Pemangku presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi digesa memberi laluan kepada veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah dalam pemilihan parti, 30 Jun ini.
Penulis blog kontroversi Papagomo berkata, Zahid perlu mencontohi pengorbanan besar pemangku timbalan presiden Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang mengumumkan tidak bertanding jawatan tertinggi hari ini.
“Buat Datuk Sri Zahid Hamidi, tak perlulah bertanding. Bantu lah Ku Li dan kepimpinan Umno selepas ini.
“Ku Li memerlukan Datuk Sri Zahid dan Datuk Sri Hishammuddin untuk membantu parti.
“Berjiwa besarlah Datuk Sri Zahid dalam keadaan payah kita hari ini demi memulihkan Umno agar diterima masyarakat,” kata Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris.
Tengku Razaleigh hampir-hampir berjaya merebut jawatan presiden Umno buat pertama kali ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri buat kali pertama pada 80-an.
Beliau hanya tewas tipis di tangan Mahathir, yang rentetan krisis itu membawa kepada pengharaman Umno pada 1988.
Sementara itu, Papagomo percaya Tengku Razaleigh diperlukan supaya generasi muda hari ini kenal musuh politik mereka Mahathir.
“Ku Li wajar diangkat sebagai presiden Umno pada waktu ini tanpa perlu ada pertandingan dan pemimpin Umno yang lain berilah laluan untuk Ku Li menerajui parti keramat Umno ini,” kata ahli Umno Wangsa Maju itu.
Ku Li telah mengadakan pertemuan dengan anggota-anggota parlimen Umno dan dijadual hadir dalam majlis perbincangan berkaitan masa depan Umno pada Isnin depan di ibu negara.
Kedua-dua majlis itu dikait dan dispekulasikan dengan pemilihan yang beliau dilihat sedang mencongak sokongan semasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan