KUALA LUMPUR: Seorang kru syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia
Bhd (AirAsia) meninggal dunia ketika bertugas dalam penerbangan dari
Kuala Lumpur ke Bandung, Indonesia hari ini.
Berikutan itu, penerbangan AK416 itu dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di Johor.
AirAsia dalam satu kenyataan mengesahkan pesawat AK416 dari Kuala
Lumpur ke Bandung itu dilencongkan ke Senai kerana kes kecemasan
perubatan.
Katanya, kru penerbangan rakyat Indonesia itu diberikan rawatan
kecemasan apabila pesawat mendarat, namun mangsa disahkan meninggal
dunia oleh doktor di lapangan terbang terbabit.
"AirAsia bersedih dengan kehilangan itu dan menyampaikan rasa simpati kepada keluarga mangsa.
"Kami akan memberikan segala bantuan yang diperlukan keluarga mangsa dalam menghadapi dugaan ini," katanya.
Pesawat AK416 kemudiannya berlepas dari Senai jam 9 pagi dan tiba di
Lapangan Terbang Antarabangsa Husein Sastranegara , Indonesia pada jam
10.11 pagi.
Syarikat itu berkata, keselamatan penumpang menjadi keutamaan dan segala bantuan diberikan untuk keselesaan mereka.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Dzulkhairi
Mukhtar, ketika dihubungi mengesahkan AirAsia telah membuat laporan
mengenai kejadian itu.
Katanya, mangsa adalah lelaki Indonesia berusia 46 tahun, namun butiran lanjut mengenai lelaki berkenaan tidak didedahkan.
Kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
No comments:
Post a Comment