Friday, January 26, 2018

Mustahil ADUN PAS berkempen guna peruntukan rakyat - Sallehen

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Adalah tidak munasabah apabila menuduh ADUN PAS Selangor menggunakan peruntukan kawasan untuk tujuan kempen pilihan raya, kata Pesuruhjaya PAS negeri, Sallehen Mukhyi.
 
Sambil menyifatkan pandangan berkenaan sebagai tidak demokratik, Sallehen menegaskan peruntukan berkenaan bukan untuk kegunaan ADUN sebaliknya ia untuk kegunaan rakyat di kawasan DUN masing-masing.
 
"Ini saya fikir satu kenyataan yang tak demokratik. Sebab sekarang ini peruntukan itu untuk rakyat, bukan untuk PAS. Kalau dibekukan dan tak diberi kepada PAS, jadi apa beza antara PH dan BN?," katanya kepada Antarapos. 
 
Malah Sallehen yang juga ADUN Sabak itu mencabar agar semakan dibuat terhadap ADUN PAS Selangor bagi memastikan wakil rakyat parti berkenaan benar-benar menggunakan peruntukan yang diberi untuk rakyat atau sebaliknya. 
 
"Penyalahgunaan kewangan kalau berlaku, pihak kerajaan negeri boleh ambil tindakan. Sedangkan kegunaan ini untuk rakyat, bukan politik. Wakil rakyat PAS sendiri masih wakil rakyat kerajaan (negeri). Soal politik tak sepatutnya masuk dalam kenyataan itu. 
 
"Kita masih belum bubar, melainkan kalau dah bubar, barulah munasabah nak kata kita guna untuk kepentingan pilihan raya sedangkan DUN belum bubar dan kita masih berhadapan dengan rakyat," katanya.
 
Antarapos sebelum ini melaporkan, beberapa ADUN PH mengalu-alukan tindakan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sekiranya Menteri Besar itu benar-benar mengambil pendekatan membekukan peruntukan kawasan kepada wakil rakyat PAS di negeri ini. 
 
ADUN Morib dari Amanah, Hasnul Baharuddin menyifatkan langkah tersebut sebagai sesuatu yang wajar memandangkan pendirian PAS yang jelas mahu meletakkan calon mereka menentang PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
 
Sementara itu ADUN Sri Andalas dari PKR, Dr Xavier Jeyakumar pula berkata, pendirian politik dengan peruntukan adalah berkaitan, justeru katanya, PAS yang membentuk kerajaan negeri wajar mempunyai pendirian politik yang jelas menjelang PRU14 yang akan berlangsung tidak lama lagi. 
 
Isu peruntukan kawasan kepada ADUN PAS hangat diperkatakan selepas Sallehen mengesahkan 13 wakil rakyatnya di negeri itu tidak memperolehi peruntukan tahunan berjumlah RM800,000 daripada kerajaan negeri.
 
Sallehen berkata, beliau dimaklumkan pegawai Unit Perancangan Ekonomi (EPU) negeri bahawa peruntukan kepada wakil rakyat parti itu untuk tahun ini akan dibekukan. 
 
Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali sebelum ini menafikan Kerajaan Selangor menyekat peruntukan wakil rakyat PAS di negeri itu, sebaliknya kelewatan itu disebabkan masalah teknikal.
 
 

No comments: