Jumaat, 1 Jun 2018

PAS TOLAK KERJASAMA UMNO




PAS bertegas untuk tidak membentuk kerjasama dengan UMNO, ujar Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sebaliknya, beliau berkata PAS mempelawa anggota UMNO untuk menyertai parti itu bagi membentuk gabungan yang kuat selepas parti kaum Melayu itu tewas besar pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lepas.

“Saya sudah lama ajak mereka (UMNO) masuk PAS. Bila mereka sudah hilang kuasa pada PRU lalu, saya rasa sudah tiba masanya untuk mereka sertai PAS, bukan PAS yang akan sertai UMNO.

“Apa yang berlaku pada PRU lepas adalah kerana rakyat tolak Barisan Nasional (BN), jadi atas sebab itu kita buka pintu kepada BN dan UMNO untuk sertai PAS,” katanya seperti dilapor Bernama ketika ditemui selepas majlis himpunan kesyukuran pasca PRU14 di Kompleks PAS Kedah di Alor Setar pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Anggota Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bahawa UMNO dan PAS perlu bergabung dan membentuk kerjasama yang dapat memberikan cabaran kepada Pakatan Harapan dan dalam masa sama menjaga kepentingan Melayu.

Pada PRU lalu, PAS mengukuhkan kedudukannya di Kelantan dan merampas kembali Terengganu daripada BN, sekaligus tampil sebagai parti yang dominan di negeri Pantai Timur.

Manakala BN yang tewas di kebanyakan negeri-negeri Pantai Barat hanya mampu mempertahankan Pahang, Perlis dan Sarawak.


Tiada ulasan: