Monday, December 25, 2017

Ezam Mohd Nor bakal bertanding pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.

DETIK DAILY

 
Bekas pemimpin PKR Ezam Mohd Nor dilaporkan bakal bertanding di peringkat Parlimen pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Menurut laman The Malaysian Insight, Ezam akan bertanding mewakili NGO yang dipengerusikannya iaitu Hisbah Centre for Reform (Hisbah).

"Lembaga telah meminta Ezam menamatkan khidmat beliau di Hisbah Cabang Jakarta dan tugas pengajian di beberapa universiti di Yogyakarta dan Surakarta serta merta dan kembali menumpukan usaha sepenuhnya di Malaysia mulai Januari 2018," kata Timbalan Pengerusi Hisbah Syed Nazarudin Syed Aziz seperti dipetik.

Katanya lagi, Ezam akan menumpukan isu rasuah dan salah guna kuasa dalam kempennya dan akan membawa isu rasuah dari sudut Islam di Dewan Rakyat jika menang, selaras dengan bidang tumpuan Hisbah.

Ezam yang keluar PKR pada 2007 kembali kepada Umno setahun kemudian, namun keluar pada 2016 berikutan isu 1MDB.

Beliau kemudian memohon untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada Oktober 2016 namun keluar dua bulan kemudian atas sebab mahu menumpukan perhatian kepada Hisbah.

Pada Mac lalu, beliau mengumumkan penubuhan 'Parti Bebas Rasuah' - usaha penjenamaan semula Parti Generasi Baru - dan akan berdepan dengan Datuk Seri Najib Razak di mana sahaja perdana menteri itu bertanding.

Namun beliau meninggalkan parti itu beberapa bulan kemudian atas sebab kelewatan Jabatan Pendaftaran Negara (ROS) meluluskan penukaran nama Parti Generasi Baru kepada Parti Bebas Rasuah.

Dalam pada itu, Syed Nazarudin tidak menolak Ezam akan bertanding di kerusi Parlimen Pekan yang dipegang Najib.

"Ia diwakili anggota parlimen yang mengetuai kerajaan yang membenarkan dan mempraktikkan al-ghulul (salah guna jawatan) dalam skala kecurian terbesar di dunia.

"Namun Hisbah mengambil maklum unsur penipuan ketara dalam pola pengundi di Parlimen Pekan di mana peningkatan pengundi mendadak lebih seratus peratus daripada kurang 40,000 pengundi kepada lebih 80,000 pengundi,” katanya seperti dipetik.

Justeru, katanya lagi, NGO itu kini sedang menimbang kawasan Parlimen lain yang sesuai, dengan syarat utamnya adalah kawasan bandar dan kerusi majoriti Melayu.

Katanya lagi, ini kerana Hisbah mahu meningkatkan kesedaran terhadap soal rasuah di kalangan orang Melayu beragama Islam dan kawasan bandar boleh menjadi permulaan strategik bagi pengembangan usaha menentang gejala itu.
 
 

No comments: