan lori atas jalan. Bukan macam dulu… televisyen sekarang pun banyak yang dah ‘kurus’ (skrin nipis). Motosikal pun dah canggih tak perlu dihidupkan guna kaki.

“Apa yang membuatkan saya tersenyum tentunya melihat betapa ramainya anak saudara… sampai hari ini saya masih ragu-ragu dengan jumlahnya. Mungkin lebih daripada 15 orang sedangkan ketika saya tinggalkan keluarga, hanya ada lima orang sahaja,” katanya ketika ditemui Bernama, di sini.

Ahmad, yang sepatutnya menjalani hukuman penjara sepanjang hayat, adalah antara 13 bekas ahli kumpulan Al-Ma’unah yang dibebaskan awal susulan pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Hari Kebangsaan ke-63.

Ahmad telah dimasukkan ke Penjara Sungai Buloh seketika pada tahun 2000 sebelum ke Penjara Kajang selama lapan tahun, kemudiannya dipindahkan ke Penjara Marang selama 12 tahun, sejak 2008, dan akhirnya ada 17 Ogos lepas, beliau dibebaskan.

Mengimbas kembali detik pembebasannya, Ahmad berkata pada 16 Ogos, beliau dipanggil oleh pegawai penjara untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan diminta membaca sepucuk surat.

Ahmad berkata beliau diminta membaca satu persatu baris ayat di surat itu, yang memaklumkan keputusan penolakan empat kali rayuannya untuk pembebasan sebelum ini, sehinggalah pada baris terakhir yang menyatakan rayuannya diperkenankan.

“Apabila tiba pada ayat ‘diperkenankan’ bagi rayuan kali kelima, saya gagal teruskan bacaan dan pegawai meminta saya melakukan sujud syukur,” katanya, sambil menambah saat itu beliau bagaikan tiada keupayaan lagi untuk berdiri kerana terlalu terkejut sehingga dipapah oleh pegawai penjara.

Ahmad berkata malam terakhir di penjara juga dirasakan sangat panjang sehingga beliau tidak dapat melelapkan mata.

“Saya tak tidur. Saya hanya berbaring atas simen… semua peralatan termasuk tilam, selimut, bekas air dan segalanya telah saya agihkan kepada banduan lain.

“Pada hari terakhir, sebelum melangkah keluar dari pintu besi, saya dibawa berjumpa pegawai penjara. Di situlah saya dijamu makan durian. Ia adalah hadiah untuk pembebasan saya. Ketika itu jugalah air mata saya mengalir laju. Sudah 20 tahun tidak merasa enaknya buah durian,” katanya yang kelihatan ceria dan mesra sepanjang temu bual secara santai itu berlangsung.

Katanya, apabila tiba di rumah pada 17 Ogos, beliau disambut dengan penuh gembira oleh kaum keluarga dan rakan terdekat, sambil dijamu dengan nasi minyak serta pelbagai makanan lain manakala pada awal Muharam lepas, surau berdekatan rumahnya pula mengadakan kenduri kesyukuran menyambutnya pulang.

Ketika ditanya apakah yang akan dilakukan dalam masa terdekat, Ahmad yang mahir membuat perabot ketika di penjara berkata beliau ada menerima tawaran untuk bekerja tetapi masih belum membuat keputusan kerana mahu berehat seketika, selain mahu membalas jasa keluarga terutama kakaknya yang sering memberi sokongan dan sentiasa melawatnya di penjara walaupun terpaksa berhabis wang ringgit.

Bagi memastikan nilai positif pada dirinya terus kekal, Ahmad yang pernah meraih perhatian ramai kerana kehebatannya khatam al-Quran sebanyak 165 kali ketika di penjara berkata, beliau akan meneruskan amalannya membaca al-Quran pada setiap hari seperti di penjara.

“Saya benar-benar terharu atas pembebasan ini. Terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong. Saya yakin apa yang berlaku ini mempunyai kaitan dengan amalan saya di penjara, termasuk doa yang tidak putus daripada keluarga,” katanya. – Bernama

Selasa, 1 September 2020

Detik hitam 'sorok-sorok'

Agensi
 
GAMBAR hiasan

DHAKA: Seramai enam remaja lelaki ditahan kerana merogol kanak-kanak perempuan selepas mengajak mangsa bermain 'sorok-sorok' di sebuah kampung di Tripura, menurut polis pada Ahad.

Suspek ditahan selepas polis menerima maklumat mengenai kejadian terbabit dengan enam daripada mereka yang tinggal di Tabaria di barat Tripura sudah ditahan, manakala seorang lagi masih menghilangkan diri.

Menurut polis, selepas siasatan lanjut selesai dijalankan pihak berkuasa, empat daripada mereka dihantar ke pusat tahanan juvana manakala dua lagi yang berusia 12 tahun sedang menerima rawatan di hospital selepas disahkan positif Covid-19.

"Berdasarkan laporan polis yang dibuat bapa mangsa, suspek dikatakan mengajak mangsa bermain 'sorok-sorok' sebelum merogolnya.

"Kejadian itu dipercayai berlaku pada Jumaat lalu," kata pegawai polis Kompleks New Capital, Priya Madhuri Majumder.

Mangsa hanya memaklumkan kejadian kepada ibu bapanya sebaik pulang dari rumah sebelum laporan polis dibuat.

Suspek yang dikenali mangsa kemudiannya ditahan polis sehari kemudian selepas siasatan dan risikan dijalankan pihak berkuasa.

"Seramai tujuh remaja terbabit dalam kejadian ini dan enam daripada mereka sudah ditahan manakala seorang lagi menghilangkan diri," katanya.

Isnin, 31 Ogos 2020

Kelab Anak Raub sokong kerajaan negeri

ROSILAWATI ROSEDI

 

Fadzli Mohamad Kamal

RAUB - Kelab Anak Raub menyokong sepenuhnya tindakan kerajaan negeri ke atas semua pekebun durian haram musang king di daerah itu.

Presidennya, Fadzli Mohamad Kamal berkata, kelab itu yang memiliki lebih 1,000 ahli berdiri teguh dengan kepimpinan kerajaan negeri yang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

"Masalah ini telah berlarutan dan tindakan itu tepat kerana bukan sahaja merugikan kerajaan negeri malah penduduk di Raub.

"Kami amat berharap tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang ingkar dengan arahan dan penguatkuasaan ini,"katanya kepada Sinar Harian.

ARTIKEL BERKAITAN: Pahang lakukan pemutihan tanah haram seluruh negeri

Menurutnya, tindakan beberapa pemimpin yang cuba menangguk di air keruh diselar kerana mempolitikkan isu tersebut.

"Isu ini perlu dilihat dengan rasional dan jangan cuba bermain api malah satu himpunan aman anjuran Gabungan Pertubuhan Melayu Islam Raub membabitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu Islam dari Pahang akan diadakan pada 3 September ini di perkarangan Rumah Rehat Raub.

"Himpunan yang diberikan nama SeTanah Melayu(Jangan Cabar Hak Kami) merupakan satu mesej yang jelas iaitu kami benci politik perkauman," tegasnya.

Agong kurnia pembebasan awal pada 13 banduan

 
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdulllah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan pembebasan awal kepada 13 banduan di beberapa penjara di Malaysia bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63 hari ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata banduan-banduan tersebut telah didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara sepanjang hayat pada 28 Dis 2001 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, atas pertuduhan menurut Seksyen 121 Kanun Keseksaan kerana berperang atau cuba berperang atau menyubahati berperang melawan Yang di-Pertuan Agong atau Raja atau Yang Dipertua Negeri.

"Perkenan Al-Sultan Abdullah ini dibuat menurut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan susulan daripada nasihat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

"Kesemua 13 banduan yang dihukum menjalani hukuman penjara sepanjang hayat sejak 2001 ini telah membuat rayuan pengampunan terhadap hukuman tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah, atas nasihat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dalam mesyuarat ke-55 yang bersidang pada 4 Sept tahun lepas, telah bertitah perkenan untuk 13 banduan tersebut dibebaskan pada suatu tarikh yang akan dimaklumkan.

Susulan daripada mesyuarat itu, Al-Sultan Abdullah atas nasihat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dalam mesyuarat ke-56 yang bersidang pada 24 Julai 2020, telah berkenan mengurniakan pembebasan awal kepada 13 banduan tersebut, berkuat kuasa pada Ogos 2020.

Ahmad Fadil berkata perkenan pembebasan awal itu bertujuan memberi peluang kepada mereka yang menunjukkan kelakuan baik untuk kembali ke pangkuan masyarakat serta kehidupan normal dan menjadi insan yang lebih baik

"Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan agar kesemua 13 banduan mengenang kembali kesilapan, terus memohon keampunan dan menilai sejauh mana hubungan mereka dengan Tuhan dan keluarga serta masyarakat," katanya.

Seri Paduka turut menzahirkan harapan agar mereka menjalani kehidupan yang baharu bersama keluarga tersayang dan masyarakat secara berfaedah dan masing-masing memainkan peranan sebagai rakyat yang berbakti kepada agama, bangsa dan negara, katanya.- Bernama

Ahad, 30 Ogos 2020

Peniaga tali barut premis pelacuran

Raja Noraina Raja Rahim
 
Datuk Seri Dr Santhara Kumar. FOTO Arkib NSTP

PEMILIK premis perniagaan dipercayai menjadi tali barut sindiket pelacuran yang membocorkan maklumat serbuan pihak berkuasa selain menyediakan laluan tikus kepada pelacur melarikan diri.

Perbuatan segelintir pemilik premis itu dibongkar hasil Operasi Tebah dijalankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sekitar Jalan Petaling, Jalan Silang dan Chow Kit, hari ini.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Santhara Kumar berkata, operasi dilakukan bagi membanteras kegiatan haram seperti pelacuran, perjudian, penjualan minuman keras, perniagaan tanpa lesen, mengubahsuai premis tanpa kebenaran dan pendatang asing tanpa izin (Pati).

Menurutnya, operasi bersepadu bermula jam 2 petang itu turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Katanya, dalam serbuan itu, sebanyak tujuh premis dikenakan tindakan penutupan serta-merta kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan berniaga tanpa lesen sah DBKL.

"Anggota turut menyerbu premis disyaki menawarkan pelacuran tetapi ketika serbuan dilakukan tiada tangkapan dibuat.

"Kita percaya sindiket pelacuran mempunyai pelbagai kaedah seperti menggunakan 'runner' yang membocorkan maklumat serbuan, memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan mempunyai pintu lain untuk melarikan diri.

"Kita kesan ada kedai runcit yang terletak di bahagian bawah menyediakan pintu keluar secara rahsia kepada mereka.

"Kedai runcit kemungkinan buat ubah suai struktur bangunan dan tindakan itu salah. Kalau betul ia berlaku DBKL akan minta pemilik premis betulkan semula," katanya dalam sidang media Operasi Tebah di Jalan Petaling, Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosio-Ekonomi) DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff.

Santhara berkata, dalam serbuan itu, sebanyak 78 barangan termasuk kondom, tilam dan bantal dirampas selain memecahkan 164 papan atau sekatan antara bilik.

Katanya, serbuan dibuat hasil risikan selama tiga minggu yang membolehkan kita mengesan lokasi panas kegiatan tidak bermoral itu.

Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Wilayah Persekutuan mahu 'memerdekakan' Jalan Petaling atau lebih dikenali sebagai Petaling Street daripada dibanjiri peniaga warga asing.

Katanya, pihaknya mendapat aduan golongan terbabit mengugut dan berkelakuan seperti samseng ketika menjalankan perniagaan.

"Justeru, saya minta masyarakat jangan beli barang daripada mereka (warga asing). Ada aduan kata apabila mereka tawar-menawar dan tak beli, mereka diugut oleh penjual yang berkelakuan seperti gengster.

"Kita mahu memerdekakan Jalan Petaling. Bandar kita, kalau penuh dengan peniaga warga asing apakah ertinya kemerdekaan kepada warga Kuala Lumpur," katanya.

Beliau mahu menjalankan tanggungjawab diberikan rakyat, tidak mahu tunduk kepada tekanan politik dan merayu kepada orang awam untuk menyalurkan maklumat berkaitan kepada pihak berkuasa untuk tindakan susulan.

Isnin, 24 Ogos 2020

Rampas batik seludup bernilai RM182,400

Siti Rohana Idris
 
SEBAHAGIAN daripada 19 guni kain batik seludup yang dirampas malam kelmarin. FOTO ihsan PGA8

PIHAK berkuasa mengekori sebuah pacuan empat roda sejauh 25 kilometer di jalan lama Pasir Mas-Kota Bharu, malam kelmarin, sebelum berjaya merampas 19 guni kain batik seludup yang dianggarkan bernilai RM182,400.

Kain batik jenis lukis yang dirampas pihak berkuasa itu dipercayai diseludup dari Thailand untuk pasaran tempatan.

Pegawai Pemerintah Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8), Superintendan Muhammad Shamsuddin berkata, ketika anggotanya membuat rondaan di jalan lama Pasir Mas-Kota Bharu pada 10.30 malam, mereka ternampak sebuah pajero dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, pasukan rondaan berkereta terus mengekori Pajero berkenaan sehingga Jalan Pintu Geng, Wakaf Che Yeh.

"Sebaik menyedari kehadiran pasukan rondaan, kenderaan itu berhenti di bahu jalan dan pemandu serta penumpang melarikan diri ke dalam semak berhampiran.

"Hasil pemeriksaan ke atas muatan barangan yang dibawa terdapat 19 bungkusan guni mengandungi lapan kodi kain batik jenis lukis yang dianggarkan bernilai RM182,400," katanya menerusi satu kenyataan media.

Muhammad berkata, semua rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan dan siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Menurutnya, dalam tempoh seminggu bermula 16 hingga 23 Ogos sempena penugasan Ops Benteng, sebanyak RM2.5 juta nilai rampasan dicatatkan dan seramai 33 tangkapan individu dibuat termasuk 24 kenderaan yang digunakan untuk kegiatan penyeludupan.

"PGA menzahirkan penghargaan kepada semua agensi yang terbabit dalam membantu Ops Benteng termasuk masyarakat setempat yang memberikan kerjasama serta menyalurkan maklumat kepada kami.

"PGA8 akan terus mempertingkat serta mengetatkan kawalan sempadan dengan memantau pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok bermula dari Rantau Panjang hingga Pengkalan Kubor bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) dan jenayah rentas sempadan," katanya.

APMM tahan 3 kapal bekal minyak kepada nelayan asing

azrulhakimie

 

Jalan aktiviti tangkap ikan secara haram di perairan Malaysia

CHUKAI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu menahan tiga kapal tangki minyak dipercayai menjadi ‘feeder’ kepada bot-bot nelayan asing Vietnam di Laut China Selatan, bersama rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM7.5 juta.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata kesemua kapal berkenaan ditahan oleh Kapal Maritim (KM) Langkawi yang berpangkalan di Maritim Negeri Pahang pada jarak 124 hingga 130 batu nautika dari Kuala Kemaman, Khamis lepas ketika melaksanakan Op Kuda Laut.

Katanya, turut ditahan 33 kru warga asing termasuk tekong berumur 19 hingga 56 tahun dan lapan daripada mereka merupakan warga Thailand manakala selebihnya warga Kemboja.

“APMM sebelum ini menerima maklumat terdapat kapal-kapal yang melalui perairan Terengganu bertindak sebagai kapal induk yang membekalkan minyak kepada bot-bot nelayan asing Vietnam yang menjalankan aktiviti menangkap ikan secara haram dalam Zon Perairan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kapal pertama didaftarkan di Thailand dan dikendalikan 15 kru warga Thailand dan Kemboja.

Tambahnya, kapal kedua pula yang berdaftar di Mongolia dikendalikan oleh sembilan kru warga Thailand dan Kemboja serta membawa diesel dianggarkan berjumlah 500,000 liter.

“Turut dijumpai dan dirampas di atas kapal kedua ini ialah buku log atau dokumen transaksi jualan diesel kepada bot nelayan asing Vietnam.

“Kapal ketiga pula tidak mempunyai nama dan nombor pendaftaran tetapi dipercayai didaftarkan di Thailand. Ia dikendalikan oleh dua kru warga Thailand dan tujuh kru warga Kemboja yang membawa kira-kira 3,000 liter diesel. Turut dijumpai di kapal ini sejumlah mata wang Malaysia RM700 dan 9,500 Baht,” katanya.

Menurut Muhammad Suffi, kesemua kapal dan mereka yang ditahan telah dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Kemaman untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 361(1) Ordinan Perkapalan Saudagar (MS0) 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM200,000 dan tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali, katanya. – Bernama

Ahad, 23 Ogos 2020

76 'tahi judi' dicekup

Nurul Hidayah Bahaudin
 
ANTARA individu yang diperiksa dalam operasi itu. FOTO Ihsan PDRM

SERAMAI 76 individu termasuk enam wanita dipercayai terbabit dengan kegiatan perjudian ditahan dalam Operasi Bersepadu Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di kawasan Bandar Puteri Puchong, dekat Serdang, semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, serbuan itu dilakukan bermula kira-kira 3 petang hingga 6.30 petang, semalam.

"Operasi ini dilaksanakan bagi membanteras kegiatan perjudian membabitkan sabung ayam, bola golek dan belangkas yang dipercayai beroperasi kira-kira sebulan lalu.

"Dalam operasi ini, kami menahan, 70 lelaki dan enam wanita. Daripada jumlah itu, enam lelaki adalah warga tempatan, manakala selebihnya dari Indonesia termasuk tiga lelaki yang berstatus penduduk tetap.

"Semakan juga mendapati daripada 67 individu warga Indonesia, 22 lelaki mempunyai pasport dan 45 lagi individu termasuk enam wanita tidak memiliki pasport," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas wang tunai berjumlah RM45,000 dalam operasi itu.

"Semua suspek terbabit ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Sek 6(1)c Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1) C akta sama.

"Selain itu, mereka juga dikenakan tindakan mengikut Peraturan 3 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Rabu, 19 Ogos 2020

Nelayan Vietnam tenggelamkan bot demi elak ditahan, kata APMM

Dua daripada 8 bot nelayan Vietnam yang dirampas APMM menerusi Op 
Kuda Laut di Pengkalan Maritim Kemaman semalam. (Gambar Bernama)

CHUKAI: Nelayan Vietnam sanggup menenggelamkan bot mereka bagi mengelak ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), selepas ditangkap menceroboh dan mencuri hasil laut.

Pengarah APMM Pahang, Amran Daud berkata, taktik itu dikesan dilakukan awak-awak yang menaiki sebuah daripada 9 bot Vietnam ditahan dalam Op Kuda Laut di perairan pantai timur pada 16 dan 17 Ogos lalu.

Katanya, 7 bot ditahan pada jarak 68 hingga 147 batu nautika dari Kuala Kemaman, manakala 2 lagi bot ditahan di Kelantan petang kelmarin.

“Ketika proses menunda bot ke jeti Maritim Kemaman, 2 nelayan Vietnam bertindak mensabotaj bot berkenaan sehingga mengalami kebocoran dan mengakibatkan bot tersebut karam pada jarak 30 batu nautika dari Kuala Kemaman pada 3.34 pagi tadi (semalam).

“Bagaimanapun, 3 anggota APMM bersama 2 nelayan yang berada di atas bot berkenaan berjaya diselamatkan.

“Kami percaya tindakan sedemikian dilakukan nelayan Vietnam untuk melupuskan bukti kes, yang mana sebelum ini mereka pernah melakukan tindakan sama,” katanya pada sidang media di Pengkalan Zon Maritim Kemaman semalam.

Sebahagian daripada 111 nelayan Vietnam yang ditahan 
APMM dalam Op Kuda Laut di Pengkalan Maritim Kemaman 
semalam. (Gambar Bernama)

Beliau berkata, 4 bot menggunakan nombor pendaftaran bot tempatan bagi tujuan mengaburi mata pihak berkuasa dan mengelakkan ditahan.

“Turut dirampas 15 tan metrik hasil laut, 20,000 liter diesel dan peralatan menangkap ikan bernilai RM10 juta, tidak termasuk bot karam. Semua rampasan dan tangkapan dibawa ke jeti Zon Maritim Kemaman dan jeti maritim Negeri Kelantan untuk siasatan lanjut.”

Amran berkata, 111 nelayan termasuk tekong yang ditahan berusia 17 hingga 55 tahun, didapati tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara, serta Akta Imigresen 1959/63 kerana tekong dan kebanyakan kru kapal itu yang berusia 17 hingga 57 tahun tidak memiliki sebarang dokumen sah.

Mengikut rekod, sejak 26 Jun sehingga kini, OP Kuda Laut Maritim berjaya menahan 45 bot nelayan asing bersama 502 awak-awak, termasuk tekong.

Katanya, APMM tidak akan berkompromi dengan nelayan asing yang menceroboh perairan negara dan mengaut hasil laut tanpa kebenaran.

“Rondaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa untuk mencegah sebarang aktiviti menyalahi undang-undang maritim.”

Selasa, 18 Ogos 2020

Lelaki didakwa khianat bakar kitab di Masjid Tengkera

Bernama
Seorang bekas kerani firma guaman didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 138 pertuduhan membabitkan pecah amanah lebih RM100,000 sejak 2012 hingga 2015.
Gambar hiasan

MELAKA – Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dengan membakar senaskhah kitab di Masjid Tengkera, minggu lepas.

Tertuduh, Mohamad Azahar Ramlan Ragawan, 35, yang bekerja sendiri, didakwa melakukan perbuatan itu dengan niat mengakibatkan kebinasaan dan kerosakan pada kitab dan permaidani masjid tersebut di Jalan Tengkera di sini, pada 4.08 petang, 11 Ogos lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 435/511 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Norma Ismail membenarkan lelaki itu diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Sept depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Empat warga asing didakwa rogol kanak-kanak berusia 13 tahun

fazleensafina

 

Mangsa, ibu dieksploitasi seks oleh bapa kandung sejak 2015

Sabtu, 15 Ogos 2020

300 mangsa rugi lebih RM30 juta kena tipu beli ‘online’

Ketua biro kebajikan MTPN Kenta Goh berkata, pihaknya menerima aduan itu 
daripada mangsa di 5 negeri dengan Johor dan Selangor mencatatkan jumlah
aduan serta kerugian paling tinggi diikuti Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri 
Sembilan. (Gambar Rawpixel)

GEORGE TOWN: Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) menerima 300 aduan mengenai penipuan berkaitan pembelian dalam talian membabitkan jumlah kerugian lebih RM30 juta sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan sekitar Mac hingga Julai lalu.

Ketua biro kebajikan MTPN Kenta Goh berkata, pihaknya menerima aduan itu daripada mangsa di 5 negeri dengan Johor dan Selangor mencatatkan jumlah aduan serta kerugian paling tinggi diikuti Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan.

“Kami agak terkejut dengan aduan diterima kerana mangsa bukan mengalami kerugian dalam jumlah yang kecil, sebaliknya membabitkan nilai besar urusan pembelian dalam talian sebab itu jumlah keseluruhan ditipu menjangkau lebih RM30 juta.

“Punca utama ramai pengguna ditipu dalam talian kerana sejak pelaksanaan PKP, orang ramai lebih banyak menjalankan urusan pembelian dalam talian. Malah ada yang percaya dengan jualan murah dalam talian,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian MTPN Cawangan Pulau Pinang hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya sebagai badan bukan kerajaan (NGO) bertindak membantu pengguna dengan menyalurkan bantuan khidmat nasihat serta menjadi orang tengah antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal (KPDNHEP), polis dan pengguna.

Katanya, penubuhan MTPN juga untuk melindungi hak pengguna dan menyebarkan maklumat mengenai isu kepenggunaan kepada penduduk negeri ini.

Beliau berkata, Pulau Pinang yang merupakan cawangan ke-6 MTPN menyasarkan keahlian sekitar 3,000 orang menjelang hujung tahun ini.

Premis judi merata-rata kerana penguatkuasaan lemah, kata aktivis

 

PETALING JAYA: Penasihat Pusat Rehab Judi Malaysia (GRC) Mosco Ang berpendapat tempat perjudian semakin berleluasa di seluruh Lembah Klang berdasarkan klip video yang viral di media sosial baru-baru ini yang mendedahkan tempat perjudian di Sungai Buloh.

“Ampang, Gombak, Jalan Alor, Chow Kit, Jinjang, Batu Caves, Selayang, Sekinchan, Tanjung Karang, Jenjarom, Pandamaran, Klang.

“Setiap bandar pasti mempunyai satu (tempat perjudian), ”kata Ang.

“Ipoh, Pulau Pinang, Butterworth, Melaka. Premis perjudian berada merata-rata tempat dan perkara ini terjadi kerana terdapat kaki judi yang ingin mendapatkan duit dengan pantas,” katanya.

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Michael Chong yang bercakap kepada FMT mengakui terdapat banyak tempat perjudian dan ia akan beroperasi berdasarkan sejauh mana penguatkuasaan di kawasan itu.

“Kebiasaannya jika ‘kepala’ (pegawai atasan) tegas dan serius dalam mengambil tindakan, ekornya (anggota) tidak akan melakukan sesuatu yang bodoh,” katanya.

Walaupun beliau mendapat banyak aduan mengenai pelacuran, pemalsuan pinjaman dan kehilangan orang, tetapi kebanyakan aduan adalah berkaitan perjudian.

“75% individu yang menemui saya adalah kerana mereka mempunyai hutang dengan Ah Long disebabkan masalah perjudian,” katanya.

“Tahun ini sahaja, terdapat sekitar 150 kes yang kebanyakannya berhutang kerana perjudian dalam talian,” kata Chong, sambil menambah sehingga 2018 pihaknya berjaya menyelesaikan 35,000 aduan selama 30 tahun beroperasi.

Semalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 9 pegawai penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang dipercayai menerima rasuah untuk melindungi perniagaan yang tidak berlesen di Sungai Buloh, termasuk premis judi.

Ini berikutan pendedahan pengguna media sosial dalam rakaman video yang viral sebelum ini.

Chong berkata, perlu wujud penguatkuasaan yang ketat bagi mencegah aktiviti itu.

Penganalisis jenayah, Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, imbuhan lumayan yang diberikan oleh sindiket perjudian juga menjadi faktor aktiviti tersebut “kebal”.

“Sebenarnya kegiatan ini boleh dihapuskan. Banyak maklumat boleh didapati, namun segelintir pegawai penguat kuasa yang tidak berintegriti menyebabkan premis perjudian terus beroperasi.

“Penguatkuasaan perlu tegas dan serius untuk membanteras kegiatan ini daripada berleluasa. Jangan ikut musim sahaja (penguatkuasaan), buat pemantauan secara serius dan mengambil tindakan segera,” katanya.

Jumaat, 14 Ogos 2020

KPDNHEP rampas sarung tangan getah tiruan bernilai hampir RM43,000

Oleh ASHRIQ FAHMY AHMAD

PUTRAJAYA: Sebanyak 840 kotak berisi sarung tangan getah tiruan beserta 8,280 kotak kosong jenama Gloveon Paloma bernilai hampir RM43, 000 dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Putrajaya baru-baru ini.

Menurut Pengarah Penguatkuasanya, Datuk Iskandar Halim Sulaiman, semua barangan rampasan itu ditemukan sekumpulan lima pegawai KPDNHEP dalam operasi membanteras penjualan barang-barang tiruan di sebuah premis perniagaan di Sri Hartamas, Kuala Lumpur.

“Operasi ini dijalankan hasil maklumat yang diterima mengenai sarung tangan getah tiruan jenama Gloveon Paloma daripada wakil pemilik cap dagang berdaftar Cisco (M) Sdn. Bhd. yang mewakili Hartalega NGC Sdn. Bhd.

“Modus Operandi peniaga barang tiruan ini adalah membeli sarung tangan getah yang rosak dan terpakai, dibersihkan kemudian dibungkus semula menggunakan jenama Gloveon Paloma yang berdaftar dengan cap dagang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Iskandar Halim, sarung tangan getah tiruan dan yang asli boleh dibezakan menerusi penelitian terhadap kualiti, ketebalan, warna, pembungkusan dan pencetakan pada kotak pembungkusan.

“Hasil verifikasi awal yang dijalankan oleh wakil pemilik cap dagang berdaftar mendapati kotak sarung tangan getah tersebut disyaki tiruan.

“Ke semua barang-barang tersebut dirampas untuk siasatan lanjut dan nilainya dianggarkan berjumlah RM42,320,” katanya.

Kes tersebut disiasat di bawah perenggan 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barangan yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar tersebut.

Bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM30,000 bagi kesalahan yang sama.

Tegas Iskandar Halim lagi, pihaknya ingin mengingatkan para peniaga agar lebih bertanggungjawab dan menghormati harta intelek orang lain dalam melaksanakan apa jua perniagaan.

“Saya sekali lagi ingin memberi amaran kepada mana-mana individu mahupun syarikat supaya tidak melanggar undang-undang terutama yang membabitkan penjualan dan pengedaran barangan tiruan bagi mengelak dikenakan hukuman berat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Iskandar Halim turut meminta orang ramai menyalurkan maklumat terus kepada KPDNHEP sekiranya terdapat aktiviti penjualan dan pengedaran barangan tiruan.

Orang ramai boleh menghubungi Enforcement Command Centre (ECC), KPDNHEP di talian 1-800-886800 atau 03- 8882 6088 untuk tujuan tersebut. – UTUSAN

Militan penggal rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa Filipina

MALAYSIAKINI

 Malaysiakini

Pihak berkuasa Filipina menangkap ketua pemimpin Abu Sayyaf, Idang Susukan @ Abu Jihad yang juga dikehendaki di Malaysia berhubung penculikan di Sabah.

The Philippine Star memetik Ketua Polis Filipina, Archie Gamboa mengesahkan bahawa penangkapan itu dibuat petang semalam.

"Pemimpin pemberontak itu diserahkan oleh pengasas Barisan Hadapan Pembebasan Moro (MNLF), Nur Misuari kepada pihak berkuasa di bandar Davao," lapor akhbar itu di Twitter malam tadi.

Dikatakan Idang ditangkap di rumah Nur Misuari di Bandar Davao sebelum diserahkan kepada polis.

Kumpulan Idang disyaki sebagai dalang penculikan di sebuah restoran makanan laut di Sandakan pada 14 Mei 2015. 

Kedua-dua mangsa penculikan itu adalah pemilik restoran Thien Nyuk Fun dan jurutera Sarawak, Bernard Then Ted Fen.

Thien dibebaskan pada 8 November tahun itu tetapi Then dipenggal kepala oleh kumpulan tersebut.

Komando Keselamatan Timur Sabah memasukkan Idang dalam senarai 21 warga asing yang dikehendaki kerana didakwa terlibat dalam jenayah rentas sempadan di Zon Keselamatan Timur Sabah (Esszone).

Sanggup sewa kondominium RM60,000 sebulan

Hafidzul Hilmi Mohd Noor
 
SEBAHAGIAN peralatan dirampas dalam serbuan di pusat panggilan kegiatan judi dalam talian, pelaburan forex dan Macau Scam di kondominium mewah di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, malam ini. FOTO KHAIRUL AZHAR AHMAD.

POLIS menyerbu pusat panggilan kegiatan judi dalam talian, pelaburan forex dan Macau Scam di kondominium mewah di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, malam ini.

Serbuan pada 7.30 malam itu dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Sumber berkata, polis menahan 30 warga tempatan dan dua warga China berusia 17 hingga 41 tahun dipercayai pekerja sindiket berkenaan.

"Polis merampas pelbagai barangan antaranya set komputer serta telefon pintar dan sindiket ini dipercayai beroperasi selama lima bulan.

"Siasatan mendapati semua pekerja berkenaan menerima gaji antara RM2,000 hingga RM2,500 bagi mempromosikan kegiatan berkenaan," katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati sindiket itu menjalankan aktiviti promosi perjudian, pelaburan forex dan Macau Scam yang menyasarkan warga China, Vietnam dan Hong Kong sebagai mangsa.

Menurutnya, sindiket itu sanggup melabur dengan jumlah besar apabila menyewa kediaman mewah bernilai RM60,000 sebulan itu.

Katanya, semua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk proses dokumentasi.

Rabu, 12 Ogos 2020

Polis jejaki rakyat Malaysia dakwa jadi pengedar buah pinggang

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador.

PETALING JAYA: Polis sedang menyiasat dakwaan seorang rakyat Malaysia yang didakwa menggunakan media sosial untuk menyasarkan mangsa miskin dari seluruh dunia menjual organ mereka.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata, pihak berkuasa sedang menjejaki lelaki itu.

“Siasatan sedang dijalankan,” katanya kepada FMT.

Lelaki itu yang bercakap besar mengenai aktivitinya dalam satu laporan akhbar UK, The Sun, berkata dia mengatur “pakej” pemindahan organ £85,000 untuk pelancong British, termasuk rasuah bagi pemindahan buah pinggang dijalankan di Filipina.

“Di Manila, ‘cash is king’. Wang berkuasa,” kata lelaki itu yang mendakwa dia mendalangi 45 penjualan haram buah pinggang.

Dia turut mendakwa mempunyai lebih 100 penjual buah pinggang berpotensi di seluruh dunia.

Selasa, 11 Ogos 2020

Kecewa! KPD Sungai Buloh terlalu cepat nafi wujud premis judi

ainulillia

 

Malaysia ada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711)

BANGI – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim meluahkan rasa kecewa terhadap respon awal Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar dalam isu pembongkaran premis perjudian dan penjualan rokok seludup yang ditularkan di media sosial, baru-baru ini.

Ahmad Amzad berkata, Shafa’aton terlalu cepat membuat kesimpulan penafian terhadap dakwaan Pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid, dengan menganggap ia hanya tohmahan.

“Saya amat kecewa dengan respon awal Ketua Polis Daerah yang berkenaan yang terlalu cepat membuat kesimpulan penafian.

“Yang memberi maklumat, membantu harus dihargai dan dilindungi. Bukan sebaliknya. Kita ada akta yang sepatutnya melindungi pemberi maklumat – Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711)

“Bukan percuma dan mudah untuk beliau (Mohd Asri) tanpa jemu turun naik Bukit Aman dan pelbagai pejabat penguatkuasaan yang lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Amzad berkata, slogan ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’ perlu menatijahkan kerjasama erat, menghargai masyarakat yang tampil membantu polis menjaga keselamatan dan ketenteraman negara. 

Malah, pengasas gerai burger yang tular itu adalah contoh warganegara yang diinginkan kerana berani tampil dan berinisiatif untuk mencegah kemungkaran, tegas Ahmad Amzad.

“Beliau nyata bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW. Daripada abu Sa’id al Khudri RA berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda:

“Maksudnya, Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Apabila dia tidak mampu, maka dengan lisannya. Dan apabila dia tidak mampu lagi, maka dengan hatinya. Sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman,” katanya memetik Riwayat Muslim (78).

Pada masa sama, beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang mempamerkan pendirian yang positif dengan memberikan jaminan isu berkenaan akan disiasat dan mengucapkan penghargaan kepada pemberi maklumat.

Semalam, Abdul Hamid memberi jaminan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan segera bagi membanteras kegiatan perjudian dalam talian, penjualan rokok seludup dan aktiviti perniagaan warga asing di Sungai Buloh.

Beliau dilaporkan berkata, tindakan tegas pasti diambil terhadap mereka yang bersekongkol dalam aktiviti jenayah itu.

Hari ini, Mohd Asri atau juga dikenali dengan nama Asri Janggut dilaporkan  bertemu dengan Abdul Hamid di Bukit Aman.

Difahamkan pertemuan antara Mohd Asri dan Abdul Hamid itu berlangsung kira-kira jam 3 petang tadi.

Pertemuan itu turut dimuat naik di laman Facebook Abdul Hamid Bador sebentar tadi.

Selain Abdul Hamid, Asri juga dikatakan mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di bangunan Parlimen

Isnin, 10 Ogos 2020

Pensyarah UIA maut dijerut: Suspek utama dituduh esok - Polis

Pensyarah UIA maut dijerut: Suspek utama dituduh esok - Polis
Suspek yang dipercayai suami kepada seorang pensyarah dibawa ke lokasi untuk mencari bahan bukti di Tasik Taman Putra Perdana Putrajaya sebelum ini. - Foto BERNAMA
 
KUALA LUMPUR: Suspek utama kes pembunuhan seorang pensyarah universiti tempatan pada Julai lalu akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sepang pada Selasa.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Datuk Fadzil Ahmat, kertas siasatan terhadap kes itu telah selesai dan arahan pertuduhan telah diberikan oleh Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

"Kertas Siasatan telah mendapat arahan tuduh daripada Pejabat TPR Selangor pada 10 Ogos 2020 (Isnin). Suspek seorang lelaki Melayu berumur 41 tahun yg merupakan bekas suami (dalam proses daftar penceraian) kepada si mati akan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Majistret Sepang pada 11 Ogos 2020 (Selasa)," katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.

BACA: Kes bunuh pensyarah selesai, motif dikenal pasti - Polis

BACA: Curiga pasangan ada 'kekasih gelap' punca pensyarah minta cerai

Suspek berusia 41 tahun itu telah direman sehingga 6 Ogos lalu bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian pada 30 Julai lalu, polis menemui mayat wanita berusia 40 tahun itu berhampiran tasik PKNS Pinggiran Cyberjaya, Dengkil, di Sepang.

Mangsa adalah seorang pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin sebelum ini berkata motif pembunuhan telah dikenal pasti dan siasatan kes itu telah selesai.

Ahad, 9 Ogos 2020

Kantoi bungkus dadah

Hamzah Osman

TUJUH lelaki yang ditahan bersama sebahagian dadah. FOTO Ihsan Polis

TUJUH lelaki yang sedang leka membungkus dadah ditahan dalam sebuah rumah di Kampung Bukit Temin, Mukim Ulu Melaka, Langkawi, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata siasatan mendapati tujuh lelaki berusia antara 22 dan 35 tahun itu, dipercayai membungkus dadah untuk dijual kepada penagih di kawasan sekitar, pada 2 pagi.

Katanya, lima lelaki ditahan di ruang tamu rumah, manakala dua lagi di bahagian dapur selepas dikesan berada dalam keadaan mencurigakan.

"Pemeriksaan menemui tujuh paket plastik mengandungi bahan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 5.30 gram (g) dalam kotak rokok, selain 17 paket plastik dadah sama seberat 158.30 g dalam beg plastik.

"Dalam serbuan sama, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM730 dipercayai hasil jualan dadah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, siasatan lanjut mendapati semua lelaki itu positif dadah morfin, selain dua daripadanya mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

"Suspek turut mengaku menerima bekalan dadah daripada seorang lelaki di Jalan Makam Mahsuri di sini, secara berhutang.

"Semua suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.