Sunday, December 24, 2017

Pemimpin Umno mengaku rakyat susah, tapi mereka senang lenang

SELANGOR KINI




Saya merujuk kepada kenyataan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man yang menyarankan supaya rakyat berkebun dan menanam sayur di kawasan rumah untuk mengurangkan perbelanjaan harian.

Cadangan yang diberikan MB Perlis ini bukan penyelesaian kepada permasalahan yang sedang menghimpit kehidupan rakyat terutama golongan pertengahan dan bawah, sebaliknya menambah tekanan kepada mereka.

MB Perlis perlu sedar bahawa ramai rakyat ketika ini sudah membuat lebih daripada satu pekerjaan malah ada di kalangan mereka terpaksa melakukan sehingga tiga pekerjaan dalam satu masa bagi menampung kehidupan seharian mereka terutama yang sudah bekeluarga.

Bayangkan golongan yang tidak mempunyai keupayaan fizikal sama ada kerana faktor tua atau kurang upaya.

Bagaimanapun, saya berterima kasih kepada MB Perlis kerana kenyataan beliau sebenarnya jelas merupakan satu pengakuan terbuka bahawa rakyat sebenarnya dalam keadaan terhimpit dengan kos sara hidup yang naik lebih tinggi berbanding pendapatan di bawah kepimpinan Datuk Sri Najib Tun Razak.

Data jumlah penerima BR1M sejak ia mula diperkenalkan adalah bukti bahawa jumlah mereka yang dikategorikan layak menerima bantuan tidak semakin berkurangan.

Sebaliknya jumlah kelayakan yang tinggi menunjukkan majoriti isi rumah sangat terkesan dengan kenaikan harga barangan dan kos kehidupan yang tinggi, khususnya selepas pengenalan GST dan keghairahan kerajaan berbelanja besar menambah hutang (rujuk lampiran).

Adakah MB Perlis sedar betapa kebanyakan mereka ini tidak mampu memiliki tanah? Ini tentulah berbeza dengan segelintir pemimpin UMNO-BN, termasuk di Perlis, yang melimpah ruah kekayaannya selepas aktif berpolitik. Saya tidak terkejut jika satu hari nanti terbukti ada pemimpin UMNO-BN di Perlis yang pemilikan tanahnya lebih besar daripada kebanyakan rakyat di Perlis.

Malah, tidak mengejutkan jika ada pemimpin UMNO-Perlis yang kekayaannya lebih daripada hasil yang dipungut oleh kerajaan negeri Perlis dalam setahun.

Saya ingin menasihatkan MB Perlis untuk tidak mengikut jejak langkah ramai pemimpin UMNO-BN yang suka memberi saranan dan cadangan yang tidak melihat kepada penyelesaian konkrit terhadap masalah ekonomi yang dihadapi rakyat. Jangan memandang enteng kesusahan rakyat sehingga sanggup bercakap sesuka hati seolah-olah yakin mereka akan terus memberi mandat untuk kalian mentadbir selepas PRU-14.

MB sepatutnya perlu menasihati pemimpin dan menteri UMNO-BN yang angkuh dalam mempertikaikan kesusahan rakyat agar sedar bahawa penyelewengan dan kelemahan tata kelola seperti yang berlaku dalam banyak kes seperti di Tabung Haji, MARA, FELDA dan pelbagai lagi institusi yang dibina untuk membela golongan paling memerlukan adalah petunjuk bahawa keserakahan dalam merompak hak rakyat sudah tidak lagi mengenal batas.

Saya mengalu-alukan sekiranya MB Perlis mahu terus bercakap sedemikian kerana saya yakin rakyat kini sedang menunggu masa terbaik untuk menunjukkan jalan keluar kepada pemimpin-pemimpin yang angkuh dan mempermainkan mereka.

AMIN AHMAD,Timbalan Ketua cabang Kangar
Pengarah Pilihanraya KEADILAN Perlis

No comments: