Ketua menteri tak sensitif dahului keputusan perdana menteri
BANGI– Seluruh rakyat Melaka perlu berganding bahu mempertahankan pendakwah
antarabangsa, Dr Zakir Naik agar terus diberi peluang menyampaikan
ceramah di negeri berkenaan.
Yang dipertua Isma Melaka, Ustaz Ir Hj
Mohd Khoushaini Hj Mohd Naim mengakui kesal dengan tindakan Ketua
Menterinya, Adly Zahari yang mendahului kenyataan Perdana Menteri, Tun
Dr Mahathir Mohamad serta siasatan pihak polis yang masih berjalan.
“Apakah Ketua Menteri tidak sensitif
dengan perasaan majoriti 64 peratus umat Islam di negeri ini dan mengapa
baru sekarang larangan itu dikenakan?
“Pada tahun 2016, Dr Zakir pernah
berceramah di hadapan 20,000 pengunjung di Universiti Teknologi Melaka
(UTEM), malah ketika itu tidak timbul sebarang isu perkauman, bahkan
seorang pelajar telah melafaz syahadah setelah tiga tahun mencari
kebenaran,” katanya.
Semalam, kerajaan Melaka mengulangi pendirian untuk tidak membenarkan Dr Zakir menyampaikan ceramah di negeri itu.
Adly berkata, larangan itu kekal walaupun
Dr Zakir telah membuat permohonan maaf susulan ucapannya yang mengguris
hati masyarakat bukan Islam.
Katanya, apa yang lebih penting dan menjadi keutamaan kerajaan negeri adalah menjaga keharmonian rakyat Melaka.
Mengulas lanjut, Khoushaini berkata,
terdapat segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab berjaya mengambil
kesempatan dengan memetik kenyataan Dr Zakir di luar konteks, lantas
melakukan provokasi agar beliau keluar dari negara ini.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi UMMAH
Melaka yakin jika rancangan mengusir Zakir Naik berjaya, maka mereka
akan bertepuk tangan.
“Kerajaan Melaka seharusnya mempromosikan
keterbukaan, budaya dialog dan percambahan minda secara sihat selain
memberikan kebebasan kepada rakyat, untuk melakukan perbincangan dalam
budaya keilmuan yang tinggi.
“Membela saudara seakidah kita adalah
wajib. Seorang muslim seharusnya mempertahankan saudara muslimnya yang
lain, apatah lagi sekiranya muslim tersebut dibimbangi akan dizalimi,”
katanya.
No comments:
Post a Comment