Memaparkan catatan dengan label SIASATAN POLIS. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label SIASATAN POLIS. Papar semua catatan

Khamis, 3 September 2020

Jika tiada tindakan, Putra mahu rakyat Malaysia teroka tanah hutan

Nizam Zain
MGF02092020_LAPORAN-SPRM-ISU-PENCOROBOHAN-TANAH-RAUB_04-681x454
Naib Presidan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), 
Datuk Hamidah Osman bercakap kepada media sebelum membuat 
laporan SPRM berhubung Isu Pencorobohan Tanah Kerajaan 
Negeri Pahang Oleh 111 Pengusaha Tanaman Durian Musang 
King di hadapan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 
Malaysia (SPRM), Putrajaya. foto AZADI MOHAMAD 
ISKANDAR

PUTRAJAYA – Parti Bumiputera Perkara Malaysia (PUTRA) mempersoalkan tindakan pilih kasih pihak berkuasa terhadap penceroboh tanah kerajaan yang mengusahakan tanaman durian Musang King secara haram.

Ini kerana mereka yang terlibat didakwa masih belum diheret ke mahkamah.

Naib Presidennya, Datuk Hamidah Osman menegaskan, jika seorang bekas tentera boleh dihadapkan ke mahkamah kerana menceroboh tanah kerajaan hingga dijatuhi hukuman denda RM50,000 dan dua tahun penjara, apa lagi sekumpulan 111 pekebun durian di Raub, Pahang.

“Bagaimana tanah yang telah diterokai selama 40 tahun seluas 4,400 hektar tidak diambil sebarang tindakan oleh pihak berkuasa sehingga perkara ini timbul hari ini.

“Kenapa tiada laporan dibuat? Kenapa tiada tindakan dibuat sedangkan ada akta khas untuk diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

“Maka atas dasar itulah kami hari ini datang ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi melaporkan perkara ini agar ia disiasat. Kita nampak seolah-olah ada unsur-unsur rasuah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM hari ini.

Pada 1 Ogos lalu, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak mendedahkan kerajaan Pahang kerugian RM30 juta hasil cukai tanah dalam isu pencerobohan tanah untuk penanaman durian secara haram di Raub.

Menurut Sallehuddin, nilai kerugian itu berdasarkan kadar terendah pajakan dan cukai tanah untuk tempoh 10 tahun.

Dianggarkan 4,400 hektar kawasan diusahakan secara haram untuk penanaman durian di Raub, dan tindakan tegas perlu segera diambil bagi menangani isu ini.

Hamidah juga melahirkan rasa tidak puas hati dengan cara Kerajaan Pahang menyelesaikan masalah pencerobohan tanah itu hingga boleh berunding dari segi pemilikan tanah yang diteroka itu.

“Sepatunya 111 peneroka itu dikenakan tindakan dan dibawa ke mahkamah kerana mereka telah melanggar Akta Perhutanan Negara. Kenapa pula mereka perlu dirunding untuk diselesaikan dengan memberi tanah tersebut,” tegasnya.

Sekiranya pihak berkuasa gagal mendakwa peneroka terbabit, beliau tidak teragak-agak untuk menggesa rakyat di negara ini meneroka tanah hutan milik kerajaan jika mahu mendapat tanah secara mudah.

“Jika 111 peneroka ini tidak dikenakan tindakan, saya akan menyeru rakyat Malaysia meneroka semua tanah hutan di negara ini kerana bila mereka meneroka, mereka akan dapat tanah.

“Kenapa orang yang mematuhi undang-undang perlu dihukum sedangkan orang yang tidak mematuhi undang-undang diberi peruntukan tanah dan apa juga penyelesaiannya.- MalaysiaGazette

Selasa, 1 September 2020

Mayat dah sebulan reput dalam telaga

BERNAMA
 
GAMBAR hiasan

POLIS menemui satu mayat dalam telaga dekat dengan sebuah pejabat tapak pembinaan yang ditinggalkan di Segambut.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner S.Shanmorgamorty Chinniah berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian selepas menerima maklumat daripada orang ramai mengenainya pada 9.10 pagi semalam.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, polis menemukan mayat itu dalam keadaan sudah reput dan tidak sempurna, dianggarkan berada di situ sejak sebulan lalu.

"Identiti serta jantina si mati tidak dapat dipastikan, dan mayat sudah dibawa keluar dengan bantuan pasukan bomba dan penyelamat," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat, dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Ahad, 30 Ogos 2020

84 ditahan ingkar PKPP, termasuk 45 di kelab malam

Ismail Sabri Yaakob berkata, 55 daripada 84 individu yang 
ditahan itu dikompaun, 27 direman dan 2 lagi dibebaskan dengan 
jaminan.

PETALING JAYA: Polis menahan 84 individu kerana mengingkari arahan perintah kawalan pergerakan pemulihan, termasuk 45 orang yang mengunjungi kelab malam, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, 55 daripadanya dikompaun, 27 direman dan 2 lagi dibebaskan dengan jaminan.

Katanya, antara kesalahan yang dilakukan ialah gagal menyediakan peralatan/catitan keluar masuk (17), tidak memakai pelitup muka (10), premis beroperasi lebih masa (2), premis beroperasi tanpa lesen (1), aktiviti menyukarkan penjarakan fizikal (7) dan 2 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan.

Ismail berkata, tiada tangkapan dilakukan menerusi 62 sekatan jalan di seluruh negara semalam bagi mengekang kemasukan PATI, khasnya di lorong tikus.

Beliau berkata, pihak berkuasa menjalankan 418 pemeriksaan dan mendapati semua individu yang menjalani kuarantin wajib 14 hari di rumah mematuhi SOP ditetapkan.

Katanya, seramai 20,190 individu yang pulang ke tanah air sejak 24 Julai hingga semalam, ditempatkan di 74 hotel dan 4 institut latihan awam di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah serta Labuan.

Mereka pulang dari 32 negara, iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, UK, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat.

“Daripada jumlah itu, seramai 8,854 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, manakala 56 individu dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, seramai 11,280 individu sudah dibenarkan pulang selepas selesai menjalani kuarantin wajib.

Sabtu, 29 Ogos 2020

Saya bodoh, tak bertanggung jawab langgar PKP- Ally Muhriz

Norlaile Abd Rahman
ally-681x432 
Meera Alyaan Muhriz

KUALA LUMPUR- Anak bekas Menteri Besar Kedah, Meera Alyaana Muhriz menyatakan kekesalannya atas sikapnya bersama suami yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 21 Ogos lalu.

Jelasnya, beliau ke kelab tersebut bagi meraikan ulang tahun kelahiran seorang sahabat sebelum diserbu polis pada jam 1.30 pagi kerana beroperasi melebihi waktu yang dibenarkan.

Meer Alyaan bersama 29 pengunjung yang lain telah diambil keterangan dan kira-kira jam 5.30 pagi telah dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 dan dibenarkan pulang.

Bayaran denda telah dilunaskan empat hari kemudian, katanya.

“Melanggar PKPP bukan sahaja tindakan bodoh saya tetapi sangat tidak bertanggung jawab ketika pandemik sedang melanda negara.

“Saya sangat malu dengan tindakan tersebut yang turut mengheret sama nama baik keluarga, sahabat-sahabat serta anda semua.

“Tiada alasan yang boleh diberikan di atas tindakan ini dan anda berhak untuk kecewa kerana saya juga begitu.

“Saya selalu cuba untuk menunjukkan teladan yang baik kepada orang lain tetapi usaha ini masih belum cukup.

“Saya mesti dan akan melakuan yang lebih baik. Saya berharap suatu hari nanti, saya mampu membuktikan kepada anda semua,” katanya melalui satu hantaran di Instagramnya hari ini.

Meera Alyaana yang terkenal dengan panggilan Ally Muhriz itu juga menyanjungi sikap profesionalisme dan adil pegawai serta anggota polis yang mengendalikan kes beliau dan suaminya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN: Mukhriz sahkan anak dan menantu ditahan polis

Jumaat, 28 Ogos 2020

Mukhriz sah anak, menantu ditahan langgar PKPP

PETALING JAYA: Mukhriz Mahathir mengesahkan anak dan menantunya antara individu ditahan pihak berkuasa dalam serbuan di sebuah pub di Jalan Rahim Kajai 14, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur.

Bekas menteri besar Kedah itu berkata, beliau sendiri sudah memberi peringatan kepada seluruh anggota keluarganya, supaya sentiasa mematuhi perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) yang ditetapkan Putrajaya dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.

“Saya sudah pesan kepada kaum keluarga, musim PKPP jangan langgar dan mesti tunjukkan contoh yang baik. Sebab itulah saya rasa kecewa apabila pelanggaran tetap berlaku dan memang patutlah kompaun dikenakan,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Bandar Felda Besout 3, Perak hari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim menafikan pihaknya mengamalkan “double standard” terhadap mana-mana individu termasuk anak seorang kenamaan yang didapati melanggar PKPP, baru-baru ini.

Mazlan berkata, pihaknya terkesan isu yang ditularkan di media sosial berkaitan tangkapan anak seorang kenamaan yang didakwa melanggar PKPP tetapi terlepas daripada tindakan.

Menurut kenyataan, polis pada 22 Ogos lalu jam 1.20 pagi menjalankan serbuan di sebuah pub di Jalan Rahim Kajai 14, TTDI, Kuala Lumpur.

Hasil pemeriksaan, polis menahan seorang lelaki India berusia 37 tahun dipercayai pengurus premis, seorang lelaki warga Bangladesh dan 3 wanita Filipina disyaki pekerja di premis berkenaan.

Mukhriz pada masa sama turut mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada polis yang bersikap tegas dengan mengambil tindakan secara adil dan saksama terhadap anak dan menantunya tanpa bersikap pilih kasih.

“Memang benar, anak dan menantu saya sudah dibawa ke balai bersama 27 orang yang lain atas kesalahan melanggar PKPP. Mengikut kenyataan polis, mengikut undang-undang berkaitan mereka semua dikenakan kompaun RM1,000. Semua sudah bayar termasuk anak dan menantu saya.

“Polis adil dan saksama, tidak ada unsur pengurangan dari segi kompaun. Ikut undang-undang kena bayar RM1,000 dan tidak ada pengurangan kompaun. Kita juga syukur tidak dinaikkan. Polis berkeupayaan menguatkuasa dalam cara adil dan tidak pilih kasih,” katanya.

Ingkar kuarantin: Polis rakam keterangan Khairuddin, saksi

azrulhakimie

 

Keterangan diambil pada 8.30 malam, selesai kira-kira 11.30 malam

KUALA LUMPUR – Polis telah merakam keterangan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan beberapa saksi berhubung kegagalan menteri itu mematuhi kuarantin wajib di rumah setelah pulang dari Turki pada Julai lepas.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman DCP Mior Faridalathrash Wahid berkata keterangan Mohd Khairuddin diambil pada 8.30 malam tadi di Bukit Aman bersama beberapa saksi lain bagi membantu siasatan.

Menurutnya proses berkenaan yang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USTJ) Bukit Aman selesai kira-kira 11.30 malam tadi.

“Kita sudah merakam percakapan beliau dan beberapa saksi lain. Jika perlu kita akan memanggil beberapa lagi individu bagi membantu siasatan,” katanya kepada Bernama.

Beliau juga berkata setakat ini pihaknya menerima 27 laporan polis dari seluruh negara berhubung perkara itu.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata isu mengenai Ahli Parlimen Kuala Nerus itu telah diserahkan kepada polis untuk disiasat.

Mohd Khairuddin dikenakan kompaun RM1,000 pada 7 Ogos lepas atas kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador pula dilaporkan mengesahkan pihaknya telah membuka kertas siasatan terhadap Mohd Khairuddin yang gagal mematuhi kuarantin wajib di rumah setelah pulang dari Turki pada 7 Julai lepas. – Bernama

Rabu, 26 Ogos 2020

Bukit Aman tunda ambil keterangan Khairuddin

Perkara itu dimaklumkan pihak Bukit Aman kepada media yang menunggu sejak jam 1 tengah hari.

“D5 (Unit Siasatan Jenayah Terkelas) memaklumkan sebentar tadi, pihaknya menunda untuk mengambil keterangan (menteri) kepada esok,” katanya.

Semalam, Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mior Faridalathrash Wahid memaklumkan Khairuddin akan dipanggil untuk disiasat hari ini.

Sabtu lalu Kementerian Kesihatan (KKM) dilaporkan berkata, Khairuddin dikompaun RM1,000 selepas didapati melakukan kesalahan bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Ahad lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah melalui Twitternya berkata, walaupun Khairuddin dikompaun RM1,000 atas kesalahan berkenaan, kes itu masih disiasat polis.

Khairuddin sepatutnya menjalani kuarantin wajib 14 hari sekembali dari Turki pada 7 Julai lalu, tetapi beliau menghadiri beberapa acara, termasuk sidang Parlimen pada 13 Julai lalu.

Beliau kemudian memohon maaf dan berjanji akan memulangkan semua gajinya sebagai menteri bagi Mei hingga bulan ini sebagai sumbangan kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung Covid-19) bawah Kementerian Kesihatan.

Dua lelaki pecah tabung masjid diburu

Rosli Ilham
 
Rakaman Kamera Litar Tertutup CCTV menunjukkan suspek sedang mencuri tabung masjid. FOTO ROSLI ILHAM

DUA lelaki diburu polis selepas aktif memecah tabung derma di tiga masjid di daerah Kemaman, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, masjid terbabit ialah Masjid Sultan Ahmad di Bandar Chukai , Masjid Labohan Kerteh dan Masjid Kampung Gelugor Bandar Kerteh.

Menurutnya, kejadian kecurian yang berlaku ke atas semua masjid itu membabitkan kerugian kira-kira RM2, 000.

"Dalam kejadian itu, kedua-dua suspek berusia 20-an itu turut melarikan sebuah televisyen di Masjid Jamek Kampung Gelugor .

"Mereka menaiki kereta Perodua Viva yang menggunakan nombor pendaftaran palsu, "katanya hari ini.

Katanya, modus operandi suspek ialah memasuki perkarangan masjid sekitar awal pagi ketika ketiadaan jemaah.

"Seorang daripada suspek memasuki ruang jemaah yang menempatkan tabung derma dan memecahkannya, manakala seorang lagi suspek menunggu di perkarangan masjid.

"Polis percaya kedua-dua suspek adalah penduduk tempatan dan aktif melakukan aktiviti memecah tabung masjid di sekitar Kemaman," katanya.

Hanyan berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

"Orang ramai diminta membantu polis dengan menyalurkan maklumat ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman atau menghubungi bilik gerakan IPD di talian 09 859 2222, "katanya.

Selasa, 25 Ogos 2020

Polis sekat jalan ke ladang Musang King di Raub

Pihak berkuasa mula membuat sekatan di jalan masuk ke ladang-ladang durian haram di Raub, Pahang, pagi ini.

Beberapa orang pekebun memberitahu Malaysiakini, mereka melihat kira-kira 20 orang anggota polis tiba di Kampung Sungai Chalit dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda.

Kerajaan Pahang sebelum ini dilaporkan berkata akan bertindak terhadap semua kebun haram di Kampung Sungai Ruan dan Kampung Chalit, Raub bermula semalam.

Pekebun mendakwa mereka menduduki tanah kerajaan berkaitan sejak 70-an melalui Rancangan Buku Hijau kerajaan Malaysia.

Bagaimanapun kerajaan negeri menganggapnya sebagai pencerobohan dan mahu melakukan pemutihan dengan memajakkannya kepada Royal Pahang Durian Produce-PKPP Sdn Bhd (RPDP-PKPP).

Menurut laman web RPDP, syarikat itu dipengerusikan oleh puteri Agong, Tengku Puteri Iman Afzan.

Jumaat, 21 Ogos 2020

Isu judi: Siasat segera kekayaan bekas Ketua Polis Selangor – Jamal

Nizam Zain

IMG-20200819-WA0018-681x454

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos menggesa Bukit Aman menyiasat kekayaan yang dimiliki oleh bekas Ketua Polis Selangor, Datuk Seri Abdul Samah Mat.

Jamal tidak menolak kemungkinan Abdul Samah terlibat dalam melindungi taukeh-taukeh yang menjalankan operasi premis perjudian haram di sekitar Ampang sejak 2015.

“Minggu depan saya mungkin ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk buat laporan salah guna kuasa.

“Sebelum ini kami sudah buat laporan kepada SPRM Selangor dan tidak ada juga jawapan.

“Kita minta ketua Pengarah SPRM lihat balik laporan kami dan kami juga mohon siasat tentang kekayaan bekas Ketua Polis Selangor ini kalau betul dia terlibat.

“Kalau tak terlibat Alhamdulillah kita berdoa dia tak terlibat,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Bukti Aman, hari ini.

Terdahulu Jamal menyerahkan memorandum kepada pejabat Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menggesa Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menyiasat bekas Ketua Polis Selangor itu dan pendedahan beliau mengenai aktiviti perjudian haram di Taman Kosas, Ampang sejak 2015.

Memorandum setebal enam halaman itu diterima oleh pegawai perhubungan awam Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

“Alhamdulillah, ini adalah kerjasama yang kita perlukan daripada pihak polis.

“NGO dan pemimpin masyarakat perlu ada hubungan dan kerjasama dengan pihak polis dengan erat sebab masyarakat dan polis tak dapat dipisahkan,” katanya.

Jamal turut melahirkan rasa kesal terhadap bekas Ketua Polis Selangor itu yang sebelum ini mengeluarkan kenyataan lantang selepas beliau membuat pendedahan mengenai aktiviti perjudian haram di Ampang.

“Saya terkilan dengan kenyataan-kenyataan ketika itu, di mana ketua polis Selangor ketika itu, sekarang sudah bersara semoga beliau gembira bersama dengan keluarga.

“Tengok kenyataan pedas, lepas dua jam saja saya buat pendedahan, kenyataan merapu-rapu daripada Ketua Polis Selangor,” katanya.

Sebagai pemberi maklum dan pengadu, Jamal pula dikenakan tindakan undang-undang atas pertuduhan samun berkumpulan, sementara peguamnya, Datuk Mohd Imran Tamrin pula dituduh sebagai rakan sejenayah.

“Adakah orang yang memberikan maklumat dan pendedahan lebih salah daripada kegiatan aktiviti perjudian haram, ini undang-undang macam mana dalam negara kita.

“Saya yang membuat pendedahan, saya yang bagi maklumat kepada pihak polis, saya yang buat laporan.

“Adakah itu besar lagi kesalahannya daripada menjalankan kegiatan kedai judi haram,” katanya.

Jamal berharap Ketua Polis Negara tidak melindungi mana-mana pegawainya termasuk yang telah bersara sekiranya didapati menyalahgunakan kuasa melindungi kegiatan judi haram ini.

“Yang salah tetap salah, walaupun kesalahan itu sejak 10 tahun lalu.

“Saya harap Tan Sri Hamid Bador seorang yang jujur, amanah dan ikhlas, inilah harapan kami dan rakyat Malaysia kepada PDRM,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Polis tahan 86 individu ingkar PKPP

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata polis 
bersama petugas Kementerian Kesihatan akan sentiasa membuat 
pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan prosedur 
operasi standard (SOP) dipatuhi.

PETALING JAYA: Polis menahan 86 individu atas kesalahan ingkar arahan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu seramai 77 individu dikompaun manakala 9 direman.

Beliau berkata, dalam Operasi Benteng pula polis menahan 2 individu warga asing atas kesalahan imigresen.

“Semalam polis mengadakan 63 sekatan jalan raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 32,279 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) terutama di lorong tikus.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutama di lorong tikus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau berkata menerusi 327 pemeriksaan terhadap individu yang menjalani kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing, polis mendapati semua mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Polis bersama petugas Kementerian Kesihatan akan sentiasa membuat pemeriksaan dan pemantauan terhadap individu terbabit bagi memastikan SOP dipatuhi,” katanya.

Khamis, 20 Ogos 2020

Lelaki 'lalok' memandu langgar 6 kereta

Nur Izzati Mohamad
 
GAMBAR Hiasan

LELAKI ditahan kerana disyaki memandu di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan berlaku kemalangan di enam lokasi berbeza di sekitar Bukit Mertajam semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, polis menerima laporan daripada enam pemandu kereta yang memaklumkan bahawa kenderaan mereka dilanggar seorang lelaki tidak dikenali.

"Dalam kejadian antara 12 tengah hari hingga 3.30 petang itu, keenam-enam mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan kenderaan mereka pula mengalami kerosakan kecil," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, polis sudah menahan suspek berusia 28 tahun untuk siasatan lanjut.

"Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan terhadapnya mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Rabu, 19 Ogos 2020

Kes SD liwat : Polis panggil individu beri keterangan

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memanggil seorang lelaki bagi memberikan keterangan hari ini, berkaitan pendedahan yang mendakwa dirinya dibayar oleh seorang ahli politik untuk melakukan perbuatan liwat.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata sehubungan itu, satu kertas siasatan dibuka dan disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah untuk memastikan pendedahan  yang dibuat dalam bentuk akuan berkanun (SD) itu adalah tulen.

Beliau berkata pesuruhjaya sumpah berkaitan SD itu turut diambil kenyataannya semalam untuk memastikan akuan tersebut adalah tulen dan individu itu akan dipanggil semula bagi memberikan kerjasama dalam masa terdekat.

Baru-baru ini tular di media sosial melibatkan SD bertarikh 29 Jun lalu yang mendedahkan seorang lelaki dibayar sebanyak RM300 oleh seorang ahli politik tempatan untuk melakukan hubungan songsang di sebuah hotel di Subang pada 2013.

Terdahulu berlangsung Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) PDRM di Mes Pegawai Kanan, Bukit Aman, di sini yang menyaksikan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Seri Abd Rahim Jaafar antara 10,068 penerima APC bagi tahun 2019.

Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai cadangan polis untuk diadakan semula inkues berkaitan kes kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, Abdul Hamid berkata perkara itu bergantung kepada keputusan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun.

Menurutnya, cadangan itu susulan daripada desakan orang awam yang mendakwa mempunyai maklumat baharu yang boleh membantu siasatan.

“Siasatan telah dijalankan secara menyeluruh namun saya mohon sesiapa sahaja yang ada maklumat untuk tampil ke hadapan supaya kes ini dapat diselesaikan,” katanya.

Muhammad Adib, 24, yang bertugas sebagai anggota bantuan kecemasan Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov 2018 dan meninggal dunia di Institut Jantung Negara selepas 21 hari menerima rawatan.

Pada 27 Sept tahun lepas, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib, adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.— BERNAMA

Selasa, 18 Ogos 2020

Harta polis Sungai Buloh disiasat

Oleh NURAINA HANIS ABD. HALIM,
ZAMRI YAHYA

KUALA LUMPUR: Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman sedang menyiasat rekod kerja dan pengisytiharan harta melibatkan pegawai serta anggota polis di daerah Sungai Buloh, Selangor.

Pengarahnya, Datuk Zamri Yahya berkata, siasatan dijalankan ke atas semua pegawai dan anggota namun tumpuan diberikan kepada mereka yang terlibat dalam tugas membanteras kegiatan perjudian.

“Kita sedang meneliti dokumen-dokumen rekod kerja dan pengisytiharan harta mereka sama ada terdapat lebihan harta atau tidak.

“Ini bagi memastikan mereka hidup atau menjalankan tugas selaras dengan peraturan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagaimanapun, proses ini mengambil masa kerana banyak dokumen perlu diperiksa,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Dalam pada itu, Zamri berkata, pihaknya kini sedang meneliti rekod serbuan dan tindakan susulan yang diambil ke atas pusat judi di daerah tersebut.

Katanya, ketika ini Bukit Aman dan JIPS sedang menyiasat kertas siasatan serta serbuan yang dijalankan ke atas premis perjudian untuk 2019 dan tahun ini.

“Setakat ini, apa yang kita dapati untuk tahun lepas hampir 100 serbuan dijalankan dan ini menunjukkan tindakan secara berterusan bagi mengekang isu terbabit telah diambil.

“Namun pihak JIPS sedang dalam proses memperincikan secara lebih mendalam tindakan susulan seperti pendakwaan diambil serta berapa kes dituduh di mahkamah,” ujarnya.

Minggu lalu, Tan Sri Abdul Hamid Bador menegaskan, sebarang tindakan termasuk rombakan dalaman melibatkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh hanya akan diputuskan selepas siasatan berhubung kes perjudian di daerah itu selesai.

Katanya, pucuk pimpinan PDRM perlu berlaku adil dan menyiasat terlebih dahulu dakwaan salah laku pegawai dan anggota IPD Sungai Buloh berhubung isu perjudian itu. – UTUSAN ONLINE

Pengusaha kedai makan pasang bendera terbalik ditahan

NOR AZURA MD AMIN 


Jalur Gemilang yang dipasang terbalik di sebuah kedai makan di Kluang.

JOHOR BAHRU- Polis menahan seorang wanita berusia 55 tahun dipercayai memasang Jalur Gemilang terbalik di sebuah kedai makan di Taman Nasib, Kluang, kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, bertindak atas maklumat dan laporan orang awam, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, membuat pemeriksaan di premis tersebut.

Katanya, hasil siasatan mendapati premis terbabit menjalankan perniagaan kedai makan sejak tahun 2017 itu tidak lagi beroperasi sejak awal Januari lalu.

"Pemasangan bendera terbalik ini adalah sejak premis beroperasi iaitu pada tahun 2017 hingga aduan dibuat oleh orang awam. Turut dirampas sehelai bendera Malaysia.

"Suspek akan didakwa di bawah Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama ( penggunaan tidak wajar) (pindaan 2017). Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Ayob Khan turut menasihatkan orang awam sentiasa menjaga kedaulatan dan keamanan negara dan tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang sedia ada jika masih ada melakukan perbuatan sedemikian.

Jumaat, 14 Ogos 2020

Tiga penguat kuasa MBSA ditahan

Ekhwan Haque Fazlul Haque
 
Hiasan SPRM

TIGA penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Cawangan Sungai Buloh ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima rasuah bagi melindungi premis perniagaan tidak berlesen termasuk pusat perjudian di sekitar Sungai Buloh.

Menurut sumber, semua yang ditahan berusia di antara 40 hingga 43 tahun.

Mereka ditahan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, kira-kira 2 petang semalam, ketika hadir memberi keterangan.

Sumber berkata, siasatan lanjut mendedahkan rangkaian sindiket dalam kalangan anggota penguat kuasa yang mengutip wang rasuah secara bulanan bagi melindungi premis berkenaan.

Katanya, wang perlindungan ini seolah-olah menjadi budaya dalam kalangan penguat kuasa sehingga menyebabkan peniaga termasuk premis judi tidak takut kepada sebarang tindakan penguatkuasaan.

"Ketiga-tiga penguat kuasa terbabit akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini untuk perintah reman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah," katanya, hari ini.

Sebelum ini, SPRM sudah menahan lima penguat kuasa MBSA dan seorang peniaga rokok berbangsa Acheh dan setakat ini, sembilan tangkapan sudah dibuat.

Ini susulan pendedahan peniaga burger, Mohd Asri Hamid atau Asri Janggut mengenai kegiatan premis perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh baru-baru ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi bin Yahaya ketika dihubungi mengesahkan tangkapan namun enggan mengulas lanjut

Asri Janggut hadir ke Bukit Aman

Ekhwan Haque Fazlul Haque

Mohd Asri (kiri) ketika hadir di Bukit Aman, hari ini.

PENIAGA burger kontroversi, Mohd Asri Hamid, 42, atau Asri Janggut tiba di Bukit Aman, Kuala Lumpur, untuk memberi keterangan, pagi ini.

Asri berkata, beliau kini masih menanti kehadiran peguamnya sebelum memberi keterangan kepada Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

"Insya-Allah saya akan beri keterangan pagi ini. Masih menunggu seorang lagi peguam tiba sebelum memberi keterangan," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Pengasas Hot Burger itu dipanggil memberi keterangan dipercayai susulan dakwaannya bahawa anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak menjaga solat.

Sebelum ini, Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid dilapor berkata, Asri disiasat mengikut Seksyen 505 (b), Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

Asri sebelum ini membuat pendedahan mengenai kegiatan premis perjudian yang didakwa dilindungi penguat kuasa.

Bagaimanapun, dia sekali lagi mencetuskan kontroversi selepas mendakwa anggota tentera dan polis tidak menjaga solat dalam satu temu bual secara langsung di Facebook beberapa hari lalu.

Rabu, 12 Ogos 2020

Hina polis, tentera, Bukit Aman siasat Asri Janggut

Bernama
MGF26092019_Sidang-Media-Bukit-Aman_10-681x454
Mior Faridalathrash Wahid.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid atau Asri Janggut berhubung kenyataannya yang seolah-olah menghina polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi video tular di laman sosial, semalam.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mior Faridalathrash Wahid berkata, Mohd Asri akan dipanggil untuk diambil keterangannya dalam minggu ini oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT).

Beliau berkata, siasatan dijalankan selepas 2 laporan polis dibuat di balai polis Travers dan Jalan Tun Razak hari ini.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan kerana kenyataan yang mendatangkan khianat awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya kepada Bernama.

Hari ini, Bernama melaporkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menyifatkan dakwaan Mohd Asri yang anggota PDRM tidak menjaga solat sebagai keterlaluan.

Semalam, 1 klip video berdurasi 31 saat memaparkan Asri Janggut, 42, dalam sidang media mendakwa anggota polis serta tentera tidak menjaga solat.- BERNAMA

Lindungi premis haram: 4 penguat kuasa MBSA direman tujuh hari

 MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Empat anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) direman tujuh hari berkaitan siasatan kes menerima dan mengutip rasuah bagi melindungi premis perniagaan haram di Sungai Buloh, Selangor.

Turut direman tujuh hari ialah seorang peniaga rokok seludup berbangsa Aceh kerana disyaki membayar wang rasuah sebanyak RM300 sebulan kepada penguat kuasa.

Perintah tahanan reman bagi kelima-lima individu berkenaan bermula hari ini sehingga Selasa (18 Ogos) dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Semalam, keempat-empat penguat kuasa MBSA - tiga bertugas di cawangan Sungai Buloh manakala seorang lagi di Shah Alam - ditahan di ibu pejabat SPRM di sini selepas hadir bagi memberi keterangan berkaitan kes berkenaan.

Empat penguat kuasa dan peniaga itu tiba di mahkamah pada kira-kira 8.40 pagi dengan digari dan berbaju lokap SPRM berwarna jingga.

Isu berkenaan menjadi hangat apabila baru-baru ini tular dua klip video menerusi laman sosial Facebook Hot Burger Malaysia serta dikongsi akaun Mohd Asri Hamid, 42, atau dikenali sebagai Asri Janggut, yang mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kes judi serta mendedahkan lokasi perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh.

Susulan pendedahan itu, SPRM melakukan siasatan terhadap dakwaan berkenaan dan mendapat kerjasama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, bagi menyiasat dakwaan itu.- Bernama

Selasa, 11 Ogos 2020

Polis Johor tahan 5 lelaki, seorang wanita buru haiwan eksotik

Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua suspek rakyat 
tempatan itu ditahan menerusi Op Khazanah Pemburuan Haiwan dan hasil 
maklumat daripada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

JOHOR BAHRU: Polis Johor menumpaskan kegiatan pemburuan haiwan eksotik dan penggunaan senjata api secara haram, dengan penahanan 5 lelaki serta seorang wanita di Mersing dan Kluang, semalam.

Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua mereka yang merupakan rakyat tempatan dan dipercayai aktif dalam kegiatan pemburuan haiwan eksotik sejak 2 tahun lepas itu ditahan menerusi Op Khazanah Pemburuan Haiwan dan hasil maklumat daripada Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Menerusi operasi pertama di tepi Sungai Lenggor, Jemaluang, dekat Mersing pada 1.30 pagi semalam, sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Perhilitan Negeri Johor dan Pasukan Gerakan Am, menahan 3 lelaki berumur antara 33 dan 47 tahun,” katanya di sini, hari ini.

Ayob Khan berkata, hasil penahanan ketiga-tiga lelaki terbabit, polis merampas 2 bahagian daging babi hutan, 1 trofi duri landak, 2 laras senapang buatan sendiri, 3 peluru penabur 12 bore, 3 parang, serta 1 kereta Mitsubishi Triton.

Menurutnya, menerusi operasi kedua yang dilakukan hasil daripada maklumat Sultan Ibrahim pula, polis menahan 2 lagi lelaki dan seorang wanita berumur antara 44 dan 53 tahun, pada 10 malam, di beberapa lokasi di sekitar Kluang.

Katanya, hasil penahanan mereka, polis merampas 54 bahagian daging babi hutan, 17 bahagian disyaki daging ayam hutan, 10 bahagian disyaki daging burung puchong, 6 bahagian disyaki daging kijang, 2 kepala kijang, selaras senapang patah, 270 peluru penabur senapang patah pelbagai jenama, sebuah Toyota Hilux, serta 1 buku lesen senjata api.

Ayob Khan berkata, pihaknya percaya kesemua daging yang dirampas berkenaan untuk pasaran di restoran sekitar Kluang, dan beberapa negara luar.

Menurutnya, kesemua 5 lelaki dan seorang wanita terbabit kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 60 (1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan Seksyen 8, 8(a) serta 8 (b) Akta Senjata 1960.

“Polis Johor menyeru orang ramai, agar menyalurkan maklumat kepada pihak polis jika terdapat mana-mana orang yang memiliki senjata api, buatan sendiri.

“Bagi semua pemegang senjata api berlesen, polis Johor memberi amaran tegas akan membuat semakan ke atas penggunaan senjata api yang berlesen untuk memastikan tiada sebarang pelanggaran syarat lesen dikeluarkan,” katanya.

Beliau meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan penyalahgunaan lesen senjata api supaya menghubungi Bilik Gerakan Polis Kontinjen Johor di talian 07-2254074.