PAS setuju syor larang tulisan jawi pada bungkusan produk bukan Islam
BANGI– PAS menyifatkan cadangan melarang penggunaan tulisan jawi pada bungkusan produk bukan Islam wajar dipertimbangkan.
Pengerusi Lajnah Pekerja dan Pengguna PAS
Pusat, Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, walaupun cadangan itu tidak
popular, bahkan menjumudkan inklusif dakwah serta berisiko menambahkan
lagi kebencian kaum, namun ia mampu menangani banyak isu berkaitan
sekiranya diusulkan akta khas ke Parlimen.
Ini kerana katanya, tulisan jawi jelas
telah disalah guna, dimanipulasi selain menjadi unsur pemerdayaan
terhadap pengguna, sedangkan ia dihina, diperlekeh serta difitnah
kononnya sebagai gerakan Islamisasi oleh masyarakat bukan Islam.
“Jika demikian buruk dan jahatnya tulisan
jawi, maka amat tidak wajar ia dijadikan hanya untuk melariskan produk
yang tak ubah seperti didagangkan atau dilacurkan.
“Sedangkan martabatnya bagi umat
Melayu-Islam amat tinggi, tiba-tiba bagi pihak yang mahu mencampak
buangnya, menjadikan ia alat tarikan dan keuntungan,” katanya dalam
kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Dewan Pembangunan Perniagaan
Usahawan Malaysia (MCED) menggesa Kerajaan membawa akta khas ke
Parlimen bagi melarang penggunaan tulisan Jawi pada pembungkusan produk
bukan Islam.
Presiden MCED, Datuk Nazilah Idris
berkata, tulisan Jawi yang disalah guna akan mengelirukan pengguna
kepada status halal sesuatu produk.
Mengulas lanjut, Siti Zailah berkata,
penggunaan tulisan jawi haruslah tidak digunakan sewenang-wenangnya
tanpa pengertian apatah lagi jika sekadar mengaburi mata pengguna secara
salah dan menipu.
Pada masa sama, beliau kesal apabila
banyak penipuan dalam perniagaan yang memperalatkan jawi mahupun logo
halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) masih berlaku, namun
penguatkuasaannya pula hanya tertakhluk kepada aduan pengguna.
Justeru, beliau mengesyorkan penggunaan
logo halal Jakim wajar dipinda, yakni dengan tidak menggunakan kaligrafi
jawi bagi perusahaan, premis atau produk yang bukan dimiliki oleh orang
Islam.
Beliau berkata, cadangan itu akan memberi
hak secara peribadi kepada pengguna untuk membuat pilhan alternatif
yang luhur dan tanpa sebarang keraguan.
“Hal ini kerana perkara itu berkait rapat
dengan keyakinan iman apabila timbulnya kes-kes pertikaian terhadap
Islam, serta segala simbol membabitkan soal ketidakjujuran.
“Lebih penting dari itu juga, ini adalah
satu pendekatan ‘mendidik’ mereka yang selama ini sombong dan angkuh
merosakkan reputasi agama, umat dan segala yang bersangkut-paut dengan
Islam.Moga ia jadi pengajaran dan mampu merasionalkan kembali tindakan
emosi pihak terbabit,” katanya.
No comments:
Post a Comment