KETIKA cakap-cakap yang Barisan Nasional merancang untuk merombak Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)
dalam manifestonya bertiup kencang, seorang ahli ekonomi berkata
semakan itu boleh dilakukan dalam beberapa aspek cukai tersebut.
Profesor Yeah Kim Leng mengatakan beban keseluruhan cukai itu kepada
pengguna boleh dikurangkan, dengan kadar GST diturunkan sebanyak 1% atau
2% daripada kadar sekarang sebanyak 6%.
“Kadar GST boleh dikurangkan sebanyak satu atau dua peratus kepada 4-5%.
“Pengurangan kadar GST kepada 4% boleh ‘memulangkan’ atau
meningkatkan pendapatan boleh belanja sebanyak RM15 juta,” katanya
kepada The Malaysian Insight.
Profesor Sunway University dan Pengarah Pengajian Ekonomi Institut
Asia Tenggara Jeffery Cheah itu mengatakan ini juga bermakna kerajaan
persekutuan mempunyai perolehan cukai yang kurang berbanding sekarang
tetapi tindakan itu boleh dijustifikasikan.
“Ia adalah tukar ganti yang boleh dijustifikasikan dalam akaun yang
berkemungkinan menaikkan perolehan pendapatan kerajaan daripada
peningkatan harga minyak mentah serta kesan berganda peningkatan
perbelanjaan pengguna.”
Yeah berkata satu lagi aspek yang boleh dipertimbangkan kerajaan
adalah meluaskan liputan kadar sifar cukai terutama dalam barangan dan
perkhidmatan penting.
MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini menjatuhkan hukuman lapan
tahun ke atas seorang suri rumah, Rozita Mohamad Ali atas penderaan yang
dilakukan ke atas seorang pembantu rumah warga Indonesia.
Laporan The Malay Mail Online menyebut, hukuman itu dijatuhkan
selepas mahkamah menyemak semula keputusan Mahkamah Sesyen yang
membebaskan Rozita dengan bon kelakuan baik dan jaminan RM20,000.
Keputusan Mahkamah Sesyen ke atas wanita bergelar “Datin” itu
menimbulkan kemarahan masyarakat umum kerana terlalu ringan bagi
kesalahan mendera warga Indonesia tersebut.
Keputusan Mahkamah Tinggi hari ini dibacakan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Tun Abdul Majid Tun Hamzah.
SEORANG bekas anggota tentera berpangkat koperal dijatuhi hukuman
penjara 197 tahun enam bulan (2,370 bulan) dan 79 sebatan oleh Mahkamah
Sesyen Melaka hari ini atas 79 pertuduhan menyalahgunakan peruntukan
Pusat Latihan Peperangan Khusus (Pulpak), Kem Sungai Udang berjumlah
RM50,238.10, dua tahun lepas.
Hakim Mohd Nasir Nordin menjatuhkan hukuman itu terhadap Musa Md
Dawi, 28, yang kini merupakan pekerja kontrak, selepas dia mengaku
bersalah atas kesemua pertuduhan tersebut.
Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, dikenakan hukuman penjara 30
bulan dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan dan hukuman berkenaan
berjalan serentak bermula hari ini.
Ini bermakna tertuduh akan menjalani hukuman penjara selama 30 bulan dan 79 sebatan.
Lelaki itu didakwa atas 74 pertuduhan menyalahgunakan peruntukan
pembayaran elaun perjalanan dan tuntutan cuti tahun Pulpak dengan
mencipta baucar pembayaran seterusnya bayaran berjumlah RM46,281.10 itu
dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.
Musa turut menghadapi tiga pertuduhan menyalahgunakan peruntukan
pembayaran elaun perjalanan Pulpak dengan mencipta baucar pembayaran
seterusnya bayaran berjumlah RM3,067.60 itu dimasukkan ke dalam akaun
bank milik Anuar Bolhassan.
Tertuduh juga didakwa atas dua lagi pertuduhan menyalahgunakan
peruntukan pembayaran elaun perjalanan dan tuntutan cuti tahun Pulpak
dengan mencipta baucar pembayaran seterusnya bayaran berjumlah RM889.40
itu dimasukkan ke dalam akaun bank milik Mohd Ramdan Mohd Sani.
Dia dituduh melakukan semua kesalahan itu di Pejabat Belanjawan, Pulpak, Kem Sungai Udang antara 25 April hingga 1 Julai, 2016.
Bagi kesemua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403
Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun
dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) Irwan Shah Abdul Samat memohon mahkamah menjatuhkan
hukuman berat terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepadanya serta
masyarakat berikutan dia merupakan penjawat awam dan anggota tentera
yang menjaga keselamatan awam, namun gagal menggalas tanggungjawab.
Beliau berkata Musa juga melarikan diri dan gagal hadir di mahkamah
untuk sebutan semula kes dan perbicaraan sehingga waran tangkap
dikeluarkan, sekali gus menyusahkan banyak pihak selain melibatkan kos
tambahan untuk mencarinya.
Musa bagaimanapun merayu hukuman ringan atas alasan dia menanggung
isteri serta ibu dan bapanya yang menghidap sakit jantung. – Bernama
JIKA pilihan raya diadakan hari ini, Barisan Nasional (BN) dijangka
akan kekal berkuasa walaupun undi popularnya merosot sehingga 42%
sahaja, kata badan penyelidik Institut Darul Ehsan (IDE).
Kajian terbaru IDE mendapati BN akan menang lebih banyak kerusi
Parlimen melalui persempadanan semula kawasan pilihan raya yang
diluluskan oleh Dewan Rakyat semalam, berbanding 133 kerusi yang
dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu .
"Dengan trend yang ada dan mengambil kira persempadanan semula
kawasan pilihan raya, kajian ini mendapati BN akan terus kekal termasuk
di Johor tetapi akan kalah di Kedah," kata Timbalan Pengerusi IDE
Profesor Dr Mohammad Redzuan Othman.
Kajian IDE itu juga mendapati parti gabungan lain dalam BN iaitu MCA,
Gerakan dan MIC bakal menjadi mangsa utama persempadanan baru kawasan
pilihan raya itu.
Redzuan menjangkakan rakan kongsi utama dalam BN itu akan hilang
hampir semua kerusi yang mereka tandingi pada pilihan raya kali ini
terutamanya kepada DAP.
"Isunya sekarang, bolehkah rakyat menerima keputusan
sebegini. Umno untung besar, rakan kongsinya hilang semua, melalui
manipulasi kawasan pilihan raya," kata Redzuan.
Persempadanan baru kawasan pilihan raya yang diluluskan di Dewan
Rakyat semalam akan mewujudkan lebih banyak kerusi berasaskan kaum
dengan mengasingkan pengundi Melayu dan bukan Melayu.
Pengkritik mendakwa persempadan baru itu akan mewujudkan lebih banyak
bilangan kerusi Melayu, dengan andaian pengundi bukan Melayu tidak
menyokong Umno lagi.
Kajian di seluruh Semenanjung Malaysia yang melibatkan lebih 5,000
responden dengan menggunakan 95 enumerator yang tamat 26 Mac itu
mendapati, pengundi Melayu di Johor kekal bersama Umno.
"Yang pasti, mengikut kajian ini, PH khasnya Amanah
berjaya kalahkan PAS di Kelantan, manakala di pantai barat, PAS berjaya
sebabkan PH tidak menang," kata Naib Canselor Unisel itu.
Beliau juga menjangkakan PAS akan gagal mempertahankan Kelantan,
negeri yang dikuasainya sejak 1990, apabila berlaku pertandingan tiga
penjuru.
"PAS akan dapat beberapa kerusi tetapi akan gagal mempertahankan kerajaan negeri," kata Redzuan.
Kajian IDE juga mendapati pengundi Melayu di Johor akan kekal
mengundi Umno walaupun mereka tidak berpuas hati dengan pentadbiran
Najib di Putrajaya.
"Pengaruh Muhyiddin tidak cukup kuat untuk menarik penyokong Umno
kepada PH tetapi pengaruh Dr Mahathir dan Mukhriz cukup untuk menarik
penyokong Umno di Kedah menyokong PH.”
Kempen PH di Johor diketuai oleh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin
yang juga bekas timbalan presiden Umno dan pernah jadi menteri besar
negeri itu.
Dr Mahathir Mohamad, yang dinamakan calon perdana menteri Pakatan
Harapan, dan anaknya Mukhriz disebut-sebut akan bertanding di Kedah.
"Itu kajian pada hari ini, lainlah kalau berlaku gelombang selepas pembubaran Parlimen nanti," kata Redzuan.
Kajian itu juga mendapati PH akan terus memerintah Selangor dan Pulau
Pinang tetapi Umno dijangka akan menjadi parti individu yang paling
banyak mendapat kerusi di Selangor.
"Umno dijangka akan menang sehingga 20 kerusi di Selangor melalui
persempadanan baru pilihan raya yang dibuat, tetapi kerjasama dalam PH
akan menyebabkan kerajaan negeri yang ada kekal," kata Redzuan merujuk
kepada Dewan Negeri Selangor yang mempunyai 56 kerusi itu.
PAS dijangka akan hilang semua kerusi yang dimenanginya di Selangor
apabila hanya mendapat tidak sampai 1% undi Cina dan sekitar 14% undi
Melayu sahaja, berbanding 18% undi Melayu sebelum ini.
"Nampaknya PAS datang dalam keadaan dagang di Selangor dan akan
menjadi dagang juga dalam pilihan raya akan datang," kata Redzuan,
merujuk kepada naratif yang selalu digunakan PAS.
IDE dijangka akan membentangkan secara terperinci kajian ini dalam satu seminar yang akan diadakan awal bulan depan
TERLALU memilih kerja dan meminta gaji yang tidak munasabah -
sering dikatakan menjadi punca masalah pengangguran di kalangan graduan.
Namun, sebuah badan pemikir pula mengatakan hubungan keluarga dan
universiti awam di mana graduan belajar menjadi faktor penting untuk
mereka mendapatkan pekerjaan.
Menurut pusat Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU), lebih daripada
80% pemegang ijazah yang menganggur meminta gaji kurang daripada
RM3,000, manakala 70% penganggur yang mempunyai diploma meminta gaji
kurang daripada RM2,000.
Selepas menganalisis data lapan tahun dari Kementerian Pengajian
Tinggi, KPRU turut mendapati terdapat trend yang membimbangkan di
kalangan graduan.
Graduan universiti awam di negeri-negeri miskin seperti Kelantan,
Terengganu dan Sabah didapati lebih sukar mendapat pekerjaan pertama
jika dibandingkan dengan graduan dari pusat pengajian tinggi di negeri
kaya seperti Selangor dan Kuala Lumpur.
Ooi Teik Khim, yang menulis kajian tersebut menyifatkan ia adalah
masalah 3'P': keluarga miskin (poor families), negeri miskin (poor
states) dan kelas sosial bawahan (poor social standing).
"Majoriti graduan yang menganggur berasal dari keluarga miskin atau
si rumah berpendapatan rendah dan negeri yang miskin atau berpendapatan
rendah. Mereka juga mempunyai modal sosial yang lemah, mungkin kerana
mereka datang dari kelas sosial bawahan," kata Ooi.
"Ia petunjuk ketara mengenai ketidaksamaan dalam masyarakat kerana
tidak semua graduan setara dalam pekerjaan. Graduan dari keluarga kaya
dan negeri berpendapatan tinggi dengan rangkaian sosial yang lebih baik
mempunyai kelebihan dalam pekerjaan."
"The Findings of Graduate Tracer Study 2007-2015: Broken Malaysia
Dream" berpendapat trend ketidaksamaan ini akan membawa kepada
pergolakan sosial dalam jangka masa panjang.
"Umumnya, pendidikan dilihat sebagai cara terbaik untuk memperoleh
kehidupan yang lebih baik. Andainya pendidikan tidak lagi menjadi jalan
berguna untuk mencapai hidup yang lebih baik, dan masyarakat juga sedar
akan hal itu, lebih banyak pergolakan sosial akan terjadi.
Bagi generasi muda sekarang, impian rakyat Malaysia untuk memperoleh
kehidupan lebih baik melalui pendidikan lebih tinggi telah musnah, kata
Ooi.
"Mereka telah menyaksikan pelbagai kisah kejayaan mengenai orang dari
keluarga berpendapatan rendah melonjak ke kelas menengah dan tinggi
menerusi pendidikan tinggi serta usaha keras," katanya.
"Graduan hari ini sedar mereka semakin sukar mendapatkan pekerjaan
dan gaji untuk mereka tidak berganjak. Pasaran kerja juga lebih memihak
kepada graduan yang datang dari latar belakang yang lebih baik."
Siapa yang anda tahu
Kajian ini menganalisa data daripada tinjauan ke atas graduan diploma
dan ijazah yang dijalankan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dari 2007
hingga 2015.
Misalnya, pada 2015, kementerian meninjau 229,568 graduan dari 22 universiti awam di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Tinjauan kementerian mengenal pasti punca mengapa graduan menganggur,
cara mereka mencari kerja dan jumlah masa yang diperuntukkan untuk
mencari kerja.
Graduan juga ditanya sama ada mereka adalah pekerja tetap atau
sementara, gaji yang diminta dan kriteria penting apabila memohon
pekerjaan.
Kajian KPRU kemudian membandingkan dan menganalisa penemuan dari
setiap tahun bagi mengenal pasti trend pengangguran di kalangan graduan.
Selain daripada pola yang dinyatakan di atas, Oii berkata data
mendedahkan bahawa kadar pengangguran di kalangan belia berumur antara
20 dan 24, termasuk graduan dan bukan graduan, meningkat dan kekal sama
sejak 1998 - tahun di mana Krisis Kewangan Asia berlaku.
Ia kekal pada kadar yang sama iaitu antara 7% dan 10% dari 1998 hingga 2015, tanpa mengira kadar pertumbuhan ekonomi, kata Ooi.
Selepas menolak bilangan graduan baru yang tidak aktif mencari kerja,
Ooi berkata kadar sebenar granduan yang menganggur ialah di antara 24%
dan 28% antara 2008 dan 2015.
Penemuan yang lebih membuka mata ialah latar belakang graduan yang
menganggur. Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis dan Sabah merupakan
lima negeri berpendapatan rendah yang mempunyai bilangan graduan
menganggur tertinggi.
Kadar pengangguran graduan di Kelantan ialah 34.8%, diikuti Sabah pada 34% Terengganu (33.2%) Perlis (27.7%) dan Pahang (27.4%).
Sebaliknya, kadar pengangguran graduan di Putrajaya adalah yang
terendah pada 14.5%, diikuti Kuala Lumpur dan Selangor pada 18.6%, Pulau
Pinang (21%) dan Johor (22.9%).
Di peringkat universiti pula, kadar pengangguran graduan direkodkan di:
Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada 46.4%, Universiti Malaysia
Kelantan (UMK) 44.5%, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) 43.3%,
Universiti Malaysia Sabah (UMS) 42.6% dan Universiti Malaysia Perlis
(UniMAP) 40.9%.
Pusat pengajian tinggi yang mencatat rekod pengangguran terendah ialah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 10.6%.
"Ini kerana UPSI menghasilkan graduan untuk bidang pendidikan yang mempunyai permintaan tinggi," kata Ooi.
Selepas UPSI, dua institusi dengan kadar pengangguran paling rendah
adalah di Selangor - Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 18.8% dan
Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) pada 19.9%.
Ini diikuti Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Johor pada 20.1%,
Universiti Malaya (UM) pada kadar 21.2%, dan Universiti Sains Malaysia
(USM) di Pulau Pinang pada 22.2%.
Ooi bagaimanapun, tidak dapat mengatakan sama ada perbezaan kadar
pengangguran disebabkan oleh kualiti pendidikan di universiti ini, yang
seterusnya menghasilkan graduan lebih baik atau kurang terlatih.
"Ini adalah sesuatu yang perlu kita siasat dalam satu lagi kajian.
Buat masa ini, 3P dalam pengangguran di kalangan siswazah mungkin
berlaku kerana dua sebab.
"Pertama, negeri berpendapatan rendah tidak mampur menawarkan peluang
pekerjaan mencukupi bagi graduan negeri terbabit sehingga memaksa
mereka berpindah ke negeri yang kaya, seperti Kuala Lumpur dan Selangor.
"Kedua, apabila graduan dari negeri berpendapatan rendah mencari
kerja di negeri kaya ini, mereka tewas dengan graduan tempatan yang
mempunyai modal atau hubungan sosial yang lebih baik," tambah Ooi.
PEMIMPIN veteran Umno, Dr Rais Yatim meneruskan kritikannya
terhadap parti itu, mengatakan pemimpinnya kini “sombong” dan mudah
melenting apabila ditegur.
Penasihat sosiobudaya kerajaan bertaraf menteri itu menjawab kembali
kritikan Ketua Penerangan Umno Annuar Musa yang mengatakan beliau dan
bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Rafidah Aziz sebagai
“out of touch” dalam urusan pentadbiran dan kerajaan.
“Memang senang tuduh kami sudah ‘lost touch’ dengan keadaan akar
umbi. Yang dimaksudkan dengan ‘lost touch’ itu agaknya ialah ‘kaki dah
tak cecah bumi’.
“Ku semangat! Sebenarnya para pemimpin kita lah yang ‘kaki dah tak
cecah bumi’. Sombong, gah tinggi dan tak suka ditegur; disanggah sikit
melenting,” kata Rais dalam surat terbuka kepada Annuar yang disiarkan
dalam akaun Facebooknya awal pagi ini.
Dalam kenyataannya semalam, Annuar yang juga ahli Parlimen Ketereh
berkata, Rais, 75, dan Rafidah, 74, turut menghidap “sindrom pasca
persaraan” akibat setelah sekian lama memegang kedudukan penting dalam
kerajaan.
“Daripada rungutan mereka, ternyata mereka sudah ‘out of touch’ dengan urusan pentadbiran dan kerajaan.
“Mereka juga kelihatan masih terikat dengan pendewaan personaliti
(personality cult) bos lama yang juga bos saya dulu,” kata Annuar
merujuk kepada bekas perdana menteri yang kini Pengerusi Pakatan Harapan
(PH) Dr Mahathir Mohamad.
Dalam jawapan balas dalam surat terbukanya, Rais mengingatkan Annuar
beliau merupakan individu yang menegur dan tidak berkecil hati sekiranya
“ditegur dan dihempas pulas”.
“Sebenarnya semua hal yang di bangkitkan itu sudahpun saya sampaikan
kepada Perdana Menteri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri Ahmad
Zahid Hamidi melalui saluran hormat, iaitu:
• Kenapa Jho Low (Low Taek Jho) harus disiasat demi maruah negara.
Dia tak boleh lebih tinggi daripada Malaysia dan Umno. Perlakuan tutup
buku sebelum disiasat tidak sejajar dengan Rukunegara dan semangat
Perlembagaan.
• Jawapan kepada semua ungkitan antarabangsa dan domestik tentang 1MDB mesti dihurai dengan jelas.
• Rang Undang-undang Antiberita Tak Benar boleh jadi senjata makan
tuan kemudian kerana dibuat secara tergesa-gesa tanpa penelitian
mendalam darihal implikasi konflik hak dan perundangan. Bila sudah tak
berkuasa nanti (barang dijauhi Allah), baru tahu langit dan bumi
tinggi-rendah!
• Keutamaan keutuhan undang-undang wajib dipertahankan
• Budaya Tinggi dalam parti dan kerajaan wajib diberi penegasan utama.
• Perjuangan anti-rasuah mesti atas asas Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan – patut dan adil kesaksamaannya,” katanya.
Rais dan Rafidah sebelum ini lantang mengkritik
pentadbiran Najib terutamanya selepas kapal mewah The Equanimity yang
dikaitkan dengan Jho Low dan skandal rasuah 1Malaysia Development Berhad
(1MDB) dirampas pihak berkuasa Indonesia atas permintaan Jabatan
Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat.
Rais, Rafidah dan Annuar pernah berada dalam Kabinet Dr Mahathir.
Rais pernah menentang Dr Mahathir ketika bersama Tengku Razaleigh
Hamzah dalam Parti Melayu Semangat 46 selepas perpecahan berlaku dalam
Umno pada akhir 1980an.
Sungguh
melucukan sekali mendengar hujahan Pengarah Pilihan Raya Kebangsaan DAP
merangkap Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming, yang menentang kuat
persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dibentangkan di Dewan
Rakyat hari ini.
Asas yang beliau gunakan untuk berbuat demikian, dan untuk mencabar
Ahli-Ahli Parlimen dari MCA, MIC dan GERAKAN supaya turut menentang
persempadanan semula kawasan pilihan raya ini, adalah kerana ia akan
mengubah beberapa kerusi Parlimen yang sebelumnya adalah kawasan
campuran menjadi kawasan majoriti Melayu.
Empat contoh yang beliau berikan ialah kerusi P74 Lumut yang kini
memiliki 71% pengundi Melayu berbanding 51% sebelumnya, kerusi P107
Sungai Buloh (sebelumnya P107 Subang) yang kini memiliki 64% pengundi
Melayu berbanding 47% sebelumnya, kerusi P109 Kapar yang kini memiliki
69% pengundi Melayu berbanding 51% sebelumnya, dan kerusi P124 Bandar
Tun Razak yang kini memiliki 58% pengundi Melayu berbanding 53%
sebelumnya.
Bukankah sebelum ini para pemimpin Pakatan Harapan, termasuklah
Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP merangkap Ahli Parlimen
Kluang, Liew Chin Tong, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu, dan Ketua
Setiausaha Pakatan Harapan dari PKR, Datuk Saifuddin Abdullah, sendiri
yang giat mewarwarkan kononnya tsunami Melayu yang dibawa oleh Tun Dr
Mahathir akan memenangkan Pakatan Harapan dalam PRU 14?
Kalau sudah pasti yang tsunami Melayu yang dibawa oleh Tun Dr
Mahathir akan memenangkan Pakatan Harapan dalam PRU 14 kenapa pula perlu
takut dengan pertambahan kerusi majoriti Melayu dan kenapa pula perlu
diheret Tun Dr Mahathir turun berdemo bagi menentang persempadanan
semula kawasan pilihan raya pagi tadi?
Atau apakah para pemimpin Pakatan Harapan ini sekadar sembang saja
lebat untuk menipu rakyat kononnya Pakatan Harapan boleh menang dalam
PRU 14 sedangkan mereka sendiri sebenarnya tahu tsunami Melayu ini tidak
wujud?
Lebih melucukan ialah bila Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh
Omar, bangun menegur Dr Ong Kian Ming kerana sekadar membaca teks ucapan
yang disediakan lebih awal sahaja dengan berkata “baca macam budak
sekolah aje”.
KUALA
LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini
mengambil sikap tidak memperdulikan kehadiran Lim Kit Siang di Dewan
Rakyat, sehari selepas beliau memerintahkan ahli Parlimen Gelang Patah
itu keluar dewan ketika kecoh bantahan terhadap persempadanan semula
kawasan mengundi.
“Kalau Speaker sudah beri arahan kepada Yang Berhormat dan berdegil
untuk keluar, saya akan ambil tindakan tutup mata. Saya tidak nampak dia
di dalam.
“Dia tidak boleh ambil bahagian, dia tidak boleh bercakap. Nanti
kalau ada apa-apa pun, saya akan duduk bersabar hingga anda semua puas.
Speaker dan timbalan saya akan menutup mata,” kata Pandikar.
Lim hadir walaupun Pandikar semalam memutuskan menggantung beliau sebagai ahli dewan selama 6 bulan.
Pada masa sama, Pandikar turut tidak memperdulikan Lim yang
menuntutnya menjelaskan mengenai tempoh penggantungannya itu, sama ada
sehari atau kekal dengan tempoh 6 bulan.
“Saya mahu tanya, apa penjelasannya adakah sehari atau 6 bulan,” kata Lim.
Sebelum itu, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (Setiu-Umno) menggesa Lim diambil tindakan selepas ingkar arahan Pandikar semalam.
“Semalam, Tan Sri sudah buat keputusan arah Gelang Patah keluar dan
hari ini dia masih ada di sini lagi. Ini satu perbuatan tidak senonoh.
“Saya minta supaya pihak Speaker ambil tindakan di bawah Peraturan
Mesyuarat 44(5) bahawa jika seseorang itu digantung, dia tidak boleh
ambil bahagian hingga tempohnya tamat.
“Kini, Gelang Patah seorang yang begitu senior dan beri contoh atas perkara yang tidak senonoh,” katanya.
‘Hantu’
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT)
Tan Sri Noh Omar turut menggelar Lim sebagai hantu kerana mendakwa tidak
“melihat” Lim tetapi hanya mendengar suaranya sahaja.
Ia ketika Noh mengemukakan Rang Undang-Undang Perkhidmatan Bomba (Pindaan) 2018 untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.
“Saya 23 tahun di Dewan Rakyat, suara itu biasa saya dengar tetapi
saya tidak nampak. Mungkin hantu, sebab hantu sahaja yang tidak faham
bahasa, manusia faham bahasa,” kata Noh.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina
Othman Said mengusulkan Lim digantung tugas selama 6 bulan mengikut
Peraturan Mesyuarat 44 (3) kerana enggan mematuhi arahan speaker.
Pandikar berkata, keputusan menggantung dan mengarahkan Lim keluar dewan kekal.
“Tindakan sudah saya buat, YB tahu kuasa Speaker. Yang berlaku di Dewan Rakyat sekarang ini buat saya sedih, semua dipolitikkan.
“Saya telah buat keputusan, keputusan saya yang ketiga adalah saya
tangguhkan Dewan buat sementara waktu, selepas itu arahan untuk
menggantung dan Gelang Patah (Lim) keluar diteruskan.
“Berfikirlah, saya akan arahkan polis untuk masuk ke sini. Siapa YB
enggan (keluar) akan diangkat keluar, selepas itu persidangan akan
diteruskan.” katanya – FMT
Ahli
Parlimen Sepang Hanipa Maidin tidak teragak-agak untuk mengambil
sebarang tindakan undang-undang kepada komentar golongan agama terhadap
kenyataannya di Dewan Rakyat pada Khamis lalu.
Beliau berkata, sepatutnya golongan agama yang mahu membuat sebarang
komen terhadap kenyataannya mengenai ‘Jika saya Tuhan…” sepatutnya
mendengar penuh kandungan ucapannya itu di Parlimen sebelum menjatuhkan
hukum.
“Untuk golongan agama yang jatuhkan hukum ke atas saya secara tidak adil, saya tidak teragak agak untuk menyaman anda!
“Bagi saya, bila golongan agama yang begitu cepat keluarkan hukum ke
atas seseorang seperti saya dalam keadaan mereka tak pernah berhubung
dengan saya dan paling kurang membaca keseluruhan ucapan saya.
“Saya anggap mereka lagi berbahaya dari golongan yang jahil. Kenapa?
Sebab mereka bagi saya, ada ilmu tapi malangnya tak guna ilmu dengan
betul. Maaflah jika saya kasar sikit,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau dipercayai merujuk kepada komentar pemimpin Pas dan Mufti Negeri Perlis Datuk Dr Asri Zainul Abidin.
Hanipa turut berkata, beliau tidak akan menarik balik kenyataan atau
memohon maaf setelah isu itu menjadi perdebatan banyak pihak diluar
dewan rakyat dan media massa.
“Ada pihak tertentu pohon saya tarik balik kenyataan saya dan nasihat saya agar mohon maaf.
“Saya hormati niat suci mereka. Namun saya pohon jutaan maaf kerana saya tak boleh nak buat begitu.
“Ini kerana mereka yang jatuhkan hukuman agama ke atas saya telah berlaku amat tidak adil ke atas saya.
“Saya tak akan tarik balik kenyataan saya dan ‘I am insyaAllah ready to fight back even alone’.
“Cukup Allah is my helper and my solace. Sebagai peguam yang
alhamdulillah banyak pengalaman kendalikan kes saman fitnah, saya ingin
tegaskan meskipun saya tidak gemar saman orang untuk ‘my personal case’.
“Namun untuk isu ini, saya tidak teragak-agak untuk saman mereka yang jatuhkan hukuman ke atas saya secara tidak adil.
“Saya tak kisah insyaAllah setinggi mana pun ilmu dan title anda.
Saya insyaAllah bersedia untuk berhadapan dengan anda di mahkamah dunia
atau di mahkamah akhirat.
“Untuk orang biasa atau cyber trooper, mereka bukan lawan saya. Dan
saya tidak ada masalah nak maafkan mereka jika mereka bersalah kepada
saya,” terangnya.
Beliau turut melampirkan kandungan penuh ucapan melalui hansard
Parlimen yang menimbulkan perbalahan beliau denganAhli Parlimen Baling
Datuk Seri Abdul Azeeez Abdul Rahim ketika perbahasan mengenai RUU
AntiBerita Tidak Benar 2018.
“Dalam Hansard itu jelas episod ini bermula dari Yb Baling(Umno) yang
keluar kenyataan “kamu ni Tuhankah?”… Tapi nampaknya golongan yang
jatuhi hukum ke atas saya seolah olah “ignore” kenyataan Yb Baling itu?
“Bila ada soalan begitu dari Baling, it is natural untuk pendebat
seperti saya menjawab di mana antaranya saya menjawab “kalau saya
Tuhan…..” Akan tetapi, kenyataan saya bukan berhenti setakat itu sahaja.
“Laporan Hansard itu jelas melaporkan saya juga menyambung selepas
ayat “kalau itu” dengan ayat berikut ” Akan tetapi sebab saya tidak
Tuhan, Tuhan jadikan jugalah orang macam kamu supaya orang lain nampak
inilah yang patut kita lawan”. It is right there in the Hansard!
“Malangnya, penjatuh hukum agama nampaknya hanya berminat ambil
sekerat dan tinggalkan yang baki lagi kenyataan saya. Adil ke begitu?,”
ujarnya.
Menurut Hanipa lagi, tindakan golongan agama itu dianggapnya sebagai
mencemarkan proses untuk menjatuhkan ‘hukum’ dalam perundangan Islam.
“Bagi saya, baik dalam fatwa atau dalam penghakiman mahkamah (sivil
atau shariah) menghukum cara begitu bukan sahaja tak betul malahan saya
berani kata ianya amat zalim.
“Saya juga alhamdulillah berpeluang belajar syariah dan belajar
‘adabul qada’ fi al-Islam (The ethics of judgement in Islam) dan ‘turuq
al-ithbat’ dan saya juga pengamal undang-undang selama 23 tahun. Jadi
saya agak mahirdengan proses menjatuhkan hukum,” terangnya.
Beliau mengembalikan pengalaman ketika mewakili Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar yang menyaman akhbar Berita Harian.
“Yb Pokok Sena menyaman akhbar Berita Harian yang dituduh di muka
hadapan akhbar Berita Harian tersebut kononnya beliau mengajak ahli
Parlimen BN bertumbuk.
“Saya wakili Yb Pokok Sena saman akhbar itu bagi kes fitnah (
defamation). Alhamdulillah kami menang di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah
Rayuan dan Yb dapat gantirugi yang agak besar.
“Saya masih ingat akhbar Berita Harian gunakan firma yang besar dan terkenal di negara ini – Shearn Delamore.
“Yang bestnya dalam kes itu ia juga berkaitan isu perbahasan Ahli
Parlimen ketika berbahas di Dewan Rakyat- masa itu usul perbahasan
berkaitan isu keganasan polis dalam perhimpuunan aman di Lebuhraya Kesas
berhampiran Jalan Kebun!
“Yb Pokok Sena juga jadi mangsa laporan akhbar proksi BN yang tidak
tepat. Memang jika dilihat Hansard, saya akui Yb Pokok Sena ada berkata ”
saya bersedia bertumbuk..”, tapi kenyataan itu sebagai response kepada
tindakan seorang ahli Parlimen BN yang lebih awal menunjuk isyarat
tangan ajak Yb Pokok Sena keluar dewan untuk “bertumbuk” sehingga ada
Ahli Dewan yang lain kata pada Yb BN itu perkataan “rileks Man!”.
“Dalam kes itu saya hujahkan kenyataan Yb Pokok Sena harus dilihat
ikut konteks sebenar dan wajib dibaca secara keseluruhan. Pause
sebentar.
“Sebab itu jika kita baca tafsir Al Quran para mufassirin selalu guna
perkataan “siyaqul ayat”( konteks ayat ) atau contextual reading semasa
menafsir ayat suci al-Quran.
“Hakim bersetuju dengan hujah saya dan alhamdulillah kami menang.
Namun pemberitaan fitnah itu telah mengakibatkan Yb Pokok Sena dipandang
serong oleh orang ramai seolah olah beliau dianggap gangster dan kaki
pukul.
Sheikh Omar Ali telah diumumkan DAP sebagai calon Pakatan Harapan di
untuk kawasan Dewan Undangan Negeri Paloh di Johor dalam PRU 14 ini.
Pengumuman bekas aktivis Pas yang menyertai DAP sebagai calon itu diumumkan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.
Sheikh Omar, Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor itu dipilih oleh DAP untuk kerusi itu.
Pusat pilihan raya DAP Paloh dibuka di kawasan rumah kedai yang sebelum ini terbakar.
Sheikh Omar adalah bekas pemimpin pelajar Universiti Malaya. Beliau
adalah aktivis PAS sebelum ini dan menyertai DAP apabila halatuju
politik PAS berubah.
Sementara itu, di Johor Jaya, DAP akan mengekalkan calonnya Liow Cai Tung di situ.
RANG undang-undang persempadanan semula yang dibentangkan di
Dewan Rakyat semalam menyebabkan ramai tertanya-tanya jika Barisan
Nasional (BN) sebenarnya kuat seperti digambarkan parti itu.
Secara umumnya, cadangan yang diterima di Dewan Rakyat dengan undi
129-80 itu merupakan gerimander paling melampau dan menunjukkan sikap
buruk BN dan parti utamanya, Umno.
Orang boleh menyalahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), namun
realitinya, individu dalam panel tersebut dipilih dan dikekalkan oleh
kerajaan, bukannya melalui keperluan dalam peruntukan asal Perlembagaan
Persekutuan.
Tujuan persempadanan baharu adalah untuk mengurangkan ketidakadilan,
supaya rakyat Malaysia boleh menikmati sistem satu rakyat satu undi.
Itulah maksud masyarakat demokratik – keadilan dalam undang-undang dalam
kehidupan.
Tapi lihatlah pada agihan tidak seimbang dalam rang undang-undang
persempadanan semula ini, di mana ketidakadilan bukan saja dikekalkan
malah bertambah buruk.
Sebagai contoh, kawasan paling kecil di Selangor, Sabak Bernam
mempunyai jumlah pengundi dalam daftar pemimlih PRU13 – seramai 37,126
pengundi berbanding Kapar yang mempunyai 146,317 pengundi.
Dalam daftar pemilih terbaharu untuk PRU14, Sabak Bernam masih kekal
dengan 37,126 pengundi tetapi satu kerusi parlimen baharu Damansara
(sebelum ini dikenali dengan nama Petaling Jaya Utara) kini mempunyai
150,439 pengundi.
Pengundi dalam kawasan baharu Damansara telahpun membuat bantahan ke
atas pembentukan kawasan itu, yang dipersetujui oleh SPR. Namun
kemudiannya suruhanjaya itu menukar keputusan dan mengekalkan kerusi
tersebut.
Bagaimanakah kesannya pada SPR atau pada kerajaan yang memerintah?
Ia menunjukkan bahawa dalam pertandingan yang adil dan tanpa
bergantung kepada sumber negara yang begitu besar, pemimpin BN tiada
keyakinan ke atas parti dan parti komponennya untuk berdepan satu
gabungan parti pembangkang yang dipimpin individu berusia 93 tahun.
Berapa sukarkah untuk menewaskan lelaki ini dan juga ahli politik
yang pernah berseteru dengannya dalam pilihan raya sebelum ini?
Adakah BN terlalu takut kepada lelaki ini? Sebelum ini mereka
menyanjung dan menikmati pelbagai pindaan Perlembagaan dan muslihat
politiknya sepanjang menjadi perdana menteri selama 22 tahun.
Lagipun, apa yang sedang dilakukan bukanlah perkara baharu. Ia telah
dilakukan dahulu oleh perdana menteri BN lain dan menjadikan mereka
sebagai sebuah kerajaan untuk sekian lama.
Mana-mana ahli politik yang mendakwa dirinya berbeza dari lelaki
berusia 93 tahun ini perlu menunjukkan tindakan lebih baik. Berilah
ruang untuk pertandinan yang adil di padang yang sama rata dan
bertandinglah dengan polisi untuk membentuk negara yang lebih baik.
Tapi itu tentunya sangar sukar, bukan? Mengubah sempadan pilihan raya
lebih mudah untuk memastikan kekal berkuasa – tidak kiralah jika
lawannya sudah sangat tua dan tidak dapat meyakinan sesiapa bahawa
beliau dapat menyelematkan mereka dari lara politik Malaysia.
SEMUA sedia maklum bahawa kaum Melayu beragama Islam adalah blok
pengundi paling penting di Semenanjung Malaysia dalam Pilihan Raya Umum
ke-14 (PRU14) akan datang.
Namun, berlainan pula situasinya di Sabah, apabila Bumiputera yang
beragama Islam dan terdiri daripada 52% penduduk di negeri itu bakal
menjadi penentu nasib parti yang bertanding.
Parti pembangkang Sabah iaitu Parti Warisan Sabah, yang dipimpin oleh
bekas pemimpin berpengaruh Umno Shafie Apdal, sedang merampas sokongan
masyarakat itu daripada Barisan Nasional (BN) Sabah.
Sumber Umno Sabah mengakui yang parti tersebut akan berdepan waktu
sukar untuk menarik sokongan masyarakat Bumiputera Islam dari suku Bajau
dan Suluk ekoran pengaruh kuat Shafie.
Umno Subah nampaknya tidak memandang ringan kebolehan Shafie. Seorang
pemimpin Umno negeri berkata parti berkenaan akan bertanding seperti
"underdog" bagi memastikan sokongan pengundi tradisi berpihak kepada
mereka.
Umno Sabah melihat Warisan sebagai musuh politik terbesar di beberapa kerusi seperti di Semporna, Lahad Datu dan Sandakan
Umno Sabah memenangi 15 daripada 25 kerusi Parlimen dan 31 daripada 50 kerusi negeri pada PRU13.
Bumiputera Islam merupakan pengundi majoriti di 11 kerusi Parlimen dan 28 kerusi negeri.
Pada Oktober 2016, Umno hilang kuasa di kerusi Parlimen Semporna dan
kerusi negeri Sulabayan selepas Shafie Apdal (Ahli Parlimen Semporna)
dan Jaukan Sambokong (Adun Sulubayan) meninggalkan parti tersebut dan
menubuhkan Warisan.
Shafie, yang meninggalkan Umno pada Julai 2016, kini merupakan presiden Warisan sementara Juajan adalah naib presidennya.
Ketua Umno dan Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Mokhtar Radin percaya
Warisan akan memberikan saingan sengit kepada Umno dalam PRU akan
datang, namun berkata yang parti tersebut tidak akan dapat menewaskan BN
Sabah.
Umno Sabah, kata Bung Mokhtar, telah memulakan persiapan untuk pilihan raya.
PILIHAN Raya Umum Ke-14 (PRU14) dijangka akan dijalankan pada
pertengahan minggu, dalam masa sebulan selepas Barisan Nasional (BN)
melancarkan manifestro pada 7 April, menurut beberapa sumber.
Difahamkan, Parlimen akan dibubarkan selepas persidangan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara tamat pada 5 April.
Mandat yang diperolehi BN akan berakhir pada 24 Jun dan pilihan raya
perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh tersebut.
"Kami menjangkan pembubaran Parlimen menjelang 7 April. Kemudian
tinggal kira-kira sebulan sahaja sebelum pilihan raya diadakan, sejurus
sebelum bulan puasa yang akan bermula pada pertengahan Mei,” kata sumber
kepada The Malaysian Insight.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkuasa menentukan tarikh penamaan
dan pengundian, namun secara lazimnya parti pemerintah akan mencadangkan
waktu pilihan raya. Malaysia tiada undang-undang yang menetapkan tarikh
pilihan raya.
Jumlah keluar mengundi mungkin merosot sekiranya PRU14 diadakan pada
pertengahan minggu memandangkan pengundi di luar negara, terutama di
Singapura, Hong Kong dan Australia biasanya pulang mengundi sekiranya ia
dilakukan pada hujung minggu.
Kempen yang dijalankan oleh masyarakat sivil pada 2008 dan 2013
menyebabkan BN kehilangan majoriti dua pertiga yang membolehkannya
meluluskan undang-undang dengan mudah.
Pilihan raya 2008 diadakan pada hari Sabtu dengan jumlah keluar
mengundi 75.99 % dan pilihan raya umum 2013 pula pada hari Ahad yang
menyaksikan 84.4 peratus keluar mengundi.
Kumpulan masyarakat sivil dan pemerhati pilihan raya Bersih 2.0
menyatakan bahawa pembangkang akan menang sekiranya lebih 80 peratus
keluar mengundi.
Peluang kemenangan itu kini semakin sukar kerana sempadan baharu
kawasan pilihan raya akan memberi kelebihan kepada BN dalam PRU14.
Walaupun pada akhir-akhir ini pilihan raya umum biasanya dilakukan
pada hujung minggu, dua pilihan raya umum pertama – pada 1955 dan 1959 –
diadakan pada hari Rabu.
Perdana menteri Malaysia yang paling lama berkhidmat, Dr Mahathir
Mohamad, meraih mandat pertamanya dalam pilihan raya umum 1982.
Pilihan raya itu berlarutan dari Khamis, 22 April sehingga Isnin, 26
April ekoran masalah logistik di negeri-negeri Borneo, Sabah dan
Sarawak.
Dr Mahathir kini memimpin gabungan pembangkang untuk PRU14, walaupun
beliau menyokong Perdana Menteri Najib Razak dalam pilihan raya umum
2013.
Rekod menunjukkan pilihan raya umum pada 1995 dan 1999 juga diadakan pada hari Isnin.
Isu melibatkan masalah pengundi di luar negara menjadi perhatian
susulan kritikan Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamed ke
atas tawaran syarikat penerbangan Cathay Pacific yang menawarkan diskaun
surcaj kepada pengundi yang mahu menukar tarikh penerbangan untuk
pulang mengundi.
Nur Jazlan dalam kenyataannya di Twitter mendakwa, tawaran itu
menununjukkan bahawa syarikat berpengkalan di Hong Kong itu menyokong
usaha untuk menukar kerajaan.
Kenyataan itu seterusnya meraih kritikan para pengguna media sosial
yang menganggap Nur Jazlan mendakwa warga Malaysia di luar negara lebih
cenderung menyokong pembangkang.
Cathay Pacific juga menafikan dakwaan tersebut. Namun Nur Jazlan
terus mendesak agar syarikat tersebut menyatakan sekiranya ia akan turut
berbuat demikian untuk pengundi negara lain.
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pakatan Harapan, Mohamed Hanipa Maidin
mengancam mahu mengambil tindakan mahkamah terhadap golongan agama yang
menyeru beliau supaya bertaubat.
Beliau yang juga pemimpin Parti Amanah Negara (PAN) mendakwa golongan
agama itu lagi berbahaya daripada golongan jahil kerana meminta beliau
bertaubat disebabkan membuat kenyataan “kalau aku Tuhan..” di Dewan
Rakyat.
“Untuk golongan agama yang jatuhkan hukuman ke atas saya secara tidak adil , saya tidak teragak agak untuk menyaman anda!!!
“Saya anggap mereka lagi berbahaya dari golongan jahil.
Kenapa? Sebab mereka, bagi saya, ada ilmu tapi malangnya tak guna ilmu
dengan betul. Maaflah jika saya kasar sikit,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Antara yang memberi nasihat supaya beliau bertaubat termasuk Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja).
Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin yang dilihat umum
cenderung menyebelahi Pakatan Harapan malah turut meminta beliau berbuat
demikian.
Mohamed Hanipa di Dewan Rakyat pada 29 Mac lalu berkata: “Tolong
Jangan cakap pasal agamalah. Telinga saya dengar ni gelilah..geli”
Beliau berkata demikian apabila dinasihatkan wakil rakyat Barisan
Nasional (BN) supaya tidak bersikap bongkak dan takbur kerana ia
dilarang Islam.
Hanifa tanpa menghiraukan nasihat itu seterusnya berkata: “Kalau saya Tuhan. Saya tak jadikan kamu. Dah lama saya hapuskan”
Kenyataan Hanifa itu mendapat perhatian wakil rakyat PAS, Datuk Mohd. Khairuddin Aman Razali yang bangun menegurnya.
Mohd. Khairuddin menjelaskan kenyataan Hanifa kalau beliau Tuhan itu boleh merosakkan akidah seseorang umat Islam.
Hanifa menyindir Mohd. Khairuddin yang juga ahli majlis dewan ulama PAS sebagai penunggang agama.
Perang mulut antara wakil rakyat Pakatan Harapan dan PAS mengenai akidah Islam berlarutan selama beberapa minit
Mohamed Hanipa dalam kenyataan hari ini namun mempertahankan tindakan beliau mengeluarkan kenyataan “kalau aku Tuhan”
Beliau mendakwa berkata demikian kerana seorang wakil rakyat BN menyindirnya “kamu ni Tuhankah?”
Sindirian itu dibuat kerana Mohamed Hanipa membayangkan Pakatan Harapan akan menang dalam PRU14 dalam ucapannya.
“Saya juga menyambung selepas ayat “kalau itu” dengan ayat “Akan
tetapi sebab saya tidak Tuhan, Tuhan jadikan jugalah orang macam kamu
supaya orang lain nampak inilah yang patut kita lawan”
“Saya tak akan tarik balik kenyataan saya,” katanya lagi.
Mohamed Hanipa mendabik dada beliau pernah mempelajari syariah dan ”
adabul qada’ fi al-Islam” serta “turuq al-ithbat” malah seorang pengamal
undang-undang selama 23 tahun. – MYNEWSHUB.CC
KUALA LUMPUR – Sebuah syarikat perancang perkahwinan yang
popular dalam laman sosial, Facebook, dikenali sebagai ‘Pakar Kenduri
Malaysia’ (PKM) didakwa telah menipu para pelanggannya sehingga mencecah
hampir RM500,000 dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini.
Timbalan Ketua Biro Aduan Parti Gerakan, Ben Liew Pok Boon berkata,
beliau menerima aduan daripada sembilan mangsa yang dipercayai telah
ditipu oleh syarikat terbabit yang didalangi seorang lelaki Melayu
bernama Mohammad Lukman Ashaari.
Jelas Ben Liew, rata-rata mangsa di tipu selepas individu terbabit
menerima bayaran penuh sebelum menghilangkan diri pada hari perkahwinan.
“Selepas biro aduan kita membuat pendedahan tentang penipuan syarikat
ini, saya secara peribadi telah menerima panggilan tidak kurang
daripada sembilan orang mangsa yang di tipu berbelas dan berpuluh ribu
ringgit.
“Selepas membayar jumlah yang diminta, lelaki itu atau pekerja
syarikat itu akan bertindak menghilangkan diri tanpa membayar mana-mana
pihak lain seperti jurukamera, mak andam dan sebagainya.
“Apa yang lebih menyedihkan apabila perkhidmatan katering yang juga
di bawah syarikat ini dikenali sebagai ‘Hanani Kitchens’ juga tidak
menghantar makanan seperti dijanjikan pada hari majlis. Mereka akan
bertindak menutup telefon serta menghilangkan diri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri
beberapa orang mangsa yang mengalami kerugian berjumlah hampir
RM200,000.
Menurut salah seorang mangsa, Hapizah Abdul Ghani, beliau kerugian
sebanyak RM17,350 pada hari perkahwinan anaknya pada 24 Mac lalu.
Jelasnya, PKM pada saat-saat akhir, tidak menghantar perkhidmatan
katering sehingga ratusan tetamu yang hadir hampir tidak dapat menikmati
makanan tengahari.
“Bayangkan, kami terpaksa memasak pada saat-saat akhir dan membeli
lauk pauk di semua kedai merata tempat di sekitar Pandan Jaya dan
Ampang. Bukan sahaja malu, saya amat kecewa kerana terlampau percayakan
syarikat perancang ini.
“Saya amat kecewa kerana ini merupakan perkahwinan pertama dalam
keluarga kami. Bayangkan betapa terujanya kami, tetapi seolah-olah
berakhir dengan tragedi seperti ini. Saya juga cuba menghubungi syarikat
ini tetapi mereka menghilangkan diri.
“Saya bersama anak kemudian membuat laporan polis terhadap syarikat
ini sebelum bertindak membuat aduan di Biro Aduan Gerakan di sini hari
ini,” katanya yang menangis teresak-esak.
Sementara itu, seorang lagi mangsa yang bakal melangsungkan
perkahwinan pada 31 Mac ini, Mohamad Faez Mohd Zamberi,26, terpaksa
berputih mata apabila rugi hampir RM14,200.
“Saya sudah tidak tahu bagaimana mahu selesaikan perkara ini kerana
perancang perkahwinan saya hanya mendiamkan diri serta hilang begitu
sahaja. Ibu bapa saya hanya mampu melakukan kenduri doa selamat
menggantikan majlis perkahwinan seperti yang diimpikan kerana segala
wang telah diberikan kepada syarikat ini.
“Apa yang lebih menyakitkan adalah, mereka telah meminta saya
membayar dengan cepat supaya mendapat potongan harga sehingga 10
peratus, kerana percaya saya juga bertungkus lumus mengumpul bayaran
itu.
“Mana tahu, mereka akan hilang selepas menerima bayaran tersebut.
Majlis dah dekat tapi saya sekeluarga terpaksa berulang alik ke balai
polis dan biro aduan pula untuk mendapatkan pengadilan,” ujarnya.
Ben Liew berkata, pihaknya sedang mengumpulkan bahan bukti selain
meminta lebih ramai mangsa tampil membuat laporan polis supaya pihak
berkuasa dapat mengambil tindakan menjejaki dalang syarikat ini.
“Saya juga mula menerima panggilan telefon dari pelbagai pihak yang
didakwa telah ditipu oleh syarikat terbabit, mungkin jumlah kerugian
juga dijangka meningkat,” tegasnya.
KUALA TERENGGANU: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata
kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya tidak banyak
menjejaskan peluang parti itu untuk menang pada pilihan raya umum ke-14
(PRU14).
Beliau berkata PAS yakin masih boleh memenangi PRU14 menerusi undi golongan muda.
“Kita meletakkan harapan menerusi undi pengundi muda iaitu kira-kira
30% daripada jumlah pengundi sedia ada,” katanya kepada pemberita
selepas majlis Dialog Rakyat PAS Terengganu hari ini.
Rabu lepas, usul kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya
diluluskan Dewan Rakyat setelah mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen
melalui undi belah bahagian dengan menerima sokongan 129 ahli Parlimen
dan 80 yang menolak.
Raus Sharif mengingatkan para hakim tidak menangguhkan kes dengan sewenang-wenangnya tanpa alasan wajar.
Ketua
Hakim Negara Raus Sharif berkata budaya menangguh kes tidak wujud di
mahkamah Australia, UK, AS dan Singapura. (Gambar Facebook)
PUTRAJAYA: Ketua Hakim Negara Tun Raus Sharif hari ini mengingatkan
para hakim supaya tidak menangguhkan kes dengan sewenang-wenangnya tanpa
alasan wajar.
Beliau berkata budaya penangguhan kes tidak wujud dan tidak diamalkan dalam sistem Badan Kehakiman itu.
“Pembaharuan yang digerakkan oleh Badan Kehakiman ialah untuk
memastikan pendengaran sesuatu kes tidak tertangguh sewenang-wenangnya.
Budaya penangguhan kes ini harus kita tangani.
“Di mahkamah di negara seperti Australia, United Kingdom, Amerika
Syarikat dan Singapura, budaya menangguhkan kes tidak wujud,” katanya
semasa berucap pada majlis penyampaian watikah pelantikan 7 pesuruhjaya
kehakiman baharu di Istana Kehakiman di sini.
Raus berkata apabila sesuatu kes ditetapkan untuk perbicaraan, ia mesti didengar dan diputuskan tanpa penangguhan.
Sehubungan itu, beliau menasihati hakim yang baru dilantik dan hakim
sedia ada supaya menjalankan pengurusan kes dengan baik bagi memastikan
tiada penangguhan berlaku selepas kes ditetapkan untuk perbicaraan.
Menurutnya budaya tiada penangguhan diamalkan di Mahkamah Persekutuan
dan kini, ia hampir mencapai 100% kes dikendalikan tanpa penangguhan.
“Misalnya minggu lepas, Mahkamah Persekutuan bersidang di Kota
Kinabalu selama 5 hari dari Isnin hingga Jumaat. Terdapat 43 kes yang
ditetapkan untuk bicara, semuanya berjalan kecuali 1 di mana kes itu
terpaksa ditangguhkan kerana peguam dari Miri tidak mempunyai permit
bekerja di Sabah.
“Minggu ini, semasa saya bersidang pada Isnin, Khamis dan hari ini,
semua kes berjalan tanpa ada penangguhan. Saya berharap budaya ini
diikuti di Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi malah di semua peringkat
mahkamah,” katanya.
Raus juga menasihati para hakim membuat sesuatu keputusan itu dengan
teliti dan adil berlandaskan undang-undang dan fakta yang terbukti serta
menyegerakan penghakiman dan memastikan penghakiman itu mudah difahami.
“Jika semua ini tidak diberi perhatian, keputusan kita akan dipersoal
dan akibatnya, keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap Badan
Kehakiman akan terhakis,” katanya.
Raus berkata harapan masyarakat terhadap badan kehakiman adalah
sangat tinggi dan kebanyakan keputusan mahkamah diteliti dan diulas oleh
masyarakat melalui media cetak dan elektronik.
“Oleh itu, keputusan hendaklah dibuat dengan teliti,” katanya.
Beliau berkata sejak akhir 2008, Badan Kehakiman menggerakkan
pembaharuan bagi memastikan badan itu senstiasa efisien, dihormati dan
dipercayai masyarakat.
Terdahulu, 7 pesuruhjaya kehakiman mengangkat sumpah jawatan dan taat setia masing-masing.
Mereka ialah Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin, 48, yang memulakan
kerjaya sebagai timbalan pendakwa raya dan peguam persekutuan di Jabatan
Peguam Negara dan jawatan terakhirnya ialah timbalan ketua eksekutif di
Suruhanjaya Sekuriti.
Datuk Mohd Radzi Harun, 53, pula memulakan kerjayanya sebagai
majistret dan jawatan terakhirnya ialah sebagai pengerusi Pesuruhjaya
Khas Cukai Pendapatan Kementerian Kewangan.
Lima lagi ialah Datuk Aliza Sulaiman, 51, juga memulakan karier
sebagai majistret, Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid, 52, yang pernah
bertugas sebagai timbalan pendakwa raya dan 3 peguam iaitu Wong Chee
Lin, 57, Darryl Goon Siew Chye, 61 dan Dr Lim Hock Leng, 55.
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan
memberitahu tiada larangan terhadap wanita untuk berucap menggunakan
mikrofon di Kelantan.
"Dulu masa saya jadi exco tak ada macam itu (larangan wanita tak boleh berucap guna mikrofon), saya rasa sekarang pun tak ada.
"Malahan artis wanita pun boleh buat persembahan untuk penonton wanita," katanya dipetik Malaysiakini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan seorang wanita- Ameera
Aida- yang mendakwa dia dihalang menjadi pengacara bagi sebuah program
yang melibatkan kanak-kanak di Kelantan.
Ameera Aida mendakwa, dia ditugaskan untuk menjadi pengacara selama
lima hari namun dipendekkan kepada dua hari kerana larangan sebuah
majlis perbandaran di Kelantan.
Menulis di Twitternya, Ameera berkata dia dimaklumkan bahawa wanita
tidak boleh menjadi pengacara kerana suara mereka adalah aurat walaupun
program berkenaan dibuat secara tertutup.
Sehubungan itu, Takiyuddin yang juga setiausaha agung PAS berkata
beliau bersedia untuk berjumpa dengan Ameera bagi membincangkan tentang
perkara berkenaan.
"Saya rasa lebih baik periksa fakta tentang kes ini macam mana sebenarnya.
“Saya pun bersedia jumpa dengan Ameera ini," katanya lagi.
PULAU PINANG: Polis mengambil langkah awal dengan berjumpa pengetua
sebuah sekolah menengah di Georgetown di sini hari ini susulan video
sekumpulan pelajar bertumbuk yang menjadi tular pagi ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Anuar Omar berkata,
dalam kunjungan ke sekolah itu pagi ini, polis dimaklumkan oleh
pengetuanya akan membantu mengesan pelajar yang terbabit dalam
pergaduhan tersebut.
“Sekolah itu ditutup hari ini kerana cuti peristiwa dan pihak sekolah
sudah memberi jaminan akan mengesan pelajar yang terbabit dalam
pergaduhan itu dan menghubungi polis segera bagi membantu siasatan,”
katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Awal hari ini, satu video sekumpulan pelajar bergaduh dan bertumbuk di muat naik ke laman sosial Facebook dan menjadi tular.
Video berdurasi kira-kira dua minit itu membabitkan sekumpulan lebih 10
pelajar sekolah menengah dengan ada daripada mereka bertumbuk sambil
disaksikan pelajar lain.
Video itu menimbulkan keresahan orang ramai yang mendesak supaya pihak polis menjalankan siasatan segera.
TANJONG KARANG: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan
Kerajaan Tempatan (KPKT) akan membina 6,000 unit rumah kepada golongan
belia jika rakyat memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) mentadbir
semula Selangor.
Perkara itu dimaklumkan Menterinya, Tan Sri Noh Omar yang mana kesemua
pembinaan unit perumahan itu akan dilaksanakan di Rawang selepas
kelulusannya telah dipersetujui oleh Kabinet pada bulan lalu membabitkan
kerjasama dengan pihak swasta.
Bagaimanapun katanya, kelulusan pembinaan projek itu masih bergantung
kepada kebenaran kerajaan negeri kerana urusan tanah adalah di bawah
bidang kuasa mereka walaupun projek tersebut akan dibina di atas tanah
milik KPKT.
“KPKT akan bina rumah itu ditanah milik KPKT seluas 202 hektar di
Rawang. Ketika ini kita hanya menunggu kerjasama dan kelulusan daripada
kerajaan negeri. Sama ada cepat atau lambat projek ini disiapkan, ia
bergantung kepada kerajaan negeri.
“Namun, jika BN menang di Selangor, maka lagi cepatlah projek itu
berjalan dan disiapkan untuk manfaat golongan belia,” katanya kepada
pemberita selepas mengadakan program turun padang di Kampung Sawah
Sempadan, di sini hari ini.
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, rakyat perlu memilih
kerajaan yang stabil dalam aspek politik dan kepimpinan untuk membangun
dan mentadbir negara.
Perdana Menteri berkata, kerajaan yang dipilih masyarakat perlulah
menentukan hala tuju negara dengan memberi keutamaan kepada empat
dimensi iaitu, politik, ekonomi, sosial dan keselamatan.
Katanya, tanpa kestabilan politik dan kepimpinan yang tidak memahami
bagaimana mahu mentadbir serta menentukan keutamaan dalam agenda negara,
segala yang dikecapi ketika ini akan hancur dan tidak bermakna lagi.
"Contohnya, ada pihak yang menyatakan saiz penjawat awam terlalu besar,
hingga ada kertas kerja dibentangkan oleh Penang Institute menyebut
hanya 430,000 penjawat awam yang diperlukan berbanding 1.62 juta ketika
ini.
"Implikasinya, mungkin saiz anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atau perkhidmatan pelajaran akan
dikurangkan. Segalanya mungkin berlaku jika dasar kerajaan tidak
menepati keperluan sebenar.
"Lebih buruk daripada itu, seandainya ada pihak yang tidak memahami
asal usul sejarah negara, misalnya dicadangkan Rejimen Askar Melayu
Diraja (RAMD) dibubar kerana tidak sesuai dengan konsep 'Malaysian
Malaysia'. Apa implikasi pada kita semua?
"Bukan saya sengaja mahu timbulkan isu sensitif, tapi mahu kita sedar
dan menghayati hakikat bahawa kita perlu tentukan kepemimpinan paling
sesuai dan tepat untuk aspirasi dan masa depan negara kita bersama,"
katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Rejimental ATM dan PDRM
2018 di sini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Panglima
Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed
Noor; dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.
Seramai 460 anggota ATM dan PDRM hadir pada majlis makan malam itu bagi
meraikan kerjasama dua agensi keselamatan itu, selain meraikan Sambutan
Hari Peringatan PDRM Ke-211 serta pameran NBOS antara Kementerian
Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, ATM dan PDRM.
Walaupun Najib tidak menyebut mana-mana pihak, namun umum mengetahui
konsep Malaysian Malaysia adalah prinsip dan agenda politik yang
diperjuangkan DAP sejak sekian lama.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, pemilihan tampuk kepemimpinan
yang tepat, khususnya dengan sokongan ATM dan PDRM, akan menjadikan
Malaysia sebagai negara yang hebat di persada antarabangsa.
"Malaysia memiliki masa depan yang cerah. Inilah yang mesti kita
pertahankan. Kesetiaan kita pada negara tidak boleh berbelah bahagi.
"Setiap pada anda semua (anggota ATM dan PDRM) sanggup berkorban apa
jua, kerana itu kami kepemimpinan kerajaan amat menghargai sumbangan dan
pengorbanan yang tidak terkira.
"Saya juga akan mempertimbangkan apa jua yang mampu kita berikan supaya
ATM dan PDRM terus berkembang dengan penuh kebanggaan sebagai dua
institusi yang penting untuk negara dan masa depan kita," katanya.
SEREMBAN: Polis sudah merakamkan keterangan penceramah motivasi,
Syamsul Amri Ismail atau Syamsul Debat berhubung dakwaan skandal dengan
isteri orang, semalam.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin, berkata
penceramah berusia 41 tahun itu hadir ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen
(IPK) Negeri Sembilan jam 11 pagi dan memberikan kerjasama.
Katanya, Syamsul memberikan keterangan susulan laporan polis dibuat
seorang lelaki dari Johor yang berusia 51 tahun pada Sabtu lalu.
"Polis sudah melengkapkan keterangan semua pihak iaitu Syamsul Debat,
pengadu dan isteri pengadu yang berusia 39 tahun. Polis setakat ini
masih meneruskan siasatan," katanya ketika dihubungi, malam ini.
Beliau bagaimanapun tidak mengulas apabila ditanya sama ada kes itu ada kaitan dengan seteru politik.
"Kita masih menyiasat dan akan merujuk Timbalan Pendakwa Raya sama ada
(kes) akan dihadapkan ke mahkamah atau sebaliknya," katanya.
Akhbar pada 27 Mac lalu melaporkan Syamsul Debat pada sidang media di
Rahang, di sini memaklumkan terkejut apabila ada laporan mendakwanya
mempunyai skandal dengan isteri orang.
Syamsul menafikan dakwaan itu malah tidak tahu apa isi kandungan dan siapa yang membuat laporan polis.
Beliau ditemani peguam, Datuk T Anandan tidak terfikir ada individu
berdendam dengannya kerana setiap hari berinteraksi dengan ramai orang
menerusi ceramahnya.
Pengadu dalam laporan polis mendakwa penceramah terbabit berkenalan
dengan isterinya yang menetap di Johor Bahru melalui Facebook sebelum
hubungan bertambah rapat apabila mereka sering berhubung melalui
telefon.
Lelaki itu mendakwa pada hujung Disember tahun lalu, mereka bertemu di
sebuah hotel di Seremban dan penceramah itu meminta wanita terbabit
melakukan seks oral dan memberinya sejumlah wang.
HONG KONG: Krew kabin wanita penerbangan Cathay Pacific akhirnya berjaya mendapatkan kelulusan untuk memakai seluar panjang.
Syarikat penerbangan Hong Kong itu telah bersetuju staf penerbangan
boleh memilih untuk memakai seluar, selepas mendapat tekanan daripada
Persatuan Penerbangan Penerbangan Hong Kong Dragon Airlines.
Beberapa krew telah mengadu bahawa memakai skirt pendek membuat mereka
merasa tidak selesa - terutamanya apabila meletakkan beg di ruang barang
di atas pesawat atau mengambil pengangkutan awam ke dan dari tempat
kerja.
Tetapi perubahan tidak akan berlaku sehingga Cathay Pacific akan menyeragamkan pakaian mereka.
Ia mungkin mengambil masa dalam tempoh tiga tahun.
"Kami mengalu-alukan dan menghargai keputusan syarikat untuk memberi
kami pilihan untuk pakaian seragam," kata Pauline Mak, naib pengerusi
persatuan tersebut.
Peraturan memakai skirt telah wujud sejakpenerbangan itu diasaskan pada tahun 1946.
Krew penerbangan telah meminta reka bentuk semula pakaian kerja mereka
pada tahun 2014 - dan mendakwa skirt itu terlalu terdedah yang boleh
mendatangkan gangguan seksual.
Mak berkata perubahan dasar itu "bukan hanya memberikan kita satu pilihan lagi, tetapi juga memberikan kita perlindungan".
MIRI: Sikap ingin tahu seorang lelaki apabila melihat plastik sampah
bergerak-gerak dan bunyi seakan kucing, membawa kepada penemuan bayi
lelaki di kaki lima sebuah pasar raya di Jalan Merpati di sini, malam
ini.
Dalam kejadian jam 9 malam, bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan itu
ditemui dibuang berhampiran tong sampah berhampiran sebuah restoran
dalam pasar raya itu.
Sumber berkata, bayi berkenaan ditemui lelaki terbabit berusia
lingkungan 50-an yang ketika itu sedang mencari kotak berhampiran tong
sampah itu.
Katanya, lelaki terbabit musykil apabila ternampak satu plastik hitam
berhampiran tong sampah berkenaan yang bergerak-gerak dan terdapat bunyi
seakan kucing di dalam plastik itu.
"Lelaki terbabit kemudiannya membuka plastik berkenaan kerana menyangka terdapat individu yang membuang anak kucing.
"Bagaimanapun, lelaki terbabit tergamam apabila dia menemui bayi di dalam plastik berkenaan," katanya.
Katanya, orang awam yang menyedari kejadian itu kemudiannya membalut bayi berkenaan dengan kain sarung.
"Bayi berkenaan kemudiannya diserahkan kepada pasukan paramedik dan dibawa ke Hospital Miri untuk pemeriksaan," katanya.
JOHOR BAHRU: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr
Ahmad Zahid Hamidi yakin tidak akan berlaku unsur sabotaj dalam kalangan
parti komponen BN terhadap calonnya di Johor pada Pilihan Raya Umum
ke-14 (PRU14 ) akan datang.
Beliau berkata keyakinan itu adalah bersandarkan kepada kepercayaan
beliau terhadap Pengerusi BN Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
untuk mengurus dan memimpin semua parti komponen BN negeri.
Ahmad Zahid, yang juga timbalan perdana menteri percaya ramai pihak
telah menerima baik perubahan yang akan dilakukan BN iaitu menukar dan
menggantikan calon yang tidak berwibawa untuk bertanding pada PRU14.
“Saya yakin di bawah kepimpinan (Datuk Seri) Mohamed Khaled, perkara
itu (sabotaj) tidak akan berlaku di negeri Johor,” kata beliau ketika
ditanya sama ada BN yakin tiada sabotaj akan berlaku ke atas calon BN di
negeri itu pada PRU14.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Jentera BN
Johor 2018 di Stadium Tertutup Pasir Gudang, dekat Johor Bahru semalam.
Ditanya jika BN sudah memuktamadkan barisan calonnya, Ahmad Zahid berkata majoriti calon sudah dipilih.
Bagaimanapun, katanya BN masih melihat kepada beberapa aspek termasuk
keupayaan calon, sama ada mereka boleh menang dan berintegriti.
“Saya merasakan semua aspek diperincikan bukan hanya soal integriti
tetapi soal bagaimana calon itu sudah dikenali di kawasan yang akan
diwakili dan bagaimana daya kemenangannya.
“Bagaimanapun, di peringkat akhir nanti, Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak (selaku pengerusi BN) akan memuktamadkan calon setelah
membuat perundingan dan ambil kira pandangan pengerusi-pengerusi BN
negeri,” kata beliau yang turut berpuas hati terhadap kesiapsiagaan BN
Johor dalam menghadapi PRU14.
Menurutnya, BN adalah parti yang sentiasa mahukan kepelbagaian termasuk menjadikan orang muda sebagai calon mereka.
Ahmad Zahid berkata ini penting demi memastikan semua golongan masyarakat diwakili dalam BN.
Ketika ditanya tentang desas-desus kononnya ada calon BN mungkin
bertanding di kerusi Parlimen dan juga kerusi Dewan Undangan Negeri,
beliau berkata perkara itu terserah kepada pengerusi BN untuk
diputuskan.
Berhubung penerimaan mereka yang mungkin tidak dicalonkan semula pada
PRU14, katanya ia adalah perkara biasa dan sebahagian daripada proses
perubahan serta pembaharuan dan selama ini telah diterima dengan hati
terbuka dalam BN.
Rafizi Ramli berkata tinjauan menunjukkan sokongan pengundi bukan Melayu akan kekal bersama pembangkang.
SERDANG: Rafizi Ramli berkata tinjauan terbaharu oleh badan
penyelidikannya, Invoke Malaysia, mendapati sokongan orang Melayu kepada
Pakatan Harapan tidak terjejas dengan persempadanan semula terbaru yang
diluluskan di Parlimen.
Ahli Parlimen Pandan itu mendakwa pertandingan 3 penjuru merebut
untuk Melayu tidak akan menyebelahi Barisan Nasional kerana gabungan
perlu membahagikan 60% undi Melayu mereka kepada 2.
“Ramai penganalisis menggunakan nombor-nombor dalam PRU13 untuk
menghasilkan angka yang menunjukkan BN akan meraih kelebihan daripada
pertandingan 3 penjuru.
“Ini salah kerana kita tahu dinamik sudah berubah sejak PRU13. Banyak perkara yang berbeza sekarang dan perlu diambil kira.
“Tiada lagi Pakatan Rakyat, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama pembangkang dan PAS menjadi kuasa ketiga,” katanya.
Tinjauan telefon Invoke yang dijalankan bukan ini mendapati di
Selangor, 27.6% responden (pengundi Melayu) memilih Barisan Nasional, PH
20.5% dan PAS 8.5%.
Responden selebihnya tidak menjawab (25%) atau tidak pasti (18%).
Beliau berkata perbezaan dalam tinjauan antara BN dan PH hanya sekitar 7.1%.
“Agak nyata sokongan orang Melayu kepada PH masih agak kuat.
Bersama-sama sokongan kuat daripada bukan Melayu, kerusi itu harus
bersama PH.
“Soalan profil kita mengecilkan pengundi yang tidak pasti kepada satu
pilihan – PH, PAS atau BN.
Kebanyakan mereka cenderung ke arah PH dan
tidak mahu Datuk Seri Najib Razak kekal sebagai perdana menteri.
“Selepas soalan profil ini diajukan, BN meraih 37.6% sokongan, PH
43.7% dan PAS 18.7%,” katanya pada forum mengenai kesan persempadanan
semula yang disyorkan Suruhanjaya Pilihan Raya.
Sempadan pilihan raya baharu sudah diwartakan untuk digunakan pada PRU14 selepas diuluskan di Dewan Rakyat.
Rafizi berkata persempadanan tidak akan mengalihkan kerusi majoriti
Melayu kepada BN tetapi hanya mengurangkan margin yang dimenangi PH.
“PH masih mempunyai margin yang selesa di kawasan-kawasan ini.”
Rafizi berkata tinjauan menunjukkan sokongan pengundi bukan Melayu akan kekal bersama pembangkang.
“Tinjauan mendapati sokongan Cina untuk BN hanya 5.5%, PH 61.3% dan PAS sifar.
“Dalam kalangan pengundi India, BN mempunyai 19.4% sokongan, PH 42% sokongan dan PAS 0.3%.
“Sebab inilah jumlah keluar mengundi sangat penting kerana kita tahu
pengundi Cina bersama PH manakala undi pengundi India di Selangor akan
10% melebihi purata kebangsaan.”
Rafizi menambah persempadanan semula hanya mengakibatkan segelintir kerusi menambah lebih daripada 1% undi Melayu.
“Kita juga perlu mengambil kira peratusan pengundi Cina baharu lebih tinggi berbanding pengundi Melayu baharu.
“Pengundi-pengundi baharu ini akan mengurangkan kesan persempadanan.
Ini sesuatu yang tidak boleh dikawal kerajaan dengan melukis semula
sempadan kawasan.”
Zakir Naik dilaporkan berlindung di Malaysia dan Arab Saudi, berulang-alik antara 2 negara itu sejak melarikan diri dari India.
PETALING JAYA: Kerajaan India mengeluarkan perintah ekstradisi kepada
Malaysia meminta penghantaran pulang penceramah kontroversi Zakir Naik,
lapor Times of India.
Menurut laporan itu, Kementerian Luar Negeri India menyerahkan
dokumen berkaitan kepada pihak berkuasa Malaysia, dan Agensi Penyiasatan
Kebangsaan (NIA) sudah melalui semua proses menuntut penghantaran
pulang itu.
Pihak berkuasa India menuduh penceramah berusia 52 tahun itu
membiayai terorisme. Naik dituduh mengetuai satu persatuan yang
menyalahi undang-undang dan menghasut anak muda melakukan keganasan dan
menyertai kumpulan militan antarabangsa, seperti IS.
NIA berkata Naik juga secara sengaja menghina kepercayaan penganut
Hindu, Kristian dan fahaman Islam lain seperti Syiah, Sufi dan Barelvi,
dan ucapan-ucapannya mempengaruhi rekrut kepada perjuangan IS.
NGO Naik yang berpangkalan di Mumbai, Yayasan Penyelidikan Islam (IRF), diharamkan kerajaan India pada 2016.
Laporan itu menambah mahkamah di Kuala Lumpur berkemungkinan sekali mendengar permintaan India itu.
Bagaimanapun, tiada garis masa diberikan tentang bila perintah itu
diserahkan kepada Malaysia atau bila mahkamah akan mendengar permintaan
itu.
Pada 8 November, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid
Hamidi berkata Putrajaya sedia menghantar Naik pulang ke negaranya jika
ada permintaan daripada kerajaan India.
Pada November lepas, Naik dilaporkan melantik seorang peguam di
Malaysia untuk melawan sebarang perintah ekstradisi daripada India
berhubung dakwaan pengubahan wang dan terorisme.
Peguam Shaharudin Ali sudah memaklumkan ketua polis negara dan peguam
negara supaya merujuk kepadanya sekiranya ada permintaan seperti itu.
India dijangka menyerahkan bukti dalam bentuk CD dan DVD bagi
menunjukkan ia mempunyai kes terhadap Naik yang didakwa menyebarkan
kebencian dan menggunakan IRF dan syarikat Harmony Media Pvt Ltd untuk
aktiviti anti-nasional.
Naik melarikan diri dari India pada 1 Julai 2016 selepas pengganas di
Bangladesh mendakwa mereka mendapat ilham daripada ucapannya.
Dia dilaporkan berlindung di Malaysia dan Arab Saudi, berulang-alik antara 2 negara itu sejak meninggalkan India.
Timbalan Presiden MCA itu berkata, sebagai wakil
rakyat, menteri dan jurutera, beliau mahu Lim menjawab kemusykilan
berkaitan pembinaan terowong berkenaan.
Wee sedia berbincang secara aman untuk bertukar fikiran jika Lim tidak mahu berdebat.
BUTTERWORTH: Keengganan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng
berdebat mengenai isu terowong dasar laut dengan pelbagai alasan hanya
helah semata-mata, kata Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka
Siong.
Malah, katanya, beliau diperlekehkan kerana tidak layak untuk
berdebat atas kapasiti timbalan presiden MCA sedangkan perkara ini bukan
mengenai dasar sesebuah parti, tetapi sebagai wakil rakyat, menteri dan
jurutera, beliau mahu Lim menjawab kemusykilan itu.
“Saya sudah ajak ketua menteri berdebat banyak kali, jika tidak
berdebat pun sekurang-kurangnya perbincangan secara aman untuk bertukar
fikiran dan tunjukkan kepada saya apa yang dilemparkan itu tidak benar,”
katanya selepas menyampaikan Ceramah Kisah Benar Pulau Pinang 2.0 malam
tadi.
Lim sebelum ini menolak cabaran Wee untuk berdebat mengenai isu
tersebut atas alasan tidak mahu merendahkan martabat jawatan setiausaha
agung DAP dengan menerima cabaran Wee, pemimpin nombor 2 dalam MCA.
Semalam, ketua menteri itu memberikan syarat Wee perlu bertanding
menentangnya di Parlimen Bagan jika mahu berdebat isu terowong dasar
laut.
Wee yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, beliau
hanya mahukan jawapan daripada ketua menteri itu apabila sesuatu perkara
dibongkarkan dan jawapan perlu diberikan dan tidak berbangkit soal
taraf seseorang.
“Alasan itu tidak masuk akal, lagi pun sebelum ini Lim juga pernah
berkali-kali pada 2011 mencabar Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang juga
Ahli Parlimen di Pulau Pinang dan menteri di Jabatan Perdana Menteri
ketika itu untuk berdebat, dan jika kita bandingkan jawatan saya dengan
Mohamed, saya rasa tidak rendah jawatan saya,” katanya.
Wee turut mempersolkan tindakan ketua menteri yang mengaitkan soal
hierarki untuk melayakkan seseorang berdebat dengannya sambil meminta
Lim menjelaskan laporan Oriental Daily berhubung 8 syarikat yang
dipelawa untuk pusingan pertama, iaitu tentang prakelayakan sebelum
memberikan kontrak ini kepada sesiapa.
“Kalau ikut senarai 8 syarikat ini, Zenith Construction atau
Consortium Zenith BUCG tidak ada dalam pusingan pertama dan tiba-tiba
pusingan kedua pula masuk, jadi ini pertanyaan daripada rakyat. Jangan
kata protokol, tak boleh jawablah, itu semata-mata sebagai tipu helah.
Ia helah supaya tidak menjawab soalan,” katanya.
Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2km yang menghubungkan
Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai mencetuskan pelbagai
kontroversi, termasuk berhubung kos kajian kebolehlaksanaan yang terlalu
tinggi selain kaedah pembayaran melibatkan pertukaran tanah kerajaan
negeri serta pelaksanaannya dibantah penduduk negeri yang bimbang dengan
impak ekonomi, sosial dan alam sekitar.
Projek itu sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM) kerana didakwa melibatkan kos kajian kebolehlaksanaan yang tinggi
dan kaedah pembayaran melibatkan pertukaran tanah kerajaan negeri.