Friday, January 26, 2018

Susu tiruan: KPDNKK tunggu laporan akhir

THE MALAYSIAN TIMES



PUTRAJAYA: Tindakan terhadap pihak yang menjual dan mengedar susu rumusan bayi disyaki tiruan dalam rampasan di sekitar Johor Bahru, Johor pada Disember lepas akan dibuat selepas laporan akhir siasatan diperoleh, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata kementeriannya masih menunggu laporan akhir daripada beberapa agensi dan jabatan seperti Jabatan Kesihatan dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

“Kalau mereka melakukan kesalahan, kami akan mengambil tindakan ke atas mereka. Laporan terakhir tidak bermakna hanya datang daripada satu jabatan atau agensi. Siasatan melibatkan bebarapa agensi,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran dan Advokasi Garis Panduan Pematuhan Standard Keselamatan Bateri Sekunder di sini hari ini.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor pada 10 Disember lepas merampas 210 kotak susu rumusan bayi bernilai RM42,000 yang disyaki tiruan di lima lokasi berasingan di Johor Bahru.

Pada 28 Disember lepas, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata hasil analisis Kementerian Kesihatan (KKM) terhadap susu rumusan bayi yang dirampas di Johor mendapati produk tersebut selamat digunakan.

Bagaimanapun, beliau berkata produk itu tidak mencapai standard kualiti yang ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Makanan 1985 mengikut Akta Makanan 1983 iaitu dari segi kandungan lemak.–Bernama

No comments: