KUALA LUMPUR: Seorang bekas peguam negara menyifatkan penubuhan
suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berkaitan peristiwa Memali, bukanlah
satu keperluan.
Sebaliknya menurut Tan Sri Abu Talib Othman, pihak polis sepatutnya
mengambil tanggungjawab berkenaan dengan memberi penerangan kerana
mereka berada di lokasi ketika kejadian berkenaan berlaku.
"Mengapa (kita) mahu RCI sedangkan ia peristiwa bertahun yang lalu, ia sudah jadi sejarah.
"Jika ada pihak yang lebih tahu, ia adalah polis di lapangan. Mengapa
ketua polis negara (IGP) tidak berkata apa-apa? Mereka sepatutnya
menyatakan kebenaran.
"Mengapa polis tidak tampil menceritakan sepenuhnya apa yang berlaku di
lapangan, mereka tahu tentangnya," katanya dalam satu sidang media hari
ini.
Peristiwa Memali kembali hangat selepas bekas perdana menteri Tun Dr
Mahathir Mohamad membangkitkannya di mesuarat agung pertama PPBM minggu
lalu.
Dr Mahathir menyalahkan mufti yang sepatutnya bertanggungjawab terhadap
insiden berkenaan, ekoran gagal menegur PAS sehingga membuahkan Amanat
Hadi sekaligus mencetuskan peristiwa berdarah itu.
Tahun lalu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan
tidak menolak kemungkinan akan menubuhkan RCI bagi menyiasat perkara
itu.
Menegaskan yang pihak yang bertanggungjawab terhadap insiden itu perlu
dibawa ke muka pengadilan, Abu Talib berkata polis patut melakukan
siasatan.
"Mereka yang mengendalikan keadaan. Mengapa politikkan isu itu
sekarang...kita mahukan keamanan dalam negara. Kita ada undang-undang,
dan kita semua setara di bawah undang-undang," katanya.
No comments:
Post a Comment