Jumaat, 8 Jun 2018

Hishammuddin umum tidak bertanding semua jawatan parti

 
Katanya keputusan itu dibuat bagi membolehkan beliau bekerja lebih keras membantu membangunkan semula Umno bermula dari Johor selepas parti itu mengalami kekalahan teruk pada pilihan raya umum lalu. 


Bekas menteri pertahanan itu berkata jawatan bukan perkara penting dalam perjuangan untuk berkhidmat kepada rakyat.


JOHOR BAHRU: Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengumumkan tidak akan bertanding sebarang jawatan pada pemilihan parti kali ini.

Katanya keputusan itu dibuat bagi membolehkan beliau bekerja lebih keras membantu membangunkan semula Umno bermula dari Johor selepas parti itu mengalami kekalahan teruk pada pilihan raya umum lalu.

“Karier politik saya tidak akan berakhir, saya telah terlibat dalam politik sepanjang hidup saya dan saya tidak akan keluar parti.

“Saya harap ini (langkah tidak bertanding) disedari yang lain bahawa jawatan bukan perkara penting dalam perjuangan kita untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya, hari ini.

Menurut bekas menteri pertahanan itu, beliau menyuarakan keputusan tersebut kepada pemangku presiden parti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan kedua-duanya memahami serta menghormati keputusan beliau.

“Selepas raya, saya turun padang ke bahagian-bahagian pula untuk menerangkan secara lebih terperinci sebab saya tidak bertanding dan membawa nama Mohamed Khaled sebagai calon naib presiden,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata keputusan pilihan raya umum lalu memberi isyarat jelas bahawa Umno tidak boleh lagi beroperasi seperti biasa sebaliknya memerlukan perubahan pendekatan secara total dan pemilihan kali ini adalah masa paling sesuai untuk Umno melakukan perubahan tersebut.

“Saya dapati ramai yang menawarkan diri untuk bertanding demi membawa Umno ke depan dan saya percaya mereka harus diberikan peluang untuk memimpin,” katanya

Tiada ulasan: