PERSATUAN Pengguna
Pulau Pinang (CAP) amat terkejut, bimbang dan kecewa dengan berita
bahawa ramai umat Islam yang sekali lagi mengambil jalan dengan meminjam
wang untuk memuaskan “kemahuan” materialistik yang dikaitkan dengan
sambutan Aidilfitri.
CAP berulang kali menasihatkan agar tidak
bersikap boros dan berbelanja dengan berlebihan ketika bulan Ramadan dan
Syawal apabila kita menyambut hari raya Aidilfitri. Mengelakkan
daripada berhutang dengan tidak menurut hawa nafsu untuk menunjuk-nunjuk
dengan pakaian terbaharu, peranti tercanggih dan sebagainya.
Timbalan
Presiden Persatuan Pemberi Pinjam Wang Berlesen Punjabi Malaysia,
Amrinderjit Singh menyatakan pada minggu lepas bahawa lebih daripada
7,500 pinjaman diberikan kepada kira-kira 1,500 peminjam wang daripada
persatuan. Beliau mendakwa jumlah pinjaman terkumpul ialah RM37.5 juta
dan setiap pinjaman minimum RM5,000 dan banyak daripadanya lebih
daripada itu.
Pengalaman ketika bulan Ramadan seharusnya antara
lain mengajar kita untuk hidup sederhana. Hidup sederhana ialah mampu
untuk membezakan antara “kemahuan” dan “keperluan” dan berdisiplin dalam
berbelanja mengikut keupayaan kewangan kita.
Tidak diragui
bahawa sunnah untuk kita berpakaian cantik dan menikmati hari raya
tetapi ia tidak bermakna kita perlu berlebih-lebihan; sepertimana yang
dinyatakan dalam Surah Al-An’aam, ayat 141 (bermaksud) “...dan janganlah
berlebih-lebihan. Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan.”
Kini
perayaan sudah berakhir dan sikap boros itu menyebabkan kita hanya
tertanya-tanya bagaimana umat Islam yang meminjam daripada pemberi
pinjaman ini akan menyelesaikan pinjaman hari raya dan keluar daripada
beban hutang.
Kami menggesa agar orang ramai mengamalkan sikap
jimat cermat, bukan hanya pada musim perayaan khususnya sambutan
Aidilfitri tetapi pada waktu perayaan lain juga seperti perkahwinan,
hari lahir dan sebagainya. Jangan tunggu sehingga anda dibelenggu oleh
hutang.
*SM MOHAMED IDRIS, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan