Khamis, 21 Jun 2018

Kerajaan anggar subsidi petrol, diesel cecah RM3 bilion

Kerajaan anggar subsidi petrol, diesel cecah RM3 bilion
Anggaran subsidi untuk RON95 dan diesel sehingga hujung tahun cecah RM3 bilion, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal
 
KERAJAAN menjangkakan akan membelanjakan sehingga RM3 bilion tahun ini untuk subsidi minyak, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

“Untuk diesel dan RON95, kita menjangkakan bayaran subsidi sekitar RM3 bilion. Jumlah itu mungkin kurang, bergantung kepada harga minyak.

“Anggaran kita sekitar RM3 bilion. Sehingga hujung tahun,” kata Lim kepada wartawan di Putrajaya hari ini apabila ditanya tentang butiran kos subsidi itu.

Sejak 30 Mei, harga runcit RON95 dan diesel masing-masing ditetapkan pada RM2.20 dan RM2.18 seliter. Harga RON97 masih diapungkan dan diumumkan secara mingguan dan kini dijual pada harga RM2.59 seliter.

Kerajaan mengumumkan ia akan memberi subsidi 33 sen seliter kepada semua harga runcit RON95 dan diesel.

Harga minyak mentah dunia sudah mencecah AS$76 per barel sementara produk petrol dan diesel pula berharga antara AS$87 dan AS$88 per barrel.

Lim menambah yang “perlu tunggu sehingga hujung tahun” untuk jumlah tepat kerana harga yang berubah-ubah setiap minggu.

Ditanya sama ada kerajaan akan meningkatkan jumlah subsidi, Lim menjawab: “Sekarang harga minyak sudah naik. Sekarang anda tanya tentang menurunkan harga pula. Itu susah sikit. Harga minyak akan melambung tinggi. Kami akan terus kekalkan harga.

“Ini adalah subsidi kerajaan persekutuan yang tidak diberikan kerajaan terdahulu. RON97 berbeza. Ia untuk kereta berteknologi canggih, mewah dan lebih mahal. Saya tak ada masalah untuk terus apungkan harga (RON97).”

Menurut Persatuan Automobil Malaysia terdapat 28.2 juta kenderaan berdaftar di negara ini setakat Jun tahun lepas.

Tiada ulasan: