Selasa, 12 Jun 2018

Calon DAP fail petisyen bantah keputusan kerusi Ayer Hitam

THE MALAYSIAN TIMES
 


JOHOR BAHRU: Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong hari ini memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi Sivil, di sini bagi mencabar keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) untuk kerusi Parlimen Ayer Hitam.

Petisyen berkenaan difailkan peguam beliau Datuk Yeo Yang Poh pada kira-kira 10.30 padi tadi.

Yeo yang ditemui pemberita kemudian, berkata pihaknya menamakan Timbalan Presiden MCA yang juga Anggota Parlimen Ayer Hitam Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (Gambar) sebagai responden pertama, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Ayer Hitam Mohd Hafiz Aliman sebagai responden kedua manakala Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), responden ketiga.

Katanya petisyen itu difailkan selepas mereka berpandangan ada beberapa peraturan dan undang-undang yang dlanggar sepanjang proses berkempen PRU14 di kawasan berkenaan.

“Tumpuannya lebih kepada pelaksanaan pilihan raya itu sepanjang tempoh berkempen dan bukan hanya apa yang berlaku pada hari pengundian,” katanya.

Mengulas lanjut, Yeo berkata pihaknya yakin menerusi petisyen itu mahkamah akan memberikan bimbingan kepada mereka tentang bagaimana pilihan raya akan datang boleh dijalankan.

Sementara itu Liew yang turut hadir, berkata beliau berharap mahkamah akan mendengar kes berkenaan dan memberi pertimbangan agar keputusan PRU14 bagi kawasan parlimen tersebut boleh disemak semula.

Liew tewas tipis dengan perbezaan 303 undi kepada Wee yang meraih 17,076 undi manakala calon PAS Mardi Marwan pula hanya menerima 4,975 undi.

Tiada ulasan: