Khamis, 21 Jun 2018

Otai Reformis pertikai surat presiden PKR pada Sultan

 


Otai Reformis mempersoalkan kenapa Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menulis surat kepada Sultan Selangor sehingga menyebabkan surat daripada ketua parti lain dalam Pakatan Harapan terbatal.

Anggota Otai Reformis Abdul Razak Ismail berkata, tindakan Wan Azizah itu dianggap mengetepikan calon yang telah dipersetujui oleh Pakatan Harapan Selangor.

Beliau berkata pihaknya bukan mempertikaikan pelantikan Amirudin Shaari yang telah diperkenal Sultan tetapi hanya membangkitkan persoalan berhubung muafakat HARAPAN.

"Adakah wajar satu komponen dari HARAPAN sewenang-wenangnya batalkan sokongan ketua parti lain dalam HARAPAN sendiri.

"Itu yang kami pertikaikan. Ia tak bagus. Kami mahu supaya budaya seperti ini dibersihkan. Harap ia tidak berlaku lagi di mana-mana, budaya cantas-mencantas ini, tak betul.

"Kami lihat berlaku keputusan kepimpinan yang tidak konsisten," katanya pada sidang media di Petaling Jaya hari ini.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok, Dr Idris Ahmad yang turut disebut-sebut sebagai calon menteri besar Selangor sebelum ini turut hadir dalam sidang media itu.

Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam menafikan dakwaan Idris bahawa Amirudin Shari yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua mengangkat sumpah menteri besar tanpa kesepakatan HARAPAN.

Dalam kenyataan 7 Jun lalu, istana Selangor berkata Sultan Sharafuddin pada 7 Jun lalu menerima sepucuk surat dari Wan Azizah yang mencalonkan tiga ADUN bagi perkenan baginda.

Menurut kenyataan istana, surat itu secara tidak langsung membatalkan surat terdahulu yang ditulis oleh ketua-ketua parti politik negeri Selangor.

Sementara itu, Abdul Razak berharap pimpinan PKR memberi penjelasan kepada akar umbi berhubung perkara yang berlaku berhubung pelantikan menteri besar Selangor.

Otai Reformis dianggotai oleh aktivis reformasi 1998 yang menuntut keadilan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipecat sebagai timbalan perdana menteri ketika itu.

LIHAT VIDEO DI SINI


Tiada ulasan: