Monday, January 1, 2018

PM sementara: Tun M calon kitar semula pembangkang

Mohd Zaini Samsu Hadi
Mohd Puad Zarkashi


KUALA LUMPUR – Langkah gabungan parti dalam Pakatan Harapan untuk melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri sementara jelas membuktikan pembangkang masih gagal mencari kesepakatan untuk mencari pemimpin paling layak untuk menduduki kerusi itu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, pembangkang juga gagal menawarkan kepada rakyat perdana menteri terbaik sehingga terpaksa ‘kitar semula’ bekas perdana menteri selama 22 tahun itu untuk menjadi perdana menteri sementara.

“Perdana menteri sementara membuktikan bahawa masing-masing ada calon menunggu untuk menjadi perdana menteri.

“Tetapi calon menunggu itu semua ada masalah. Ia adalah pekung di dada setiap parti dalam pakatan pembangkang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Puad, perdana menteri sementara dipersetujui kerana PKR mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang jawatan itu selepas beliau bebas nanti.

Manakala katanya, DAP juga bersetuju kerana mereka mahu Lim Kit Siang menjadi perdana menteri, manakala Tun M bersetuju kerana dia mahu anaknya Mukhriz yang menyandang jawatan orang nombor satu itu.

Mohd Puad turut mendakwa, Muhyiddin juga bersetuju kerana seperti biasa dia juga akan memainkan muslihatnya di saat akhir untuk menjadi perdana menteri. – MalaysiaGazette


No comments: