Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy akan membuat laporan polis terhadap pendakwah bebas, Dr Zakir Naik kerana mendakwa campur tangan dalam politik di negara ini.
"Saya sedang merangka (laporan polis) seperti yang kita cakap. Saya akan buat laporan sama ada petang ini atau esok," katanya kepada Malaysiakini.
Ramasamy berkata demikian ketika mengulas notis tuntuan kedua daripada Zakir bertarikh 23 Ogos yang mengaitkan kritikan beliau terhadap pendakwah itu dengan kedudukannya dalam DAP.
Menurutnya, notis guaman berkenaan tidak profesional sebaliknya Zakir mendakwa beliau cuba meraih populariti yang semakin merosot dalam DAP.
"Bukankah notis guaman kedua ini adalah satu lagi campur tangan Zakir dalam politik tempatan? Ini adalah sesuatu yang pihak polis telah beri amaran kepadanya,"katanya.
Selain itu, Adun Perai itu berkata beliau juga akan menulis surat aduan kepada Majlis Peguam Malaysia berhubung firma guaman Akberdin & Co yang mewakili Zakir.
Ramasamy mendakwa firma guaman itu "tidak beretika dan tidak profesional."
Terdahulu, Malaysiakini melaporkan notis tuntutan kedua daripada pendakwah kelahiran India itu berhubung kenyataan Ramasamy dalam temu bual dengan India Today.
Zakir, yang menganggap kenyataan itu sebagai fitnah, memberikan Ramasamy tempoh 48 jam untuk menarik balik kenyataan beliau, menyiarkan permohonan maaf dan membuat tawaran sejumlah wang yang munasabah sebagai penyelesaian.
Bagaimanapun, Ramasamy berkata beliau bersedia untuk berdepan dengan pendakwah itu di mahkamah.
Zakir, yang merupakan seorang penduduk tetap di Malaysia, kini sedang disiasat berhubung kenyataan mengenai penduduk beragama Hindu dan kaum Cina di negara ini ketika berceramah di Kelantan pada 8 Ogos lalu.
Pendakwah itu memohon maaf atas kenyataannya walaupun mendakwa ia dipetik di luar konteks.
Sementara itu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata Zakir dinasihatkan memberi tumpuan
kepada dakwah dan berhati-hati menyentuh mengenai isu-isu politik tempatan.
No comments:
Post a Comment