Sunday, December 31, 2017

Fitnah mufti keterlaluan, selar Azmin

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menempelak tindakan pihak yang melempar fitnah kepada mufti-mufti demi kepentingan politik.
 
Sambil menyifatkan ia sebagai tindakan tidak wajar dan merendahkan martabat mufti, Azmin juga mendesak pihak berkenaan untuk taubat nasuha dan menghentikan sandiwara politiknya.
 
"Tidak wajar mana-mana individu mempersendakan dan memperlekehkan mufti kerana kepentingan politik.
 
"Kita boleh berbeza pandangan tapi jangan aibkan orang lain.
 
"Memfitnah mufti adalah satu tindakan keterlaluan. Taubat nasuha. Hentikan sandiwara," kata Azmin dalam mesej Twitter.
 
 
Beliau tidak menamakan pihak terbabit tetapi mengeluarkan kenyataan menerusi Twitter selepas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad, pada semalam menyelar mufti-mufti kerana  gagal menegur PAS yang didakwanya mengkafirkan sesiapa yang tidak menyertai PAS.
 
Dr Mahathir mendakwa sikap berdiam diri mufti ini juga telah membuahkan Amanat Hadi yang semakin menghangatkan polemik isu kafir mengkafir, sehingga mencetuskan tragedi Memali.
 
Semalam Dr Mahathir ketika ucapan penggulungan pada perhimpunan agung tahunan PPBM berkata, mufti sepatutnya menegur amanat yang dikeluarkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada tahun 1981 yang didakwa mendorong penyokongnya menentang Umno dan Barisan Nasional (BN) dengan keganasan seperti peristiwa Memali pada tahun 1985.
 
"Saya ingin bertanya kepada mufti yang menjadi Penasihat Raja, apabila PAS mendakwa bahawa orang yang tidak menyertai mereka adalah kafir, kenapa mufti hanya diam dan tidak menyangkal kenyataan itu?
 
"Inilah hasil daripada fatwa yang dikeluarkan oleh orang politik yang tidak ditangkis oleh mufti," kata Dr Mahathir.
 
 

No comments: