Sunday, December 31, 2017

Mukhriz selar PAS parti tidak berprinsip

Oleh Athirah Hanapiah dan Nur Atiqah Samad
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir hari ini menyelar sikap kepimpinan tertinggi PAS yang dianggapnya sebagai tidak berprinsip dan berpendirian.
 
Katanya, hasrat PAS yang hanya mahu memenangi sekurang-kurangnya 40 buah kerusi parlimen daripada 100 kerusi yang ingin ditandingi jelas menunjukkan parti itu sekadar mahu menjadi kuasa penentu di antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), dan bukannya serius mahu membentuk sebuah kerajaan
 
"Sebagai pengerusi jawatankuasa rundingan kerusi PPBM, saya berpeluang untuk berunding awal-awal dulu termasuklah parti PAS.
 
"Rundingan PPBM dengan PAS gagal untuk mencapai kata sepakat kerana PAS menolak kita bakerjasama dengan DAP dan Amanah.
 
"Pemimpin tertinggi PAS nampaknya kebelakangan ni agak mesra Umno, mereka nyatakan mereka tanding 100 kerusi parlimen tetapi suka kalau boleh menang 40 kerusi parlimen, maksudnya dengan hanya 40 buah kerusi itu PAS tidak mampu untuk membentuk kerajaan , mereka hanya nak jadi kuasa penentu apabila keputusan pilihan raya nanti berbelah bahagi diantara Pakatan (PH) dan Barisan Nasional.
 
"Ini menampakkan bahawa kepimpinan tertinggi PAS ini tidak berprinsip dan berpendirian," katanya pada ucapan penggulungan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di Shah Alam petang tadi.
 
Untuk rekod, PAS sebelum ini mensasarkan untuk bertanding lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang selepas tidak lagi terikat dengan mana-mana pihak atau pakatan kecuali Gagasan Sejahtera (GAGASAN). 
 
Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, meraka dijangka akan bertanding di lebih 100 kerusi parlimen dengan sasaran minimum menang 40 kerusi Parlimen.
 
Umum mengetahui, dengan hanya memenangi jumlah 40 kerusi di parlimen, parti itu tidak mungkin akan berjaya membentuk kerajaan selepas tidak berjaya meraih 2/3 majoriti undi.
 
Namun terbaru, PAS menerusi presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan parti pimpinannya itu akan bertanding di 130 buah kerusi pada PRU14 nanti.
 
Sementara itu, mengulas mengenai calon perdana menteri bagi PH yang sedang hangat diperkatakan, Mukhriz optimis bahawa rakyat mahukan bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri baru sekiranya gabungan pembangkang itu berjaya menawan Putrajaya nanti.
 
Mukhriz turut menganggap pengalaman yang ada pada mantan perdana menteri selama 22 tahun itu cukup penting dalam mentadbir negara selain daripada manifesto-manifesto yang dijanjikan PH sebelum ini.
 
"Negara memerlukan orang yang berpengalaman, orang yang mempunyai rekod yg cemerlang menyelesaikan krisis-krisis berat, orang yang mempunyai keikhlasan untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat, dan bukan kepentingan peribadinya.
 
"PPBM bukannya mahukan jawatan perdana menteri untuk glamour atau untuk berseronok, tetapi PPBM menuntut jawatan perdana menteri kerana pengerusi kita Tun Mahathir dilihat yang paling layak untuk mengeluarkan Malaysia dari belenggu yang sedang dialami.
 
"Rakyat tentu akan suka dengan manifesto yang dikeluarkan PH tetapi rakyat juga mahu tahu siapa yang akan melaksanakannya, siapa yang akan mengepalai kerajaan PH dan tentunya rakyat mahukan Tun Dr Mahathir Mohamad," ujarnya lagi.
 
Konvensyen PH yang pertama kali diadakan tahun 2018, dikatakan bakal menamatkan tanda tanya berkenaan siapakah calon perdana menteri mewakili gabungan itu memandangkan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bakal diadakan pada bila-bila masa.
 
Ia sebagai alternatif bagi menggantikan Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masih menjalani hukuman penjara.
 
Perkara itu sebelum ini disahkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang berkata, pihaknya sudah mempunyai pilihan lain yang akan menggantikan Anwar yang sebelum ini diletakkan sebagai calon perdana menteri jika PH memenangi PRU14 kelak.
 
Sebelum ini, pemimpin pembangkang sepakat melantik Anwar sebagai perdana menteri jika PH berjaya menguasai Malaysia.
 
Namun baru-baru ini, nama Tun Dr Mahathir Mohamad disebut-sebut menjadi calon perdana menteri interim dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Presiden PH) sekadar dilantik sebagai calon timbalannya.
 
Cadangan itu dibuat sewaktu permukiman PH selama dua hari di Putrajaya baru-baru ini, namun dikatakan beberapa pemimpin PH tidak merestui cadangan berkenaan.
 
 

No comments: