Shahril Hamdan berkata sekadar menggantikan Najib dengan pemimpin lain tidak akan mengubati Umno.
Shahril, yang akan bertanding untuk jawatan kerusi naib ketua Pemuda Umno, berkata menjadi relevan sekali lagi cabaran terbesar yang dihadapi partinya sekarang ini.
Beliau berkata hakikatnya Umno ditolak majoriti rakyat dan bukan hanya kumpulan masyarakat tertentu.
“Ia bukan tsunami Cina atau India, atau Melayu, Kadazan atau Iban tapi tsunami rakyat. Kalau kita betul-betul mahu ada peluang untuk kembali memerintah, kita kena terima hakikat ini dulu, dan saya belum lihat hakikat ini diterima oleh semua pemimpin.”
Shahril berkata terlalu simplistik dan “berisiko” untuk menyalahkan kekalahan Umno dan Barisan Nasional pada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.
Beliau khuatir ahli Umno menerima analisis mudah itu, kerana masalah Umno mungkin tidak dapat diselesaikan jika mereka merasakan penyelesaiannya ialah menggantikan Najib.
Beliau berkata cabaran yang menanti Umno ialah mencari jalan strategik untuk memenangi kepercayaan rakyat, tapi setakat ini Umno belum jumpa formula itu sebab mereka tidak pernah hilang kuasa.
Beliau berkata satu budaya dalam Umno yang perlu diubah ialah “syok sendiri” yang ada dalam hampir 80% program parti, dari acara kelompok ke ceramah besar-besaran.
Beliau berkata peserta program seperti itu kebanyakannya ahli Umno atau penyokong tegar dan keluarga mereka.
“Dalam program tersebut kita akan berceramah atau berucap dengan semangat tinggi dan dapat sorakan dan tepukan dari hadirin. Itulah majoriti program. Buang duit, masa dan tenaga membuat program syok sendiri.”
“Tak banyak program yang kita buat betul-betul menyentuh minda intelek dan hati rakyat. Saya nampak budaya yang kita perlu buat dalam pembaharuan ialah hentikan program syok sendiri.
“Lagi baik kita fokus strategi media sosial. Baik kita fikir macam mana kita mahu bahas, berdebat dan meyakinkan rakyat.”
Shahril berkata rakyat tida lagi mahu hubungan “satu hala” dan mahu melihat wakil dari semua parti membahaskan wawasan dan idea masing-masing.
“Ini realiti yang Umno dan BN perlu menyesuaikan diri.”
Pada pilihan raya umum akan datang, Shahril menggesa perwakilan memilih pemimpin parti atas dasar merit semata-mata, sama ada calon itulah yang terbaik untuk memaksikan kebarangkalian Umno dan BN memenangi pilihan raya umum akan datang.
Di masa akan datang, sekiranya Umno mahu menjadi pembangkang yang berkesan dan konsisten, parti itu perlu menterjemahkan perjuangan untuk negara, bangsa dan agama yang menjadi jati diri parti ke dalam konteks masa kini.
Sebelum pilihan raya 9 Mei, Shahril berkata pemimpin dan ahli Umno akan sentiasa menyokong semua keputusan kerajaan atau perdana menteri.
Beliau berkata walaupun pendirian Umno dalam isu-isu Melayu adalah jelas, Umno tidak pernah kembali ke akar umbi untuk dengar maklum balas mereka tentang percukaian, dasar luar negara atau pembangunan ekonomi.
“Rakyat mahu lihat apa tema Umno selaku pembangkang. Rakyat tidak mahu lihat Umno membangkang segala yang dicadang kerajaan. Kalau benda itu tak perlu dibangkang, kita tak bangkang, dan kita mungkin boleh bagi idea penambah baik.
“Kalau perkara itu perlu dibantah, kita terangkan sebab kita bantah, contohnya kalau kerajana mahu kurangkan dasar membantu Bumiputera, mungkin kita bangkang dan beri sebab kenapa.”
Pemilihan Umno dijadualkan pada 30 Jun ini.
LIHAT VIDEO DI SINI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan