Saturday, December 30, 2017

PKR Pencuri Kepimpinan Rakan ? -Dr Kamarul

 
 


Tertarik dengan komen beberapa pemimpin PKR mengenai desas-desus yang ditimbulkan oleh portal berita The Malaysian Insight 23 Disember lalu kononnya 10 ADUN PAS di Selangor akan menyertai PKR dan bertanding menggunakan tiket PKR menjelang PRU14.

Pada 25 Disember, Timbalan Ketua Wanita PKR Selangor, Dr Daroyah Alwi, dilaporkan oleh portal berita Sinar Harian sebagai berkata, “jika ada (ADUN PAS di Selangor) yang berminat (menyertai PKR), kita tiada halangan dan menyambutnya dengan berlapang dada”.

Kenyataan Dr Daroyah ini dibuat di sebalik kesedaran beliau bahawa “memang semalam Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad, memberitahu dakwaan itu sebagai khabar angin dan hanya perang siber”, tetapi, mengikut Dr Daroyah, “itu pendapat (Datuk Iskandar) saja”.

Semalam, 27 Disember, Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Md Akin, pula, ketika ditanya mengenai desas-desus kononnya ADUN PAS di Selangor akan menyertai PKR, dilaporkan oleh portal berita Sinar Harian sebagai berkata, “jika tiada angin masakan pokok bergoyang”.

Tambah Shamsul Iskandar lagi, “walaupun ada penafian (daripada para pemimpin dan ADUN PAS di Selangor), saya fikir kita mesti beri komen berdasarkan fakta”, dan “kalau ada keseriusan ke arah itu (ADUN PAS di Selangor mahu menyertai PKR), kami alu-alukan”.

Masalah utama dengan kenyataan Dr Daroyah dan Shamsul Iskandar ini adalah bahawa kenyataan mereka ini tidak diasaskan kepada apa-apa bukti yang konkrit, apatah lagi bila telah wujud beberapa penafian daripada para pemimpin dan ADUN PAS di Selangor terhadapnya.

Perumpamaan “jika tiada angin masakan pokok bergoyang” juga tidak boleh dipakai sepenuhnya kerana boleh dihujahkan bahawa, walau tiada angin pun, pokok masih boleh bergoyang juga jika umpamanya di atas pokok itu ada makhluk tertentu seperti monyet yang menggoyangnya.

Pada hemat saya, kenyataan Dr Daroyah dan Shamsul Iskandar ini akan hanya lebih menyerlahkan lagi imej PKR sebagai Pencuri Kepimpinan Rakan setelah ia umpamanya bertindak mencuri Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar, dari PAS pada 11 September 2015.



Sebagai rekod, PKR pernah bergaduh besar dengan DAP sewaktu ia masih bersama dengan PAS, DAP dan PRM di dalam Barisan Alternatif pada awal tahun 2001 dulu kerana tindakan PKR mengambil bekas pemimpin DAP Pulau Pinang, Teoh Teik Huat, menjadi ahlinya.

Ekoran tindakan PKR ini, Pengerusi DAP Pulau Pinang pada waktu itu, iaitu Chow Kon Yeow, mengumumkan, pada 26 Februari 2001, bahawa DAP Pulau Pinang akan menjarakkan hubungan mereka dengan PKR (“will ‘loosen’ their relationship with PKR) sehingga isu ini diselesaikan.

Begitu juga dengan Pengerusi DAP pada waktu itu, iaitu Lim Kit Siang, yang mengumumkan, pada 27 Februari 2001, bahawa beliau tidak lagi akan menghadiri mana-mana perbincangan dan mesyuarat Barisan Alternatif yang menyentuh hubungan PKR-DAP.

Turut dibangkitkan pada waktu itu adalah mengenai persetujuan Majlis Kepimpinan Barisan Alternatif pada 28 April 1999 bahawa mana-mana parti komponen Barisan Alternatif tidak dibenarkan sama sekali mencuri ahli (atau bekas ahli) mana-mana parti komponen lain.

Bagaimanapun, ternyata hingga sekarang perbuatan mencuri ahli, malah mencuri pemimpin, parti rakan, sama ada sesama parti Pakatan Harapan atau sesama parti pembangkang, terus menjadi amalan di dalam parti yang cogan perjuangannya ialah “Keadilan Untuk Semua” ini.

Dr Kamarul Zaman Yusoff,
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN),
Universiti Utara Malaysia (UUM).

No comments: