Saturday, December 30, 2017

Remaja perempuan dilarikan 'polis' ditemui selamat

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
BENTONG: Remaja perempuan yang didakwa dilarikan seorang lelaki menyamar sebagai anggota polis kelmarin, ditemui selamat di Raub, semalam.
 
Ketua Polis Daerah Raub Supt Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata Nur Syaminn Nabila Mohd Shapawi, 16, ditemui pada 11.05 pagi semalam di sebuah stesen bas selepas dia menghubungi anggota keluarganya dan memaklumkan dia berada di bandar tersebut.
 
“Mangsa mendakwa telah menaiki bas dari Kuala Lumpur ke Raub dan sejurus diambil di stesen bas berkenaan dia dibawa ke Hospital Raub dan Kuala Lipis untuk pemeriksaan,” katanya lapor Bernama.
 
Wan Mohd Zahari berkata polis masih berusaha mengesan suspek yang dipercayai menyamar sebagai seorang sarjan yang baru bertugas di Balai Polis Sungai Ruan ketika melarikan mangsa.
 
"Kita harap masyarakat tidak membuat spekulasi atau andaian berhubung kes ini dan beri peluang kepada polis untuk menjalankan siasatan," katanya.
 
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 363 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang serta menyamar sebagai penjawat awam.
 
Media sebelum ini melaporkan Nur Syaminn, pelajar di sebuah sekolah menengah di sini, dipercayai dilarikan lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Faiz dan 'bertugas' di Balai Polis Sungai Ruan.
 
Ibu mangsa, Wan Maziah Wan Mat, 37, berkata sebelum kejadian, anaknya keluar membeli buku sekolah untuk adiknya kira-kira jam 11 pagi.
 
Nur Syaminn kemudian bertemu dengan lelaki yang meperkenalkan diri sebagai polis yang meminta pertolongannya untuk membawa motosikal baru dibelinya di sebuah premis di Sungai Ruan.
 
Wan Maziah berkata, kira-kira jam 3 petang dia menerima panggilan dari anaknya yang memberitahu dia berada di Gua Musang, Kelantan bersama lelaki itu.
 
 

No comments: