Tindakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menukar sambutan Hari Sukan Negara (HSN) kepada Malaysia Sports Challenge (MySC) tidak langsung memberi perubahan yang sewajarnya dilakukan, kata Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari.
Menurutnya, penjenamaan baru menggunakan bahasa Inggeris itu menunjukkan KBS kekontangan idea, kebudak-budakan, membazir serta lebih bermain politik.
"Malah, semangat nasionalisme dan patriotisme juga bagaikan tidak perlu lagi, sedangkan sukan adalah wahana terbaik untuk menerapkannya.
"Jangan nanti KBS memberi alasan pramatang dan populis kononnya nama tersebut dipilih untuk menarik penyertaan antarabangsa.
Terdahulu Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim mengumumkan Hari Sukan Negara kini ditukar kepada MySC bertujuan memperluaskan capaian program yang merupakan inisiatif terbaru KBS dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan.
Katanya, penggunaan nama tersebut diubah kepada bahasa Inggeris mampu meningkatkan prestij program bukan saja dalam tetapi di luar negara.
Bahasa pula dilucutkan
Ahmad Fadhli berkata, sukan merupakan alat perpaduan terbaik untuk rakyat Malaysia pelbagai peringkat umur bahkan kaum dan agama.
Jelasnya, sudah terbukti semangat kesukanan mempertaut erat masyarakat yang berbeza latar belakang di negara ini.
"Sewajarnya, kerajaan menjadikan sukan sebagai wadah yang diperluaskan untuk tujuan tersebut.
"Malangnya, sukan di negara ini masih eksklusif dan tidak dimanfaat sebaiknya untuk dibudayakan sebagai kegiatan sihat serta menyampaikan pelbagai tujuan kenegaraan.
"Lebih teruk apabila ia dipolitikkan atau dijadikan kesempatan pihak bermentaliti kapitalis.
"Terbaru melalui sukan, bahasa sebagai alat komunikasi warga pula dilucutkan," katanya.
Tambah anggota Parlimen Pasir Mas itu, KBS sepatutnya berusaha menggiatkan penganjuran kegiatan sukan hingga ke akar umbi termasuk warga desa dan komuniti perumahan, selain memastikan ia mesra semua peringkat umur dan bangsa.
"Apatah lagi, KBS diterajui Menteri, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang muda dan boleh menjadi contoh mewakili hasrat anak muda masa depan.
"Kita adalah pembina dan pencorak masa depan yang mahukan Malaysia sebagai negara lebih baik dalam segala segi di masa depan.
"Oleh itu jangan gadaikan ia dengan segala yang menghilangkan kepercayaan warga dengan menggadai nilai-nilai di masa ini.
"Belum terlambat untuk mengubahnya, kembalikan semula bahasa kebangsaan kita," kata Ahmad Fadhli.
No comments:
Post a Comment