Khamis, 7 Jun 2018

5 NGO buat laporan terhadap Hishamuddin Rais

 
Wakil NGO itu berkata tindakan Hishamuddin mencemar nama baik YDPA dan bersifat hasutan terhadap institusi Raja Melayu yang seharusnya dikenakan tindakan.


Hishamuddin didakwa memuat naik artikel berbaur hasutan di blognya. (Gambar Bernama)


KUANTAN: Lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di Pahang membuat laporan polis terhadap aktivis sosial Hishamuddin Rais yang didakwa memuat naik artikel berbaur hasutan terhadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Sultan Muhammad V di blognya, semalam.

NGO tersebut ialah Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Pahang, Sekretariat NGO Islam Pahang (SNIP), Pertubuhan Sukarelawan Al-Quran Pahang, Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Pahang dan Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA) Pahang.

Wakil NGO itu, Datuk Syed Nasarudin Syed Abd Hadi berkata tindakan Hishamuddin mencemar nama baik YDPA dan bersifat hasutan terhadap institusi Raja Melayu yang seharusnya dikenakan tindakan.

“Kami mengecam sekeras-kerasnya perbuatan blogger itu yang menghina dan mengutuk Sultan Muhammad V yang juga merendahkan martabat Raja Melayu. Terdapat juga perkataan yang tidak sanggup kami ulang kerana terlalu kasar.

“Saya meminta pihak polis menyiasat perkara ini seterusnya mengambil tindakan sewajarnya kepada mereka yang menghina YDPA,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, hari ini.

Hishamuddin didakwa memuat naik artikel itu di blognya www.tukartiub.blogspot.com yang turut melampirkan dakwaan perbelanjaan YDPA yang dimuat naik oleh Ketua Media dan Komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan Datuk A Kadir Jasin.

Bagaimanapun, Hishamuddin difahamkan memadamkan kenyataan itu selepas salinan tangkapan skrin mengenainya tersebar di laman sosial.

Tiada ulasan: