Operasi SAR masuk hari kesembilan babitkan 353 anggota
NILAI
– Keluarga remaja Ireland, Nora Anne Quoirin, yang dilaporkan hilang
dari sebuah resort di Seremban, dekat sini, sejak 4 Ogos lalu, hari ini
menawarkan ganjaran RM50,000 kepada sesiapa yang dapat memberi maklumat
sehingga menemukan gadis berusia 15 tahun itu.
Ibu kepada remaja istimewa itu, Meabh
Jaseprine Quoirin, 46, berkata wang ganjaran itu disumbangkan sebuah
entiti perniagaan berpangkalan di Belfast, Ireland, yang enggan
didedahkan, untuk sebarang maklumat yang boleh membantu secara langsung
dalam usaha pencarian anaknya.
Menurutnya, polis sudah berusaha gigih
untuk mengesan anak sulungnya itu dan ganjaran itu adalah untuk membantu
siasatan polis berhubung kehilangan mangsa.
“Nora Anne adalah anak sulung kami.
Beliau amat bernilai kepada kami dan hati kami semakin berkecai. Kami
merayu kepada sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai Nora Anne
membantu kami mencarinya,” katanya pada sidang media di Balai Polis
Pantai di sini.
Beliau berkata, orang ramai yang
mempunyai maklumat berhubung kehilangan anaknya itu supaya hotline khas
operasi mencari dan menyelamat (SAR) di talian 0111-2285058 atau
menerusi e-mel ops@lbtrust.org bagi mereka yang berada di luar Malaysia.
Nora Anne dilaporkan hilang dari Resort
The Dusun Pantai Hill di sini pada 4 Ogos lalu semasa sedang bercuti
bersama ibu bapanya serta dua adiknya.
Keluarga itu tiba di resort berkenaan pada 3 Ogos untuk percutian selama dua minggu.
Operasi SAR membabitkan 353 anggota sudah memasuki hari kesembilan hari ini. – Bernama
No comments:
Post a Comment