Selasa, 5 Jun 2018

KHALED CALON KEENAM TANDING NAIB PRESIDEN




Perebutan jawatan Naib Presiden UMNO dilihat cukup sengit apabila enam pemimpin parti itu sudah mengesahkan untuk bertanding jawatan itu dalam pemilihan parti Jun depan.

Terbaru, bekas menteri besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini turut mengumumkan akan bertanding jawatan Naib Presiden UMNO.

Beliau berkata keputusan itu dibuat bagi memastikan perubahan berlaku kepada UMNO dalam setiap perkara.

“Kita wajib memastikan berlakunya pengislahan dalam segala aspek, keupayaan dan tadbir urus.

“Sebarang kemajuan yang berlaku kepada parti adalah kemajuan kepada kita semua. Tanpa kompromi, tanpa ada yang terkecuali,” katanya melalui satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Khaled yang juga merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor berkata beliau akan memberikan perkhidmatan yang terbaik dan mencuba sedaya upaya bagi menyelesaikan segala masalah yang dihadapi parti tersebut.

“Perkhidmatan akan terus menjadi paksi dan pegangan saya, biarpun sejujurnya saya tidak mempunyai sifir ajaib bagaimana segala masalah UMNO dapat dibetulkan dengan mudah dan segera.

“Tetapi, saya yakin akan seperkara. Setiap seorang daripada saudara adalah inspirasi terbaik. Yang memberi daya dan kudrat untuk saya terus berikhtiar memberikan yang terbaik kepada parti ini.

“Kita akan boleh mencapai impian besar ini jika kita bekerja keras bersama, nekad, dan memastikan pemimpin yang telus dan berwibawa diangkat untuk memimpin kita sepanjang kembara yang penuh bermakna ini,” katanya.

Khaled merupakan pemimpin UMNO ke enam yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden setelah bekas menteri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Seri Mahdzir Khaled mengumumkan untuk bertanding jawatan yang sama.

Tiga yang lain adalah Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar, bekas menteri besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.


Tiada ulasan: