Sabtu, 9 Jun 2018

Sumber: Jho Low cuba jumpa Dr M lepas HARAPAN menang

 
   
Eksklusif | Sebaik Pakatan Harapan (HARAPAN) menang pilihan raya umum (PRU) ke-14, ahli perniagaan yang dikehendakai pihak berkuasa Low Taek Jho (Jho Low) dikatakan cuba berjumpa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menawarkan bantuan dalam siasatan ke atas 1MDB.

Ketika itu, kerajaan baru belum mengumumkan akan membuka siasatan penuh ke atas skandal berkenaan.

"Sebaik Tun (Dr Mahathir) menjadi perdana menteri, Jho Low mengirim pesan bahawa dia sanggup bekerjasama dalam kes 1MDB.

"Pesan itu dihantar kepada mereka yang rapat dengan Dr Mahathir. Saya rasa ini yang menyebabkan Jho Low kini secara rasmi dikehendaki pihak berkuasa," kata sumber kepada Malaysiakini.

Pada 21 Mei, kerajaan HARAPAN menubuhkan petugas khas 1MDB yang dianggotai oleh bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail, bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuam Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Pengarah SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan bekas pengarah polis Cawangan Khas Datuk Abdul Hamid bador bagi menyiasat kes itu.

Satu lagi sumber yang rapat dengan perdana menteri berkata dia tidak pasti tentang cubaan yang dibuat oleh Jhow Low itu tapi tidak terkejut sekiranya ia benar-benar pernah terjadi.

"Saya tidak pasti Jho Low cuba jumpa Dr Mahathir tapi saya tidak terkejut jika dia buat hal itu.

"Dia akan cuba apa saja untuk terlepas dari masalah ini," katanya.

SPRM sebelum ini mengeluarkan waran tangkap ke atas Jho Low dan Pengarah SRC International Nik Faisal Ariff Kamil beberapa hari lalu berhubung siasatan yang sedang dijalankan.

Awal hari ini, Dr Mahathir mendedahkan pihak berkuasa Malaysia cuba menangkap Jho Low namun Malaysia tidak mempunyai kuasa untuk mengekstradisi dengan negara tempat Jho Low berada. Nama negara itu bagaimanapun tidak didedahkan.

Tiada ulasan: