Isnin, 18 Jun 2018

Pemilihan Umno: 7 calon tanding presiden, 3 untuk timbalan

 


Umno menerima tujuh borang pencalonan bagi jawatan presiden manakala tiga calon akan bertanding jawatan timbalan presiden.

Perkara itu diumumkan sekretariat pemilihan Umno dalam sidang media di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur, hari ini.

Namun nama calon yang layak hanya akan diumumkan esok selepas proses semakan, termasuk dengan Jabatan Insolvensi Malaysia untuk melihat jika ada yang berstatus muflis.

Setiausaha Eksekutif Umno Ab Rauf Yusoh, yang mempengerusikan sidang media itu hanya mengesahkan nama Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, dan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah dari tujuh nama yang akan bertanding jawatan tertinggi parti itu.

Dalam sejarah Umno, jumlah berkenaan merupakan yang paling tinggi, kata Rauf.

Sementara itu, enam pencalonan bagi jawatan naib presiden yang memperuntukkan tiga wakil.

Kesemua 121 calon akan bertanding 25 jawatan untuk anggota Majlis Tertinggi, tambah Rauf.

Rauf turut menjelaskan bahawa 612 anggota dan pemimpin Umno telah berdaftar untuk pemilihan 30 Jun ini.

Bagi sayap pemuda, enam calon akan bertanding untuk menggantikan tempat Khairy. Sembilan yang lain akan bertanding bagi jawatan naib ketua Pemuda.

Seramai 207 telah mendaftar untuk merebut 20 jawatan anggota exco sayap Pemuda.

Jawatan ketua Wanita dan ketua Puteri turut dipertandingkan.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor akan mengumumkans senarai calon petang esok.

Umno akan mengadakan pemilihan parti pada 30 Jun, sementara sayap parti akan mengadakan pemilihan pada 23 Jun.

Tiada ulasan: