SHAH ALAM: Timbalan Ketua Wanita PKR Selangor, Dr Daroyah Alwi
menyambut baik jika terdapat ADUN PAS di negeri ini yang ingin menyertai
PKR.
ADUN Sementa itu mengalu-alukan perkara itu memandangkan PKR
seboleh-bolehnya mahu mengelak pertandingan tiga penjuru pada Pilihan
Raya Umum ke-14 (PRU14).
Beliau berkata demikian ketika mengulas khabar angin mengatakan 10 ADUN PAS di Selangor dijangka menyertai PKR.
“Memang semalam (kelmarin) Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul
Samad memberitahu dakwaan itu sebagai khabar angin dan hanya perang
siber.
“Itu pendapat beliau saja, terserah. Namun jika ada yang berminat, kita
tiada halangan dan menyambutnya dengan berlapang dada,” katanya dipetik
Sinar Harian.
Menurut Daroyah fokus PKR adalah menjayakan pertandingan dua penjuru untuk memastikan kemenangan pembangkang pada PRU kali ini.
“Jika pertandingan tiga penjuru, ia bukan hanya memberi peluang kepada
BN untuk menang bahkan boleh menyebabkan pengundi keliru untuk membuat
pilihan pada hari pengundian,” katanya.
Pun begitu, Daroyah berkata PKR tetap bersedia berdepan pertandingan tiga penjuru jika itu yang berlaku.
Kelmarin Exco PAS Selangor, Datuk Iskandar Samad menafikan laporan The
Malaysian Insight kononnya ada wakil rakyat partinya yang akan menyertai
Pakatan Harapan (PH) menjelang PRU14 akan datang.
Menganggapnya khabar angin semata, Iskandar berkata wakil rakyat PAS Selangor 'terkejut' apabila diberitahu mengenainya.
"Pada saya ia adalah khabar angin yang sengaja dicipta untuk mengganggu
persiapan PAS Selangor menghadapi pilihan raya umum (PRU) yang dijangka
kurang dari tiga bulan dari sekarang.
"Ia juga adalah bertujuan untuk mewujudkan kegusaran di kalangan ahli
agar mereka hilang tumpuan," kata Iskandar dalam satu kenyataan.
No comments:
Post a Comment