Sunday, December 24, 2017

Keutuhan PAS di Kelantan bukti bai'ah diperlukan - Hashim Jasin

Oleh Syed Mu'az Syed Putra
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: PAS akan terus menggunakan lafaz bai'ah untuk mengikat wakil rakyatnya setelah mendapat kuasa meskipun akur tiada tindakan undang-undang yang boleh di ambil jika pimpinan parti melanggar perjanjian berkenaan, ujar Mursyidul Amnya, Hashim Jasin.
 
"Berdasarkan pengalaman PAS yang begitu lama menghadapi pilihan raya, bai'ah adalah satu tindakan yang diperlukan," katanya dalam pertemuan bersama Antarapos baru-baru ini.
 
Hashim menjelaskan bai’ah adalah satu bentuk pengakuan yang menjadi keutamaan dalam PAS. 
 
Malah ujarnya, bai'ah juga menyelamatkan pentadbiran Kelantan selepas pilihan raya umum 2004.
 
"Seperti yang berlaku di Kelantan dahulu, PAS hanya berkelebihan satu kerusi sahaja (21 kerusi BNdan 22 kerusi PAS). Jadi bai'ah yang menyelamatkan kerajaan negeri Kelantan kerana mengelakkan daripada wakil rakyat dicuri ataupun dirasuah dan dibeli untuk menjatuhkan kerajaan Kelantan.
 
"Maka bai'ah yang dibuat oleh Almarhum tok guru Nik Aziz dengan wakil-wakil rakyat itu menyelamatkan negeri Kelantan," katanya.
 
Untuk rekod, PAS hampir kehilangan Kelantan pada tahun 2004 selepas PAS dan BN hanya dibezakan dengan kelelebihan satu kerusi DUN dengan dua undi namun bai'ah telah menyelamatkan pentadbiran parti itu.
 
Lafaz bai’ah bukan perkara baru dan telah lama menjadi amalan PAS namun pada 2004 Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mewujudkan sumpah bai'ah yang mengandungi talak tiga kepada wakil rakyatnya di negeri itu.
 
Perkara itu yang terkandung dalam lafaz bai’ah atau sumpah taat setia yang dibuat setiap wakil rakyat PAS  di Kelantan sejak 2004 dijangka akan dimansuhkan.
 
Bai'ah penting untuk mengelakkan pengkhianatan dalam PAS.
 
Mengulas lanjut, Hashim berkata kaedah yang dianggap tidak praktikal oleh parti lawannya tetap dilihat sebagai keperluan kepada PAS selain bertujuan meneruskan salah satu sunnah yang diperkenalkan oleh Nabi Muhammad SAW.
 
"Kita mengikut sunnah Rasulullah apabila kita membuat satu persetujuan dengan mana-mana pihak maka bai'ah diperlukan.
 
"Sebagai contoh apabila Nabi hendak berhijrah ke Madinah dalam usaha untuk mengembangkan agama Islam, Nabi  melakukan bai'ah yang dipanggil Perjanjian Aqabah Pertama dan Perjanjian Aqabah Kedua," katanya.
 
Katanya lagi, bai'ah merupakan keperluan untuk menjamin tidak berlaku pengkhianatan dalam PAS sebagaimana pentingnya perjanjian yang  dilaksanakan oleh  Rasullullah SAW dengan individu yang terlibat ketika itu.
  
Setiap calon PAS sama ada di peringkat Parlimen atau negeri diwajibkan melafazkan bai'ah dengan mengangkat sumpah di hadapan pesuruhjaya negeri.
 
"Antara kandungan bai'ah yang dibuat oleh Rasulullah SAW ialah mereka mesti  membantu muhajirin ataupun Nabi dan orang-orang Muhajirin yang pergi ke Madinah dengan harta benda, jiwa raga, wang ringgit dan menjaga serta memelihara mereka seperti mana mereka menjaga dan memelihara keluarga sendiri.
 
"Hal ini penting kerana perjanjian ini menentukan jaminan keselamatan orang-orang yang akan pergi begitu juga peristiwa Nabi yang melakukan bai'ah dengan orang-orang Yahudi yang tinggal di Madinah, iaitu Bani Quraizah, Bani Nadhir, Bani Qunaiqa’ dan dengan kabilah-kabilah Arab yang ada," katanya.
 
Justeru Hashim menambah tiada sebab untuk PAS memansuhkan terus bai'ah yang dilafazkan oleh setiap calonnya yang bertanding dalam pilihan raya.
 
"Jadi ini semua untuk menjamin bahawa keselamatan rakyat terutama orang Islam tidak diganggu gugat," katanya.
 
 

No comments: