Jumaat, 22 Jun 2018

Maszlee lantik Izzah ketuai pemerkasaan TVET





Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengumumkan pelantikan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET).

Menurut Dr Maszlee, jawatankuasa tersebut berperanan bagi menyediakan laporan untuk memperkasakan dan menaik taraf TVET.

“Saya amat berbesar hati mengalu-alukan Nurul Izzah sebagai pengerusi jawatankuasa pemerkasaan TVET ini.

“Beliau merupakan salah seorang yang sangat mengambil berat tentang pendidikan TVET dan beliau telah berbincang dengan saya bagaimana TVET mampu membantu golongan muda merebut peluang pekerjaan juga keusahawanan,” katanya dalam sidang media di Putrajaya semalam.

Jelasnya, kerajaan sedar akan pentingnya aliran teknikal dan vokasional selaras dengan Manifesto Pakatan Harapan (Harapan) untuk membangunkan bidang kemahiran tersebut supaya setaraf dengan aliran lain dan bukan lagi sebagai pilihan kedua.

“Di peringkat kementerian juga kita mensasarkan satu hari nanti bidang TVET ini mampu diangkat setaraf dengan pendidikan TVET di Austraila dan Jerman yang terkenal dipersada dunia,” tambah Dr Maszlee lagi.



Tiada ulasan: