Oleh Zainal Salleh
[ULASAN] Yang
nyata Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad silap, lupa atau mungkin
berbohong apabila membidas mufti-mufti kerana gagal menegur PAS yang
didakwanya mengkafirkan sesiapa yang tidak menyertai parti itu.
Hakikat
ini terbongkar apabila Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin
berkata Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengisytiharkan 'Amanat Hadi'
sebagai sesat.
Meskipun seperti Mahathir, Asri mendakwa 'Amanat Hadi' menyebabkan
peristiwa berdarah Memali pada 1985 dan membawa perpecahan umat Islam di
Malaysia namun pendedahannya itu sekaligus menafikan dakwaan Mahathir
bahawa Mufti tidak bertindak.
“Amanat itu nyata sekali mengisytiharkan perlembagaan negara ini
sebagai kafir dan rakyat harus berjihad terhadap mana-mana orang yang
berpegang pada Perlembagaan.
“Kandungan amanat itu, jika ia dilaksanakan, akan menjadi lebih
berbahaya daripada kepercayaan pengikut Islam (IS) sekarang,” katanya.
Mengambilkira bahawa beliau adalah Perdana Menteri ketika peristiwa
Memali berlaku, kenyataan Tun Mahathir pada sesi penggulungan Mesyuarat
Agung Tahunan PPBM hujung minggu lalu adalah nyata agak ‘terlajak dan
tidak kena tempat’.
“Saya ingin bertanya kepada mufti-mufti yang menjadi penasihat kepada
raja, apabila PAS mendakwa bahawa orang yang tidak sertai PAS tu kafir,
kenapa mufti-mufti tak betulkan kenyataan itu?
"Mereka berdiam seribu bahasa, seolah-olah mereka setuju dengan
pendapat parti PAS. Kalau mereka setuju dengan PAS, mereka tak masuk PAS
maka mereka juga kafir," katanya.
Dr Mahathir mendakwa sikap berdiam diri mufti ini telah membuahkan
‘Amanat Hadi’ yang menghangatkan polemik isu kafir mengkafir.
"Orang yang dinasihati mufti kita juga kafir tapi tiada yang berani
cakap (tegur) diam seribu bahasa sampaikan Amanat Hadi dikeluarkan dan
pengikut-pengikut Ibrahim Libya merancang kononnya menggunakan
pemberontakan bersenjata untuk menjatuhkan kerajaan.
"Apa yang kita lihat adalah peristiwa Memali yang mana pengikut Ibrahim
Libya membunuh 4 orang polis kerana pada mereka polis ini adalah kafir
yang bekerja dengan kerajaan kafir.
"Inilah hasil daripada fatwa yang dikeluarkan ahli politik yang tak
ditangkis oleh mufti-mufti. Saya fikir mufti-mufti patut
bertanggungjawab kenapa berlaku peristiwa Memali. Ia tidak akan berlaku
kalau awal-awal lagi mufti-mufti mencabar. Kenapakah Amanat Hadi tidak
disangkal oleh mereka,” ujar Dr Mahathir.
PKR kritik fitnah mufti
Peristiwa
Memali tercetus pada 19 November 1985 dalam era pemerintahan Mahathir,
apabila pihak keselamatan mahu menahan guru agama, Ibrahim Mahmud atau
lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya atas dakwaan mengancam keselamatan
negara.
Pertempuran di antara pihak keselamatan dengan penduduk kampung
akhirnya mengorbankan 18 orang termasuk guru agama berkenaan beserta
empat anggota polis, dengan berpuluh lain tercedera serta beratus orang
pula ditahan.
PAS menafikan ia mengkafirkan orang Melayu yang tidak menyokong
perjuangannya dan menuduh Dr Mahathir sebagai menyebarkan fitnah.
Apapun
polemik menghentam mufti ini mendapat kritikan langsung daripada
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohd Azmin Ali yang menganggap langkah
itu sandiwara politik.
Azmin Ali bingkas menempelak tindakan ‘pihak yang melempar fitnah
kepada mufti-mufti demi kepentingan politik sebagai tidak wajar dan
merendahkan martabat mufti’.
Lantas Azmin mendesak pihak berkenaan untuk taubat nasuha dan menghentikan sandiwara politiknya.
"Tidak wajar mana-mana individu mempersendakan dan memperlekehkan mufti
kerana kepentingan politik. Kita boleh berbeza pandangan tapi jangan
aibkan orang lain.
"Memfitnah mufti adalah satu tindakan keterlaluan. Taubat nasuha. Hentikan sandiwara," kata Azmin dalam mesej Twitternya.
Meskipun Azmin tidak menamakan pihak yang mengeluarkan kenyataan itu
namun kecaman Twitternya selepas Tun Mahathir menyelar mufti-mufti jelas
menunjukkan bahawa kecamannya ditujukan pada veteran politik itu.
Dr Mahathir mendakwa sikap berdiam diri mufti ini membuahkan ‘Amanat
Hadi’ yang menghangatkan polemik isu kafir mengkafir, sehingga
mencetuskan tragedi Memali.
Yang menghairankan mengapa Azmin menentang arus? Ketika nama Mahathir
ditimang-timang sebagai calon Perdana Menteri Malaysia jika Pakatan
Harapan menang Pilihanraya Umum ke-14 (PRU 14), Azmin dengan gagah
‘menegur’ tokoh berkenaan. Apa motifnya?
Adakah itu peringatan Azmin bahawa selain Mahathir, masih ada calon PH
yang mampu mengisi kerusi Perdana Menteri? Kempen untuk dirinya sendiri
agak jelas dalam akhbar Selangorkini edisi mutakhir yang menyanjung
karisma dan bakat kepimpinannya.
Atau, adakah Azmin sekadar membawa mesej daripada mentornya, Datuk Seri
Anwar Ibrahim yang kini masih terperok di Penjara Sungai Buloh bahawa
tidak semudah itu bagi Mahathir “melupakan” beliau dalam percaturan
siapa Perdana Menteri.
Mungkinkah Anwar kini memilih isu membela agama – mufti – untuk
mencongak berapa kuat sokongan yang diberikan oleh bukan sahaja baki
tiga lagi kerabat PH lain tetapi rakyat muslim keseluruhannya?
No comments:
Post a Comment