Roketkini.com
DAP Perak hari ini menarik balik saman yang difailkannya terhadap Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) selepas arahan sekatan ke atas peruntukan untuk pembangunan di 89 kawasan Parlimen pembangkang ditarik balik.
Ekoran itu, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, projek infrastruktur di kawasan Parlimennya, Taiping, boleh diteruskan.
“Ini termasuk projek baru yang diluluskan pada 26 April 2017 termasuk RM300,000 untuk menaiktaraf kemudahan infrastruktur padang awam di Kamunting, RM500,000 untuk membina Dewan Serbaguna di Padang Gajah.
“Ia juga termasuk projek bernilai RM250,000 untuk menaiktaraf dewan serbaguna Sungai Kerang, RM900,000 untuk membina semula Tapak Pasar Malam Kamunting serta RM10 juta untuk pembinaan Taman Botani Perak di Taiping,” katanya dalam kenyataan.
KPKT menerusi surat pekeliling bertarikh 17 Mac 2017 mengeluarkan arahan kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di semua kawasan Parlimen yang tidak dimenangi Barisan Nasional (BN) supaya menghentikan pelaksanaan projek.
Susulan itu, Kor Ming bertindak memfailkan saman terhadap KPKT dan menamakan menterinya, Tan Sri Noh Omar dan Ketua Pengarahnya, Abu Bakar Johar sebagai pihak defenden.
Mengulas lanjut, Kor Ming yang juga Timbalan Setiausaha Agung DAP berkata, anggota Kabinet harus menghormati sistem demokrasi negara ini dan turut mengingatkan kerajaan agar tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan KPKT.
Beliau turut menyifatkan penarikan semula arahan tersebut sebagai kemenangan serta hadiah tahun baru buat rakyat.
“Noh Omar harus bertaubat dan belajar menghormati demokrasi di mana setiap rakyat berhak untuk memilih mana-mana parti politik termasuk kakitangan kerajaan untuk membentuk kerajaan baru.
“Ini kerana hak untuk mengundi adalah terjamin dibawah perkara 10 Perlembagaan Persekutuan,” katanya sambil menambah DAP komited dalam menjaga integriti perkhidmatan awam negara ini tanpa pilih kasih dan diskriminasi. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment