Kumpulan pendesak Cina tak pernah setuju dasar pendidikan negara
LANGKAWI
– Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Gabungan Jawatankuasa
Sekolah-Sekolah Cina (Dong Zong) sebagai rasis kerana tidak pernah
bersetuju dengan dasar pendidikan negara termasuk berkaitan isu tulisan
khat dan jawi di sekolah.
Perdana Menteri berkata, selain dalam isu berkenaan, kumpulan itu juga sebelum ini membantah penubuhan Sekolah Wawasan.
“Dong Zong ini rasis, kita buat sekolah
satu kampus Sekolah Wawasan nak letak Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK)
Cina, SJK Tamil dan sekolah kebangsaan di dalam satu kampus, mereka
tidak mahu.
“Sebabnya (mereka) takut anak-anak dia
bercampur dengan Melayu, jadi dia tidak mahu. Semuanya (yang
dilaksanakan kerajaan) dia bantah, tidak pernah bersetuju dengan apa
pun,” kata perdana menteri kepada pemberita selepas menghadiri majlis
ramah mesra dengan penduduk di Padang Matsirat sempena majlis korban di
sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai langkah
Dong Zong yang akan menggerakkan kempen mengumpul tandatangan untuk
menegaskan bantahan terhadap pembelajaran tulisan jawi di sekolah
vernakular.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata,
keputusan memperkenalkan tulisan jawi itu dibuat pada 2012 oleh kerajaan
terdahulu, namun kumpulan pendesak Cina itu tidak membangkitkan pada
waktu itu.
Beliau berkata, ini kerana kerajaan hari
ini mengamalkan dasar yang lebih terbuka untuk mana-mana pihak
menyuarakan pandangan berbanding kerajaan sebelum ini.
Dr Mahathir turut mengingatkan bahawa
pada ketika negara hendak mencapai kemerdekaan, kerajaan memperkenalkan
tulisan rumi bagi memudahkan orang bukan Melayu kerana mereka sukar
untuk mempelajari tulisan jawi.
“Jadi orang Melayu pula dia kena belajar
jawi pasal dia kena baca al-Quran. Jadi, apa yang kita nak berkelahi?
Kita sudah bagi pertimbangan khusus untuk kepentingan orang yang bukan
Melayu,” katanya.
Ditanya sama ada keputusan berkaitan
sesuatu dasar seperti itu perlu dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet
sebelum diputuskan, Dr Mahathir menjelaskan hampir semua perkara
dibincangkan dalam Kabinet, namun kandungan perbincangan tidak
didedahkan kepada umum.
Sementara itu, mengulas mengenai desakan
Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago yang mahu kuasa Perdana Menteri
dihadkan dalam membuat keputusan, Dr Mahathir secara sinis berkata,
beliau akan merujuk Charles sebelum membuat sebarang keputusan.
“(Pada) masa depan apabila hendak buat
keputusan, saya akan tanya Charles Santiago boleh atau tidak, kalau dia
tidak bersetuju saya tidak akan buatlah. Yalah, mesti kena dapat
pandangan dia, dia setaraf dengan saya,” katanya. – Bernama
No comments:
Post a Comment