Monday, December 25, 2017

DAP Johor cabar Hishammuddin nafi guna kem tentera untuk menang PRU


Oleh

DAP Johor hari ini mendakwa terdapat kem tentera yang akan dibina di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh yang terletak dalam Parlimen Sembrong, disandang Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussien.

Berdasarkan maklumat yang diterima, Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong mendakwa, sekurang-kuranya 1,000 anggota tentera bersama pasangan mereka akan ditempatkan di kem tersebut.

Dakwa beliau, pembinaan kem tersebut bertujuan memberi kemenangan selesa kepada Barisan Nasional (BN) yang menang tipis menentang DAP dengan 103 undi di DUN Paloh dalam pilihan raya umum (PRU) yang lepas.

Pendedahan ini dibuat DAP Johor sebagai membalas penafian Hishammuddin mengenai pembinaan kem berkenaan.

“Hishammudin memang sedang membina kem di kawasannya, saya mencabar beliau untuk menafikan bahawa beliau tidak menipu,” tegas Chin Tong yang juga Ahli Parlimen Kluang dalam sidang media di Ibu Pejabat DAP di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir pada sidang media tersebut, Adun Mengkibol, Tan Hong Pin; Adun Jementah, Tan Chen Choon; dan Setiausaha Biro Undang-undang DAP, Michelle Ng.

Selasa lalu, Hishammuddin yang juga Menteri Tugas-tugas Khas, menafikan dakwaan bahawa kem-kem berkenaan dibina untuk tujuan politik.

Beliau turut bergurau bahawa jika benar BN ingin menggunakan kem tentera untuk meraih undi, ia akan dibina di kawasan Parlimennya, Sembrong.

“Nak dekat PRU ini macam-macam isu yang dibangkitkan mereka (pembangkang) kalau betul (bina kem), saya sebagai Menteri Pertahanan, (adalah) lebih baik saya pergi (buat kem) di Sembrong,” katanya seperti dipetik Bernama.

Jenaka hambar itu tenyata benar apabila semakan dibuat di laman Facebook Kementerian Pertahanan pada 27 September lepas memaklumkan bahawa kem baru akan dibina di Paloh selain di Segamat, Hutan Melintang, Bera, Kota Belud dan Lahad Datu.

Dalam pada itu, Chin Tong yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP menggesa agar pemerhati antarabangsa ditempatkan dalam PRU akan datang.

Pemerhati antarabangsa itu juga katanya perlu meninjau keadaan sebelum PRU bagi memantau penipuan sistematik yang dilakukan parti pemerintah untuk terus kekal berkuasa. – Roketkini.com


No comments: