Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkemungkinan besar tidak bertanding mempertahankan kedudukannya ataupun merebut jawatan baharu dalam pemilihan parti itu Jun ini.
Hishammuddin yang kini menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO itu dikatakan ‘hilang arah’ selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.
Difahamkan keputusan untuk tidak bertanding pada pemilihan parti itu nanti sudah dimaklumkan kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku pemangku tugas Presiden UMNO.
Malah, spekulasi bertiup kencang turut mendakwa bekas Menteri Pertahanan itu juga cuba mendapatkan ‘talian hayat’ daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Sememangnya keputusan Hishammuddin amat mengecewakan Ahmad Zahid yang terkejut dengan pendiriannya. Perkara itu tidak dimaklumkan sendiri oleh beliau, sebaliknya menghantar dua pegawainya bertemu Ahmad Zahid.
“Hishammuddin bagaikan hilang arah dan beliau melihat UMNO umpama tiada masa depan lagi.
Sebab itulah sehingga kini dia tidak membuat apa-apa keputusan lagi,” kata sumber kepada Watan-Online.
Sehingga kini enam pemimpin UMNO termasuk Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin sudah mengesahkan akan bertanding bagi merebut jawatan Naib Presiden parti itu.
Manakala bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan telah mengumumkan untuk.bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO.
“Katanya sudah ada pertemuan antara pihak Hishammuddin dengan Mahathir.
“Difahamkan beliau meminta ihsan Mahathir untuk membantu karier politiknya memandangkan Tun Hussein Onn pernah berjasa kepada Perdana Menteri sebelum ini. Jadi kedudukan Hishammuddin masih menjadi tanda tanya,” tambah sumber itu lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan