Wednesday, January 24, 2018

‘Imigresen tiada rekod Amri ke Thailand sebelum hilang’

 
Norhayati Ariffin berkata, suaminya ke Hat Yai untuk berjumpa rakan bernama Din atas urusan perniagaan.


amri-imigresen

KUALA LUMPUR: Pemerhati polis, ACP R Munusamy memberitahu panel Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyiasat kehilangan Amri Che Mat, hasil semakan polis mendapati Jabatan Imigresen tidak mempunyai rekod aktivis Perlis itu pergi ke Thailand.

Isnin lalu, Isteri Amri, Norhayati Ariffin memberitahu Suhakam yang suaminya berada di Thailand pada 21 hingga 23 November 2016, sebelum pulang pada 24 Oktober, sehari sebelum beliau hilang.

“Tarikh Amri keluar masuk Malaysia yang ada rekod imigresen hanya 11 Mei 2016, Amri keluar dari Wang Kelian. Ini rekod yang dijumpai.

“Rekod berkaitan Amri keluar ke Thailand pada 21, 22, 23 November atau 24 November 2016 tidak ada dalam rekod imigresen. Ini bererti Amri tidak guna pasport ke Thailand,” katanya kepada panel Suhakam yang dipengerusikan Datuk Mah Weng Kwai.

Hari ini, Norhayati berkata, Amri mempunyai pasport dengan cop imigresen menunjukkan suaminya ke Thailand, tetapi beliau tidak pasti dengan tarikhnya.

Katanya, pasport Amri kini berada di rumah mereka di Perlis dan beliau akan mengemukakan dokumen perjalanan itu kepada panel Suhakam pada sesi pendengaran seterusnya.

Beliau berkata, suaminya selalu ke Hat Yai untuk berjumpa rakan bernama Din atas urus niaga mata wang asing.

Amri, 44, pengasas bersama persatuan kebajikan Perlis Hope, hilang sejak 24 November 2016.

Norhayati dilaporkan berkata, saksi ternampak 5 kenderaan menghalang laluan kereta Toyota Fortuner milik Amri, sebelum suaminya dilarikan kira-kira 550m dari rumah mereka di Bukit Chabang, Perlis.

Sebelum ini, timbul spekulasi Amri terlibat dalam penyebaran ajaran Syiah, aliran Islam yang difatwakan sesat oleh pihak berkuasa agama Malaysia, namun dakwaan itu ditolak Norhayati.

Selain Amri, Suhakam turut menyiasat kehilangan Paderi Joshua Hilmy dan isterinya Ruth.

Manakala siasatan ke atas Pastor Raymond Koh dihentikan selepas seorang suspek dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menculik, minggu lalu.

No comments: