Sunday, December 24, 2017

MCA pertaruh calon muda untuk menang banyak kerusi

Muhammad Azizul Osman
Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen Bentong, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Naib Presiden (Grid) Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Ho Peng Choong (dua kiri) memakaikan baju sekolah kepada dua daripada 200 penerima sumbangan pada Majlis Penyampaian Pakaian Sekolah Sumbangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Taman Kolej, Bentong, Pahang. foto SAFWAN MANSOR
 

 BENTONG – Sejajar dengan kehendak dan permintaan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak, MCA mengambil insiatif untuk membariskan 50 peratus calonnya daripada muka baharu dan muda.

Menurut Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, ia adalah pendekatan daripada parti komponen itu dalam cubaan memenangi lebih banyak kerusi.

“Lebih dari 50 peratus adalah calon muda dan muka baharu. Memang kita letak banyak muka baharu dan kita telah gerakan jentera kita di peringkat akar umbi,” katanya ketika ditemui media dalam ‘Program Kembali Ke Sekolah’ di Parlimen Bentong hari ini.

Seramai 1,400 murid di Pahang menerima bantuan persekolahan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi Program Kembali ke Sekolah TNB 2018 melibatkan tujuh kawasan iaitu Bentong, Cameron Highlands, Jerantut, Kuala Krau, Lipis, Pekan dan Rompin.

Tiong Lai sebelum ini berkata, komponen BN itu telah memuktamadkan senarai  nama calon untuk bertanding mewakili parti itu.

Malah beliau telah mengumumkan beberapa nama calon di beberapa tempat antaranya kerusi Parlimen Tebrau akan ditandingi Datuk Dr Hou Kok Chung dan kerusi Dun Johor Jaya pula Datuk Tan Cher Puk.

Ujarnya, nama-nama itu adalah senarai yang telah dimuktamadkan oleh MCA dan telah dihantar kepada Najib selaku Pengerusi BN.

“Ia penting agar peringkat bahagian boleh segera sedia dan kerja kuat bagi memenangkan kerusi berkenaan.

“Paling penting calon MCA perlu popular, disukai di peringkat akar umbi, dan rajin dan komitmen dalam politik.

“Kita lebih tumpu kepada aktiviti di peringkat pusat daerah mengundi. Kita perlu buat lebih banyak aktiviti di peringkat itu kerana ini adalah arahan pimpinan pusat,” katanya lagi.

Tambah Tiong Lai, perpecahan dalam MCA sebelum ini dapat diatasi sepenuhnya dan ia diharap dapat mengembalikan kepercayaan masyarakat Cina terhadap parti itu.

“MCA lebih bersatu sekarang, tidak ada perpecahan peringkat bahagian jadi saya nampak langkah umumkan calon adalah langkah terbaik untuk hadapi PRU-14.

“Saya yakin dengan langkah ini, calon-calon yang dinamakan perlu kerja kuat untuk memenangkan kerusi, jika tidak nama mereka akan ditukar,” katanya.

Pada PRU-13 lalu, MCA bertanding di 37 kerusi parlimen dan 90 kerusi negeri.

Namun parti komponen BN itu dibadai kekalahan teruk apabila hanya memenangi tujuh kerusi parlimen dan 11 kerusi negeri. -MalaysiaGazette.


No comments: