Saturday, December 30, 2017

PRU14 : Izzah di Permatang Pauh, Azizah di Lembah Klang ?

DETIK DAILY

 
 
Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dikatakan akan bertanding di Permatang Pauh pada pilihan raya umum (PRU) ke-14, manakala penyandang kerusi parlimen itu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan berpindah ke kawasan parlimen di Lembah Klang.

Beberapa sumber dalaman PKR memberitahu Malaysiakini yang parti itu menjangka Nurul Izzah tidak akan mempertahankan kerusinya di Lembah Pantai, yang diwakilinya sejak 2008, kerana mendakwa berlakunya manipulasi demografi pengundi yang agresif di situ.

Seorang sumber mendakwa berlaku pemindahan sejumlah 6,589 pengundi baru ke Lembah Pantai sejak PRU 2013.

"Dengan kira-kira 7,000 pengundi dari Segambut, Nurul Izzah akan menjadi calon 'underdog'.

Adakah kita masih perlu calonkannya di Lembah Pantai? Strategi parti adalah mengelakkan kekalahan pemimpin peringkat pusat di kerusi tidak selamat," kata seorang lagi sumber.

Pada PRU 2013, Nurul Izzah mempertahankan parlimen Lembah Pantai selepas mengalahkan calon BN, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin dengan majoriti kecil, iaitu 1,874 undi.

Raja Nong Chik pula kekal aktif di Lembah Pantai walaupun selepas kekalahan tersebut.

Walaupun Nurul Izzah sendiri tidak mengesahkan di mana beliau bakal dicalonkan, beliau telah memuatnaik gambar yang menunjukkan kegiatan seperti kunjungan rumah ke rumah di Penanti, salah satu kawasan DUN di Permatang Pauh, di media sosialnya.

Berkenaan Wan Azizah pula, sumber dalaman PKR berkata parti lebih cenderung mencalonkannya di Lembah Klang atas sebab logistik.

"Pada usianya, tentulah meletihkan untuk berulang-alik antara Kuala Lumpur dan Permatang Pauh," katanya.

Pada masa ini, sumber berkata Wan Azizah mungkin akan dicalonkan di kawasan parlimen Pandan atau Bandar Tun Razak.

Berhubung kedudukannya sebagai anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang pula, sumber berkata parti belum memutuskan sama ada beliau akan mempertahankan kerusi itu.

Perubahan kerusi Wan Azizah dan Nurul Izzah, jika berlaku, adalah antara perkara yang diperhatikan memandangkan mereka adalah anggota keluarga Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang paling aktif dalam politik.

Setiausaha Politik Nurul Izzah dan Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil dijangka menggantikannya di Lembah Pantai. Pemuda berusia 36 tahun itu ditonjolkan sebagai bakal calon dan mengiringi Nurul Izzah pada banyak acara di sana.

Ketika ditanya berhubung kegiatannya di Permatang Pauh, Nurul Izzah hanya berkata sudah menjadi tugasnya sebagai naib presiden untuk berkempen di seluruh negara, terutama di kawasan yang bukan menjadi kubu kuat parti.

Nurul Izzah berkata, Permatang Pauh termasuk dalam kategori tersebut ekoran kemungkinan pertembungan tiga penjuru antara PKR, BN dan PAS pada PRU akan datang.

Berhubung Fahmi dan parlimen Lembah Pantai pula, beliau berkata, "sebahagian daripada prosedur parti adalah peringkat Cabang mencadangkan sekurang-kurangnya dua atau tiga nama sebagai calon."

Sementara itu, Ketua Whip PKR Datuk Johari Abdul mengakui perpindahan kerusi itu adalah salah satu pilihan untuk Wan Azizah dan Nurul Izzah.

"Itu salah satu pilihan. Sebagai naib presiden, beliau ada banyak pilihan. Begitu juga dengan presiden," katanya.

Anwar memegang kerusi parlimen sejak mula menceburi politik pada 1982 sehinggalah 1999, selepas dipecat daripada Kabinet dan dijatuhkan hukuman penjara.

Difahamkan PKR mahu Nurul Izzah dilihat sebagai penerus kepada gerakan Reformasi - legasi yang diwarisi daripada bapanya.

Berhubung Wan Azizah pula, PKR mahu beliau menjadi timbalan perdana menteri sementara jika Pakatan Harapan menang pada PRU ke-14, dan boleh fokus di Lembah Klang. 
 
 

No comments: