Oleh Shuhaniza Said
PUTRAJAYA: Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad menyindir Ketua
Bahagian PPBM Temerloh, Amerus Che Onn yang mendahului Jabatan Pendaftar
Pertubuhan (RoS) apabila mendakwa mesyuarat agung tahunan (AGM) parti
itu tidak sah.
Sehubungan itu beliau mencabar Amerus untuk menggesa RoS mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai perkara itu.
“Minta dia (Amerus) suruh RoS keluarkan kenyataan rasmi nyatakan ia tak
sah. RoS tak kata apa-apa tapi orang ini lebih pandai dari RoS,”
katanya dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari
ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan Amerus yang
membuat laporan kepada RoS semalam bagi menggesa pertubuhan itu membuat
siasatan terperinci terhadap AGM pertama parti pada Sabtu lalu yang
didakwanya tidak mengikut perlembangaan parti.
Menurut Amerus, AGM pada Sabtu lalu dilihat ‘syok sendiri’ kerana hanya
memperjuangkan kepentingan individu tertentu dan tiada inisiatif untuk
menyelesaikan kemelut dalaman parti.
Amerus turut merujuk kepada ketiadaan perhimpunan di peringkat cawangan
dan bahagian untuk memilih perwakilan hadir AGM pertama itu.
Amerus juga mendakwa AGM pertama itu hanya memberi tumpuan kepada
pimpinan tertentu sahaja dan perwakilan bahagian tidak diberi hak untuk
menyuarakan pandangan.
Sabtu lalu, PPBM mengadakan AGM pertama yang dihadiri 941 perwakilan
daripada 137 bahagian di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam selepas
diberikan amaran oleh RoS.
RoS sebelum ini memberi amaran kepada parti itu kerana melakukan tiga
kesalahan iaitu tidak mengadakan mesyuarat agung tahunan, menubuhkan
sayap Pemuda dikenali sebagai Armada dan menangguhkan mesyuarat agung
tanpa peruntukan dalam perlembagaan parti sehingga boleh menyebabkan
parti itu dibatalkan.
Malah masalah yang membelenggu PPBM itu turut mengheret PH sehingga
menyebabkan pendaftarannya sebagai gabungan parti politik yang sah masih
belum diluluskan sehingga kini.
Justeru Dr Mahathir berkata, dengan penganjuran AGM pada Sabtu lalu
maka kerajaan tidak ada sebab untuk menghalang kelulusan pendaftaran
PH.
“Sebenarnya tak ada halangan langsung.. semua yang dikehendaki telah
kita beri. Bila mereka kata ada masalah dengan PPBM dan DAP, beritahulah
masalah dan kita boleh betulkan.
“Kita bukan nak tentang kerajaan, kita nak kerajaan berani mendaftarkan,” katanya.
No comments:
Post a Comment