Isnin, 18 Jun 2018

PRESIDEN UMNO: KU LI TIDAK LAYAK – ZAINURI





Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah disifatkan bukan calon yang layak untuk diangkat sebagai Presiden UMNO.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Selangor, Zainuri Zakaria berkata, walaupun Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li merupakan seorang wakil rakyat berpengalaman, namun bekas Menteri Kewangan itu dilihat tidak mampu memimpin serta mengembalikan semangat ahli parti.

Beliau turut berpendapat Ku Li tidak mampu menarik sokongan rakyat Malaysia jika terpilih sebagai Presiden UMNO pada pemilihan parti nanti.

“UMNO perlukan seorang pemimpin yang kuat untuk menerajui parti selepas mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Pemuda UMNO Selangor juga tidak lihat jasa yang Ku Li telah lakukan untuk rakyat yang boleh kita banggakan serta boleh dikenang rakyat,” katanya kepada Watan Online pada Ahad.

Zainuri berkata, ahli UMNO perlu memikirkan sedalam-dalamnya sebelum memilih bakal pemimpin yang akan menerajui parti yang ketika ini sedang melalui saat getir selepas PRU-14.

“Pemilihan Ku Li sebagai Presiden bukanlah perubahan yang rakyat mahukan dalam UMNO. Ia lebih dari itu dan UMNO perlu tampilkan pemimpin baharu yang membawa idea baharu,” katanya.

Pemilihan Presiden UMNO dijangka menyaksikan pertembungan antara Ku Li dengan pemangku Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pada peringkat Timbalan Presiden pula, dua nama sudah mengesahkan untuk bertanding iaitu Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.


Tiada ulasan: