Khamis, 14 Jun 2018

Putrajaya digesa lancar Skim Peduli Sihat segera

Putrajaya digesa lancar Skim Peduli Sihat segera
Menteri Kesihatan Dr Zulkefly Ahmad yakin kerajaan akan dapat melancarkan skim ini dalam tempoh 100 hari pertama, walaupun dengan hutang negara yang ada. yakin kerajaan akan dapat melancarkan skim ini dalam tempoh 100 hari pertama, walaupun dengan hutang negara yang ada.

PENGAMAL penjagaan kesihatan swasta berharap janji pilihan raya kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk memperluaskan Skim Peduli Sihat Selangor ke seluruh negara dapat dipercepatkan kerana ia merupakan skim menang-menang untuk semua, kata Persatuan Pengamal Perubatan Malaysia.

Timbalan Presiden, Dr Rajah Kumar Maharajah berkata, program yang memberi bantuan RM500 untuk rawatan asas di klinik swasta berdaftar bagi golongan B40 itu akan dapat membantu menyelesaikan masalah kemudahan swasta yang tidak digunakan di samping mengurangkan kesesakan di pusat kesihatan kerajaan.

"Sudah sekian lama kami menggesa kerajaan menggunakan kemudahan yang tidak digunakan di klinik-klinik swasta. Ini secara tidak langsung mengurangkan kesesakan di klinik kesihatan kerajaan.

"Tetapi tiada siapa mendengar cadangan kami. Lebih buruk lagi, kerajaan menubuhkan Klinik 1Malaysia yang menyebabkan kerajaan bersaing dengan klinik swasta," Dr Raj memberitahu The Malaysian Insight.

Klinik 1Malaysia adalah program bernilai RM10 juta yang dilancarkan di bawah pentadbiran Najib Razak pada 2010 yang bertujuan untuk memberi perkhidmatan kesihatan asas murah pada harga RM1 di seluruh negara.

Namun, terdapat laporan bahawa orang ramai tidak berpuas hati dengan kualiti perkhidmatan kerana klinik diuruskan oleh penolong pegawai perubatan, bukannya doktor.

Pelancaran Skim Peduli Sihat ke seluruh negara merupakan satu daripada 10 janji PH dalam 100 hari pertama mentadbir.

Bagaimanapun, baru-baru ini kerajaan mengumumkan untuk menangguhkan pelaksanaan skim tersebut sehinggalah keadaan kewangan negara pulih.

Di Selangor, program Skim Peduli Sihat menerima RM125 juta setahun dari kerajaan negeri.

Golongan B40 yang menerima bantuan ini ialah mereka yang memperoleh pendapatan isi rumah RM3,900 atau kurang. Mereka boleh mendapatkan rawatan di mana-mana klinik panel.

Seorang penduduk Selangor, Ramli Ali, 59, berkata skim itu amat membantu keluarganya berjimat.

"Bantuan itu benar-benar membantu keluarga saya dari segi kewangan kerana wang yang saya selalu gunakan untuk ubat, kini saya simpan," katanya kepada The Malaysian Insight.

Masa menunggu yang lebih pendek di klinik swasta juga satu kelebihan, katanya.

Dr Raj berkata faktor masa boleh menjadi perbezaan besar bagi golongan miskin bandar, terutamanya yang bekerja menerima gaji berdasarkan jam atau hari.

"Mereka sembuh dan dirawat dengan lebih cepat, bermakna mereka boleh kembali bekerja dengan cepat dan membantu mengurangkan kesesakan hospital dan klinik kesihatan kerajaan.

"Ini situasi menang-menang bagi kerajaan, klinik swasta dan pesakit," katanya.

Tidak jelas berapa banyak yang perlu ditanggung oleh kerajaan baru untuk melancarkan skim itu di seluruh negara. Putrajaya pada masa ini menumpukan kepada mengurangkan hutang negara yang ditetapkan pada RM1 trilion.

Skim ini diperkenalkan di Selangor dalam dua kategori - keluarga dan individu - dengan tujuan mengurangkan kos sara hidup bagi golongan berpendapatan rendah.

Keluarga yang layak menerima pembiayaan sebanyak RM500 di bawah satu kad Peduli Sihat, manakala individu berumur 21 tahun ke atas yang berpendapatan RM1,500 sebulan atau kurang berhak mendapat banyak RM200 setahun.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata dalam satu temu bual minggu lepas beliau yakin kerajaan akan dapat melancarkan skim ini dalam tempoh 100 hari pertama, walaupun dengan hutang negara yang ada.

"Skim Peduli Sihat akan dilancarkan. Sekurang-kurangnya dalam masa 100 hari, kami akan mengadakan soft launch atau sesuatu seperti itu, "katanya kepada The Star.

"Saya sudah mengadakan perbincangan dengan bahagian Pembiayaan Kesihatan Nasional dan saya fikir skim ini dapat dilaksanakan dengan melihat mekanisme dan pembiayaan," katanya.

Tiada ulasan: