KUALA LUMPUR: Pengukuhan ringgit diramal berterusan sehingga 2018,
meningkat sekitar 4.00 berbanding dolar, berikutan sokongan daripada
sentimen dollar US yang lemah dan pemulihan harga komoditi.
Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment
Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, unit tempatan yang
mengakhiri 2017 dengan kukuh akan diniagakan secara positif minggu
depan.
Ia turut disokong perkembangan tempatan yang positif, termasuk
pertumbuhan ekonomi yang mampan, aliran masuk dana asing yang mantap
serta prestasi pasaran ekuiti yang kukuh.
Menurut beliau, prospek kadar dasar semalaman yang lebih tinggi oleh
Bank Negara Malaysia (BNM) akan menyokong sentimen di pasaran.
“Pasaran yang cergas akan berterusan tahun depan. Kita mempunyai banyak
pemangkin yang memacu ringgit, dengan rizab kita menunjukkan trend
meningkat. Semua ini menjadi petanda baik untuk ringgit,” katanya lapor
Bernama.
Rizab antarabangsa BNM berjumlah AS$102.2 bilion (RM431.6 bilion)
setakat 15 Disember 2017 berbanding AS$101.9 bilion (RM430.4 bilion)
pada 30 November 2017.
Nazri Khan berkata, paras hutang isi rumah yang lebih baik, yang
berkurang kepada 84.6% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada
September 2017 berbanding 88.4% tahun lepas, akan turut memacu momentum
ringgit.
Pada asas Jumaat ke Jumaat, ringgit meningkat berbanding dolar AS
kepada 4.0440/0500 berbanding 4.0770/0800 pada minggu sebelumnya.
Mata wang tempatan itu diniaga bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.
Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0265/0323 daripada
3.0317/0346 Jumaat lalu dan menokok berbanding yen kepada 3.5912/5968
daripada 3.5965/5998 sebelum ini.
Ringgit bagaimanapun susut berbanding pound Britain kepada 5.4602/4687
daripada 5.4587/5639 dan merosot berbanding euro kepada 4.8451/8535
daripada 4.8304/8344.
No comments:
Post a Comment