KUALA LUMPUR: Polis menembak mati tiga penjenayah yang disyaki aktif
melakukan samun ke atas pelanggan bank di sekitar Lembah Klang dan
Negeri Sembilan, selepas berbalas tembakan di Jalan Sungai Tua, Hulu Yam
Bharu, Batu Caves dekat sini, semalam.
Kesemua suspek berusia linkungan 30 hingga 40-an berkenaan yang menaiki
kereta Suzuki Swift berwarna putih pada mulanya dikesan polis di Bandar
Baru Selayang kira-kira pukul 6 petang, sebelum mereka memecut untuk
melarikan diri tetapi berjaya dipintas polis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat ketika ditemui
pemberita di lokasi kejadian berkata penjenayah bagaimanapun enggan
menyerah diri apabila diminta berbuat demikian, sebaliknya bertindak
melepaskan satu das tembakan.
"Anggota kita terpaksa membalas tembakan yang mengenai kesemua suspek dan kesemua mereka maut di lokasi kejadian," katanya.
Fadzil berkata pemeriksaan ke atas kereta suspek membawa kepada
penemuan sepucuk pistol, empat peluru, dua bilah parang serta barangan
peribadi mereka.
"Identiti suspek sama ada warga tempatan atau warga asing sedang dikenal pasti," katanya.
Ujarnya, mayat suspek telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dan kes
disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Dalam perkembangan sama, Fadzil berkata sebanyak 86 kes samun pelanggan
bank dengan anggaran kerugian RM8 juta direkodkan di Selangor sepanjang
tahun ini.
"Polis memandang serius kegiatan samun terhadap mangsa yang baru keluar
dari bank dan meminta orang ramai untuk lebih berhati-hati," katanya.
No comments:
Post a Comment