KOTA BHARU: PAS
menyambut baik titah Tuanku Sultan Selangor yang menzahirkan kebimbangan
terhadap orang Melayu yang cuba mengkritik institusi raja.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan
Ibrahim Tuan Man berkata, institusi Raja Melayu menjadi asas pembentukan
negara dan perpaduan rakyat.
“Kita minta kerajaan segera membendung perbuatan menghina raja. Jangan sampai ia menjadi satu budaya.
“Pihak yang menghina raja-raja perlu
dibawa ke mahkamah,” katanya ketika ditemui media selepas penyampaian
kelengkapan Aidilfitri kepada golongan asnaf di Parlimen Kubang Kerian
semalam.
Kelmarin Sultan Selangor, Sultan
Sharafuddin Idris Shah dilapor melahir dukacita terhadap perbuatan pihak
tertentu yang secara terbuka menghina dan memperlekeh institusi raja.
Menurut baginda, paling mendukacitakan hasutan supaya membenci Raja-raja Melayu itu dilakukan segelintir orang Melayu.
Oleh itu Tuan Ibrahim berharap kerajaan
menangani segera isu menghina institusi raja khususnya Yang di-Pertuan
Agong oleh pihak tertentu sekarang.
Menurutnya perkara itu harus dibendung
sejak awal bagi memastikan ia tidak menular dan menjadi budaya baharu
masyarakat di negara ini.
“PAS memandang serius isu tersebut kerana ia menyentuh soal pokok berkaitan perlembagaan negara iaitu institusi raja,” ujarnya.
Sebaliknya beliau berkata, konsep
Malaysia Baharu yang dilaksanakan kerajaan Pakatan Harapan sekarang
dilihat cuba memberi ruang kepada kebebasan media. - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan